HALAMAN SANTAI

Jumaat, 20 September 2019

Sebanyak 756 CCTV dipasang di lokap balai polis

MALAYSAKINI

   

Sebanyak 756 lokap polis seluruh negara akan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau aktiviti tahanan serta salah laku membabitkan anggota, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

Beliau berkata pemasangan CCTV yang melibatkan peruntukan RM73 juta itu bakal disiapkan pada hujung tahun ini.

"Ini peruntukan besar dibuat kerajaan kerana banyak kes melibatkan tahanan di lokap dilaporkan dan kita mahu tahu apa yang berlaku dalam lokap," katanya kepada pemberita selepas melawat kuarters polis bahagian Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am (PGA) di Cheras hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador; Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), Kementerian Dalam Negeri, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan; dan Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC) Datuk Dr Anis Yusal Yusoff.

Liew turut menyuarakan keprihatinan kerajaan dalam isu keselamatan melibatkan lokap di mahkamah dan pemasangan CCTV itu juga akan dibuat di tempat berkenaan bagi tujuan yang sama.

"Bagi lokap di mahkamah, saya difahamkan hakim dan pegawai melalui jalan yang sama dengan tahanan, sehubungan itu keselamatan menjadi isu yang perlu ditekankan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan turut menyediakan peruntukan RM100 juta bagi kerja pembaikan lif kuarters dan pejabat polis yang bakal dilaksana selepas pihak kontraktor mendapat surat lantikan hujung bulan ini.

Katanya semua peruntukan tersebut adalah hasil mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah yang diadakan di Putrajaya, semalam.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata pemasangan CCTV di lokap polis dapat mengelak anggota keselamatan itu daripada menjadi mangsa tohmahan dan fitnah sekiranya berlaku kes kematian dalam tahanan.

"Ini berita baik untuk anggota supaya kita akan lebih cekap dan sempurna serta terlindung daripada fitnah," katanya.

Beliau berkata antara peralatan lain yang diperlukan pasukan polis adalah pistol renjatan elektrik yang dapat mengawal individu yang dalam keadaan mengamuk.

"Saya tidak menggalakkan anggota untuk menggunakan senjata api dan seboleh-bolehnya menggunakan pistol renjatan elektrik. Ini lebih memudahkan polis untuk membuat tangkapan.

Perkara ini akan dikemukakan kepada pihak Kementerian Dalam Negeri untuk tindakan lanjut," katanya.- Bernama


Tiada ulasan: