HAKIKAT ini tidak boleh diubah.
Enam belas bulan selepas mendapat kuasa, beberapa pemimpin dalam Pakatan Harapan (PH) menunjukkan betapa mereka setara dengan lawan Barisan Nasional (BN) – tahunya hanya memikirkan diri sendiri.
Misalnya, lihat saja pendirian Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin bahawa presidennya Anwar Ibrahim perlu berjiwa besar dan menerima permintaan untuk mengadakan satu “mesyuarat rekonsiliasi”.
Katanya, beliau tidak akan hadir mana-mana mesyuarat parti sehingga Anwar mengadakan mesyuarat khas itu dengan beliau dan kelompoknya kerana isu yang hendak dibincangkan “mustahak dan sensitif”.
“Kita hanya nak berbincang untuk perkara yang agak sensitif yang tidak boleh dibuat dalam keadaan yang ramai, untuk memberi pandangan dan juga merangka hala tuju hadapan PKR.
“Kita sayang PKR dan kita juga sayang negara,” katanya.
Orang tentu boleh beranggapan bahawa kebanyakan mesyuarat PKR tidak mustahak atau tidak sensitif dan tidak melibatkan hala tuju parti.
Anwar tentunya melakukan hal yang masuk akal. Beliau enggan memanggil mesyuarat khas itu sebaliknya berkata Zuraida dan yang lain-lain perlu hadir ke mesyuarat pimpinan parti.
Seluruh episod dalam PKR ini mendedahkan kepada kita satu perkara. Mabuk kuasa sudah naik ke kepala sesetengah pemimpin ini. Mereka rasa berhak dan mahu dilayan dengan istimewa.
Tidak ada bezanya mereka dengan sesetengah pemimpin BN sebelum ini.
Apabila diberi jawatan utama kerajaan, mereka juga menuntut keistimewaan yang sama.
Tidakkah mereka hairan bagaimana akhirnya BN tersingkir dari puncak kekuasaan pada Mei 2018?
Kenapa pemimpin politik tidak belajar daripada masa lampau? Bahawa parti yang mereka anggotai lebih utama daripada diri mereka sendiri.
Bahawa mereka menawarkan diri untuk berkhidmat kepada parti dan rakyat – dan bukan sebaliknya.
Ironinya, Zuraida adalah antara pemimpin politik dan pemimpin PKR yang baik. Namun beliau tampaknya sekarang menganggap dirinya lebih mustahak berbanding parti dan pemimpin parti yang lain.
Bolehkah beliau bertolak ansur dengan sikap seperti ini di kementeriannya atau di cabang partinya?
Adakah beliau akan melakukan apa yang sepatutnya dan hadir mesyuarat pimpinan parti, dan menyelesaikan apa saja isu secara bersemuka dan bukannya merungut kepada umum tentang masalahnya?
Malaysia berkehendakkan ahli dan pemimpin politik yang lebih bagus tahapnya.
Majoriti pengundi merasakan mereka sudah membuat pilihan itu pada pilihan raya umum yang lalu. Apa yang jelas, impian dapat ahli politik yang lebih baik masih tinggal angan-angan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan