Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs)
menyambut baik cadangan kerajaan pusat untuk melaksanakan penggunaan
kamera badan pada pegawai penguat kuasa seperti polis, imigresen dan
kastam di negara ini, maklum Presidennya, Azih Muda.
"Kami bimbang cips yang ada dalam kamera badan disalahguna oleh pihak tertentu untuk mengesan di mana penguatkuasa kita berada dan ini boleh membahayakan anggota kita," katanya.
Beliau dipetik Bernama berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tritahunan Cuepacs Sarawak di pejabatnya di Jalan Bamflyde, di Kuching, hari ini.
"Selama ini anggota penguatkuasa kita itu ada teraniaya dan dituduh termasuk anggota polis yang kononnya mereka menyeksa banduan hingga mati dalam sel tahanan umpamanya.
"Begitu juga mereka (pegawai penguatkuasa) yang berada dipintu sempadan, mereka yang berhadapan dengan kemasukan barang-barang dan sebagainya yang mungkin ada ancaman," katanya lagi.
Semalam, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata penggunaan kamera badan dapat menghindarkan fitnah terhadap anggota polis, justeru beliau mengalu-alukan cadangan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkenaan perkara itu dan berharap pelaksanaannya dapat dipercepatkan.
Pada 19 September lalu, Dr Mahathir berkata kerajaan setuju untuk melaksanakan penggunaan kamera badan pada pegawai penguat kuasa seperti polis, imigresen dan kastam bagi menangani kes salah laku seperti rasuah.
Katanya, syor itu dipersetujui memandangkan ada pelbagai dakwaan salah laku pegawai semasa bertugas seperti memukul orang yang disiasat.
Bagaimanapun, beliau berkata tarikh pelaksanaannya belum diputuskan memandangkan ia melibatkan kos kepada kerajaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan