Beliau berkata, selepas Koroner Ropiah Mohamad membaca keputusan dan rumusannya, pihaknya bersyukur dan berpuas hati dengan perjalanan inkues yang bermula sejak Januari lalu.
“Kita telah mendengar ulasan Koroner dan juga rumusannya. Saya bagi pihak KPKT dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mengucapkan syukur kerana kes Muhammad Adib telah dapat keputusan.
“Saya puas hati kerana kami telah menggunakan segala saluran yang boleh kita gunakan termasuk meminta agar inkues diadakan untuk menyiasat punca kematian Muhammad Adib.
“Selama 41 hari kes ini berjalan, dan hari ini kita dapat keputusannya,” katanya dalam sidang media di luar Kompleks Mahkamah Shah Alah di sini, hari ini.
Sebelum itu, sidang media tidak dapat dimulakan akibat gangguan sekumpulan aktivis NGO yang melaungkan “undur Zuraida”, “Tommy letak jawatan”, dan “undur Mahathir”.
Walaupun pihak media meminta kumpulan terbabit tidak mengganggu sesi sidang media itu, namun mereka tetap melaung dan menjerit ke arah Zuraida.
Mahkamah Koroner hari ini memutuskan punca kematian Muhammad Adib akibat dipukul dan diserang oleh pihak ketiga.
Keputusan itu diumumkan oleh Koroner Rofiah Mohamad selepas 41 hari prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Allahyarham Muhammad Adib berlangsung.
Ketika membacakan keputusan tersebut, Koroner Rofiah juga berkata, mahkamah memutuskan bahawa kecederaan Allahyarham Muhammad Adib bukan perbuatan sendiri, sebaliknya disebabkan perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu.
Menurut Zuraida, beliau selepas ini menyerahkan kepada polis untuk tindakan seterusnya kerana ia sudah menjadi kes jenayah.
“Saya ucapkan terima kasih semoga keluarga Muhammad Adib rasa terbela kerana kes ini disiasat dengan sebaik mungkin untuk mendapatkan keputusan yang baik,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan