HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 September 2019

Sabah perlu dana untuk teroka peluang perniagaan di Kalimantan, kata pakar ekonomi

Pakar ekonomi politik Firdausi Suffian.
 
KOTA KINABALU: Seorang pakar ekonomi politik mencadangkan supaya Putrajaya memberikan peruntukan khas kepada Sabah bagi membantu negeri itu mengambil manfaat atas pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan.

Pensyarah di UiTM Sabah, Firdausi Suffian memberitahu FMT bahawa negeri itu perlu membina hubungan dengan rakyat Indonesia bagi membolehkannya merebut peluang ekonomi yang muncul apabila perubahan itu berlaku.

Beliau berkata, dengan sokongan kewangan kerajaan pusat, Sabah boleh meningkatkan kewibawaannya ketika berunding dengan Indonesia.

“Jika ada sokongan kuat di belakang anda, anda boleh menunjukkan bahawa anda berkemampuan,” katanya.

“Ketua menteri boleh pergi ke sana dan berkata, ‘Lihat, kami ada rancangan ini dan kami ada dana’.”

Katanya, dana khas sedemikian juga boleh merangsang minat ahli perniagaan tempatan terhadap peluang yang tersedia di Kalimantan.

Firdausi berkata, beliau juga mahu melihat cadangan ke arah penyelesaian masalah pengangguran yang tinggi di Sabah dalam belanjawan kerajaan tahun depan.

“Kita perlu membangunkan industri hiliran dan perlu ada belanjawan khas untuk tujuan ini. Lebih banyak industri hiliran yang dibangunkan, lebih banyak pula peluang pekerjaan yang dicipta.”

Menurutnya, kira-kira 150,000 rakyat Sabah yang sihat tubuh badan yang kebanyakannya orang muda, tidak mempunyai pekerjaan dan kadar pengangguran negeri itu adalah kira-kira 15% daripada angka kebangsaan.

Beliau menggesa supaya Sabah diberikan dana untuk membangunkan perniagaan kecil dan sederhana dengan berkata, kerajaan negeri dan pusat perlu bekerja rapat untuk menggalakkan industri tertentu berkembang bagi membolehkan kadar pengangguran berkurang.

Beliau juga berkata, Sabah memerlukan dana untuk pembangunan infrastruktur yang telah diperuntukkan dalam belanjawan sebelum ini.

“Hatta selepas 56 tahun pembentukan Malaysia, kita masih bercakap tentang perkara ini,” katanya.

“Kita ada Lebuhraya Pan Borneo sekarang, tetapi kita perlukan lebih banyak lagi.”

Beliau maklum bahawa baru-baru ini Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Sabah akan diberikan lebih banyak dana untuk pembangunan infrastruktur.

“Kita lihat bagaimana perkembangannya,” katanya.

Katanya, pendidikan merupakan satu bidang yang sangat memerlukan infrastruktur lebih baik.

“Jika dilihat Rancangan Pendidikan Nasional, ia bercakap tentang pendigitan dan konsep Industri 4.0.

“Ini semua idea hebat, tetapi bagaimanakah matlamat itu akan tercapai sekiranya pelaksananya, iaitu sekolah dan infrastruktur berkaitan, tidak ada?

“Wujud jurang besar antara kawasan bandar dan luar bandar. Di Kota Kinabalu mungkin ada sekolah canggih dengan segala kelengkapan teknologi, tetapi di luar bandar, sekolah masih sangat daif.”

Beliau berkata, industri pelancongan juga memerlukan penambaikan infrastruktur penting supaya negeri Sabah terus mendapat manfaat daripadanya.

Firdausi juga bercakap tentang keperluan menangani isu perumahan mampu milik dengan berkata, kadar faedah istimewa yang ditawarkan kepada pembeli rumah berharga kurang RM150,000 tidak banyak membantu rakyat Sabah kerana menurut kajian Institut Penyelidikan Khazanah, rumah di negeri itu umumnya berharga kira-kira RM186,000.

“Umumnya ia tidak benar-benar membantu menangani isu kebajikan rakyat Sabah. Kita harus kaji perkara ini.”

Tiada ulasan: