HALAMAN SANTAI

Jumaat, 20 September 2019

Keluarga 2 lelaki maut ditembak polis minta tunjuk rakaman kamera kereta polis


   

Keluarga dua lelaki yang maut selepas ditembak polis menuntut pihak berkuasa mendedahkan rakaman daripada kamera papan pemuka kereta (dash cam) polis sebagai penjelasan terhadap kejadian sebenar.

Pada sidang akhbar hari ini, ahli keluarga kepada G Thavaselvan dan V Janarthanan mempertikaikan versi polis mengenai kejadian penembakan pada 14 September yang berlaku di Batu Arang, Rawang.
Mereka diwakili peguam P Uthayakumar dan M Manoharan, yang dilantik semalam.

"Kalau Ketua Polis Selangor (Noor Azam Jamaludin) berkata mereka tidak ada yang perlu disembunyikan dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur (Adnan Azizon) berkata mereka tidak mendapat apa-apa (untuk disembunyikan), umumkan rakaman kamera dash cam itu

"Ia akan menunjukkan sama ada mereka (polis) menembak terlebih dahulu, (atau sekiranya) orang-orang ini menembak kembali dan sama ada (isteri Janarthanan) G Moganambal ada di sana, (supaya) terdapat bukti yang jelas [...]

"Berani kerana benar, takut kerana salah [...] cam dash itu ada di dalam kereta polis, jadi di mana rakaman kamera kereta polis?" Tanya Uthayakumar.

Jika rakaman itu menunjukkan polis tidak mempunyai cukup alasan untuk menembak dengan tujuan membunuh, peguam itu berkata pihak yang bertanggungjawab perlu didakwa.
Menurut polis Selangor, dua lelaki bersama lelaki ketiga, S Mahendran, terlibat dalam rompakan bersenjata dan semuanya terbunuh dalam kejadian tembak-menembak.

Polis berkata mereka menemui dua pucuk pistol, tiga bilah parang dan topeng muka di dalam kenderaan mereka.

Moganambal tidak terbunuh dalam tembak-menembak itu dan kini gagal dikesan. Mahendran pula tidak diwakili peguam hari ini.

Pihak keluarga hari ini menegaskan bahawa Thavaselvan, Janarthanan dan Moganambal telah keluar untuk makan malam di Serdang sebelum mereka diculik dan ditembak polis di Rawang.

'Media tidak adil'

Polis Selangor menyifatkan Thavaselvan sebagai anggota kongsi gelap yang mempunyai 23 rekod jenayah dan dikehendaki pihak berkuasa kerana terlibat dengan kes rompakan.

Pihak berkuasa juga berkata Thavaselvan ialah bekas tahanan penjara Simpang Renggam yang ditahan di bawah Ordinan Darurat 1969 dan Akta Pencegahan Jenayah 2014 (Poca).

Apabila ditanya ketika sidang akhbar supaya menjelaskan keperibadian Thavaselvan ini,
Uthayakumar pula menuduh media membantu polis "mengalihkan" isu itu.

"Ini adalah lencongan oleh polis, walaupun (jika) dia ada seratus kes di bawah namanya, polis tidak berhak menembak untuk membunuh ... tidak ada hak.

"[...] Kamu membantu polis, strategi polis adalah untuk mengalihkan (isu)," kata peguam itu sambil menjelaskan isteri Thavaselvan, Jasminder Kaur tidak mengetahui jika suaminya mempunyai sebarang kesalahan jenayah.

Apabila soalan yang sama ditujukan kepada Jasminder, Uthayakumar sekali lagi menuduh media membantu polis.

"Kenapa kamu mengalihkan (isu)? [...] Kamu sedang menjadi pro pihak polis!" Tegasnya, yang mana wartawan menjelaskan bahawa mereka cuma bertanya dan mengambil sikap tidak berpihak.

Uthayakumar berpendapat media tidak adil dalam melaporkan kes ini dengan menonjolkan rekod jenayah silam Thavaselvan.

Jasminder berkata walaupun suaminya mempunyai rekod jenayah tetapi persoalannya adalah mengapa dia ditembak mati oleh polis.

"(Rekod) jenayah lampaunya tidak ada kaitan (dengan hal ini). Pihak berkuasa boleh menangkapnya di bawah Poca ... tetapi kenapa dia ditembak mati?

"[...] Suami saya mati, saya ingin tahu apa sebabnya," katanya.

Tiada ulasan: