HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 September 2019

Pantai kian terhakis

Ahmad Rabiul Zulkifli
 


“LEBIH 200 meter daratan sudah dihakis ombak sejak 2016 dan kawasan pantai yang terhakis seperti rumah yang dirosakkan anai-anai,” kata pemilik kedai ikan celup tepung di Pantai Pengkalan Maras, Jusoh Mamat, 69.

Jusoh berkata, dia dan keluarga tidak menjalankan perniagaan ikan celup tepung di kedainya sejak kawasan pantai itu terhakis teruk bermula Selasa lalu.

“Kedai saya pernah musnah dipukul ombak Januari lalu menyebabkan saya terpaksa membina kedai lain kira-kira 50 meter dari pantai.

“Bagaimanapun sejak Julai lalu, ombak mula menghakis kawasan pantai dan kini jarak hakisan itu hanya satu meter dari kedai saya.

“Tidak mustahil kedai saya musnah menjelang Oktober dan November ini memandangkan ombak besar serta angin sepanjang musim tengkujuh nanti,” katanya yang sudah tiga tahun menjalankan perniagaan di kawasan pantai itu.

Menurutnya, dia buntu mengenangkan nasibnya jika kedai miliknya sekali lagi dilanda badai namun reda kerana apa yang berlaku adalah fenomena alam.

“Jika ada modal, saya sudah alihkan kedai ke tempat selamat tetapi ia memerlukan kos tinggi selain kami sendiri seronok berniaga di sini kerana sudah ada pelanggan tetap,” katanya.

Menurutnya, dia juga bimbang lebih banyak kawasan daratan di pantai berkenaan musnah jika pihak bertanggungjawab tidak membina tambak batu.

“Sebelum ini, ada jalan bertar untuk dilalui kenderaan namun kini semuanya sudah terhakis dan jika ia tidak ditambak segera, lampu limpah yang berada berhampiran pantai ini juga musnah,” katanya.

Penduduk, Sidek Rani, 60, berkata, dia sedih melihat keadaan pantai yang semakin teruk terhakis dan berharap kerajaan negeri menyelesaikan masalah itu dengan membina tambak batu.

“Kawasan pantai ini lokasi penganjuran Pesta Pantai tetapi semuanya hanya tinggal kenangan kerana masalah hakisan pantai yang berlaku.

“Masalah ini akan bertambah teruk menjelang musim tengkujuh nanti dan ketika ini, sudah banyak pokok di tepi pantai tumbang kerana hakisan,” katanya.

Bagi Hafifi Azmi, 33, pula, pantai yang sebelum ini terkenal dengan keindahannya hanya tinggal kenangan kerana masalah hakisan pantai dan fenomena ombak besar.

“Tiada lagi pemandangan kanak-kanak dan orang ramai bermain di tepi pantai seperti dulu.

“Sekarang pengunjung yang datang hanya melihat kesan hakisan pada pantai kerana ia sudah tidak selamat untuk aktiviti terutama mandi,” katanya.

Tiada ulasan: