HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 September 2019

Belum pasti sawah dicemari bahan kimia

Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
 
 

KERAJAAN negeri menunggu laporan penuh hasil siasatan dijalankan Jabatan Pertanian Perak dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) mengenai kesan tumpahan cecair kimia jenis Acetone Thinner terhadap sistem saliran sawah padi.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamahri berkata, tindakan awal akan diambil kerajaan negeri sekiranya tumpahan cecair kimia daripada lori tangki ke dalam Parit Mentara 3, Bagan Serai, memberikan kesan negatif kepada sistem saliran sawah padi berdekatan.

“Buat masa ini saya belum menerima dan masih menunggu laporan daripada jabatan berkaitan jika bahan kimia tumpah boleh menjejaskan tanaman padi.

“Di Bagan Serai khususnya di kawasan kemalangan, pesawah sudah memulakan kerja membaja dan penanaman sawah padi, jadi perkara ini membimbangkan mereka.

“Justeru, laporan ini amat penting bagi memastikan tanaman padi pesawah tidak dicemari, “katanya selepas Majlis Penyampaian Bantuan Bencana Ribut kepada 29 keluarga dalam Mukim Kuala Kurau dan Tanjung Piandang di Pusat Khidmat Rakyat di Kuala Kurau, Parit Buntar, hari ini.

Harian Metro kelmarin, melaporkan sebuah lori tangki terbalik di lokasi berkenaan mengakibatkan tumpahan muatan bahan kimia jenis Acetone Thinner hingga pihak berkuasa terpaksa memindahkan penduduk yang tinggal berhampiran kawasan itu.

Tiada ulasan: