HALAMAN SANTAI

Ahad, 22 September 2019

Tawaran kerajaan beli tanah di Kampung Baru lebih baik dari zaman BN

Mohd Zaini Samsu Hadi

MGF22092019_MAJLIS-PENYERAHAN-KUNCI-RESIDENSI-WANGSAMAS18
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad bercakap semasa sesi sidang media pada Majlis Penyerahan Kunci Unit Residensi Wilayah Residensi Wangsamas, Jalan Wangsa Delima, Wangsa Maju, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI,
 

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad membidas bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung tawaran kerajaan terhadap pembelian tanah di Kampung Baru.

Katanya, tawaran kerajaan ketika ini kepada pemilik tanah di kawasan berkenaan lebih baik berbanding yang pernah ditawarkan Barisan Nasional (BN) ketika mentadbir kerajaan sebelum ini.

Menurut beliau, pada 2017, BN hanya menawarkan harga bagi sekaki persegi dengan jumlah RM300 manakala, kini harga yang ditawarkan oleh kerajaan adalah RM850 sekaki persegi.

So, saya tak nak cakap banyaklah. Dia tawarkan RM300 sekaki persegi, saya tawarkan RM850 sekaki persegi, lepas tu dia kata saya tawarkan murah. Nilai sendirilah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Khalid berkata demikian menjawab soalan wartawan berhubung hantaran Ahli Parlimen Pekan itu di Facebook apabila mengingatkan rakyat supaya tidak terpedaya dengan Khalid berhubung tawaran kerajaan untuk membeli tanah di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Dalam hantarannya di laman sosial itu, Najib mempersoalkan nilai tawaran dengan harga tanah di Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) yang mencecah RM3,000 satu kaki persegi berbanding harga paling tinggi yang ditawarkan oleh kerajaan.

Najib berkata, perkara sama pernah berlaku dan diakui oleh Lim Guan Eng berhubung penjualan tanah Bayan Mutiara di Pulau Pinang sejurus selepas beliau menjadi ketua menteri.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, harga yang ditawarkan oleh kerajaan hari ini kepada pewaris tanah di Kampung Baru adalah mengikut penilaian yang dibuat oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Katanya, harga yang ditawarkan juga adalah mengikut kadar semasa dan ia bergantung kepada kedudukan tanah tersebut.

Ujarnya, jika mengikut penilaian harga semasa yang dinilai dikawasan berkenaan oleh JPPH adalah dari RM650 hingga RM850 kaki persegi dan kerajaan mahu memeberikan kadar harga paling tinggi.
“Kita ambil harga yang tinggi kita tawarkan kepada semua sama saja.

“Kedudukan tanah ni dah tak lagi relevan kerana dia ada lapis pertama, lapis kedua, lapis ketiga dah tak guna pakai.

“So, kita ambik semua 150 ekar tu, kita akan design balik, kita akan bangunkan balik. Semua tanah tu harganya bagi kita sama. Jadi, kita ambil harga yang maksimum RM850,” ujarnya.

Dalam pada itu, Khalid berkata, keputusan untuk membeli tanah itu perlu mengikut penilaian yang dibuat oleh JPPH sebagai sebuah jabatan kerajaan.

Katanya, walaupun ada pihak yang cuba mempertikai tindakan tidak membenarkan khidmat penilai sendiri, ia adalah sebagai satu jaminan bagi mengelak pertikaian timbul di kemudian hari. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: