Kita terima berita itu dengan rasa sedih dan mendoakan rohnya dirahmati Allah dan ucapan takziah kepada keluarganya.
Presiden UMNO, DS Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang berada di Kota Kinabalu, ketika ditanya wartawan, berkata bahawa UMNO akan berbincang dengan teliti dengan parti- parti komponen BN sebelum memutuskan siapakah calon yang akan diletak di kubu kuat MCA.
Esoknya, pada 22 September 2019, keluar berita bahawa DS Wee Jeck Seng, calon MCA yang memenangi kerusi tersebut atas tiket BN selama dua penggal sebelumnya, tetapi kalah dalam PRU 14, bersedia untuk bertanding semula.
“Sebagai ketua bahagian (MCA), saya mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankan kerusi itu dan saya semestinya bersedia,” katanya.
Pada hari yang sama, tersiar pula kenyataan Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Mah Hang Soon bahawa MCA bersedia untuk merampas balik kerusi tersebut daripada Pakatan Harapan (PH).
Perhatikan reaksi pemimpin UMNO dan pemimpin-pemimpin MCA. Pemimpin UMNO menghormati pandangan parti-parti komponen BN, malah membuat kesilapan apabila berkata kawasan itu adalah kubu kuat MCA. Itu adalah satu kesilapan yang perlu dibetulkan. Jika DS Zahid tidak berkata demikian, beliau hendaklah mengeluarkan kenyataan menafikannya.
Sebaliknya, pemimpin-pemimpin MCA itu seolah-olah menganggap kawasan pilihanraya itu milik mereka dan mengeluarkan kenyataan demikian tanpa berunding dengan parti- parti komponen BN, terutama sekali UMNO.
Kawasan itu tidak pernah menjadi kubu kuat MCA, dalam erti kata MCA boleh memenanginya jika ia bertanding bersendirian, dengan undi orang Cina, tanpa undi orang Melayu. Sebaliknya, ia adalah antara kawasan majoriti Melayu dan kubu kuat UMNO yang diberikan kepada MCA dan MIC (kemudiannya, termasuk Gerakan). Amalan itu dilakukan semenjak PRU 1 (1955), pada masa itu untuk memberi representasi yang lebih
kepada orang Cina, manakala MIC pula, hingga ke hari ini, tidak mungkin memenangi satu kerusi pun secara bersenditian. Kemudiannya, kawasan-kawasan seperti itu diberi kepada MCA dan Gerakan untuk memastikan pemimpin utama mereka tidak kecundang, jika mereka bertanding dalam kawasan majoriti Cina.
Ertinya, mereka bertanding dan menang di kawasan-kawasan seperti itu atas ihsan UMNO dan orang Melayu. Itu pengorbanan UMNO yang ahli-ahli UMNO, MCA, Gerakan dan MIC perlu ingat.
Mengenai kawasan Parlimen Tanjung Piai, semenjak ia diwujudkan, UMNO telah bermurah hati memberikannya kapada MCA sebagai kawasan selamat untuk ditandingi oleh pemimpin-pemimpin MCA kerana jika mereka bertanding di kawasan majoriti Cina, mereka akan kalah disebabkan MCA tidak mendapat sokongan daripada orang Cina.
Dalam PRU 11 (2004), ia diberikan kepada Presiden MCA, Ong Kah Ting, sebagai kerusi selamat untuk mengelak beliau kalah di kawasan majoriti Cina. Beliau berasal dari Lenggong, Perak. Apa hubungannya dengan Tanjung Piai, Johor? Ertinya kawasan itu diberi kepada MCA atas ihsan UMNO dan baliau menang atas ihsan pengundi Melayu, khususnya UMNO.
Dalam PRU 12 dan 13, kawasan itu diberi pula kepada Wee Jeck Seng. Beliau juga menang atas sokongan padu pengundi Melayu, walau pun dalam PRU 13 (2013), DAP meletakkan calon Melayu.
Perhatikan betapa taat setianya ahli-ahli UMNO kepada parti untuk menjaminkan kemenangan calon parti komponannya, walaupun bukan Melayu. Anihnya, Melayu dikatakan rasis.
Semasa PRU 14, peratusan pengundi bagi kawasan Parlimen Tnjung Piai adalah seperti berikut:
jumlah pengundi 53,528; Melayu 56.80%; Cina 41.64%; India 1.01% dan lain- lain 0.55%. UMNO menuntut supaya kawasan itu diberikan kepada UMNO untuk bertanding, tetapi tidak dihiraukan oleh pucuk pimpinan UMNO. Maka, ia diberi juga kepada MCA dan DS Wee Jeck Seng bertanding lagi atas tiket BN.
Keputusan pilihanraya itu adalah seperti berikut: DS Wee Jeck Seng (BN) 20,731; Nordin Othman(PAS) 2,962; Dr. Md. Farid Md Rafik (Bersatu) 21,255. Dr Md Farid menang dengan majoriti 524.
DAP mendakwa bahawa dalam PRU 14, 97% pengundi Cina mengundi DAP. (Itu tidak rasis?). Jika dakwaan itu benar, maka dalam PRU 14, berapakah undi orang Cina yang diperolehi DS Wee Jeck Seng?
Memang benar tidak ada calon DAP di kawasan itu. Tetapi, dalam PRU 14, DAP bertanding atas nama PH, malah memakai simbol PKR. Semestinyalah, orang-orang Cina yang berdiri di belakang DAP dalam PRU 14, mengundi calon PH.
Soalnya berapakah undi Cina yang diperolehi oleh calon MCA itu? Saya percaya, sebagiaan besar undi yang diperolehi beliau itu adalah undi orang Melayu, yang setia kepada UMNO dan BN, kerana penyokong PAS tentu sekali mengundi calon PAS.
Mengapa DS Wee Jeck Seng kalah? Jawapannya diberi oleh Jefridin Atan, Ketua Bahagian UMNO Tanjung Piai. Mengikutnya BN kalah di kawasan itu kerana MCA tidak mahu menyerahkan kawasan itu kepada UMNO.
“Ahli-ahli UMNO di sini menuntut supaya kawasan itu diberikan kepada UMNO, tetapi pemimpin-pemimpin (UMNO) tidak menghiraukannya. Akibatnya mereka mengundi pembangkang”.
Pemimpin-pemimpin UMNO sekarang tidak sepatutnya memadang ringan alasan yang diberikan oleh Jefridin Atan itu. Beliau adalah Ketua Bahagian dan tahu hal sebenar yang berlaku di akar umbi. Tidak menghiraukannya akan membawa padah.
Kesimpulannya, Tanjung Piai bukanlah kubu kuat MCA. Ia diberikan oleh UMNO kepada MCA atas ihsan UMNO. MCA tidak ada hak untuk menganggap kawasan itu sebagai haknya, mahu pun kawasan tradisionalnya. Ihsan orang jangan dijadikan hak.
UMNO juga tidak harus lupa sikap MCA selepas PRU 14. Selama 60 tahun MCA menumpang ihsan UMNO semasa UMNO kuat. Sekali kalah, berbagai-bagai cercaan dilepaskan terhadap UMNO.
MCA terus menjauhkan diri daripada UMNO, menuntut supaya BN dibubarkan, menyebabkan pemimpin-pemimpin UMNO yang ada sekarang menyuruhnya keluar jika tidak yakin dengan BN lagi. Tetapi, entah mengapa, tidak pula ia berani bertindak keluar dari BN.
Dengan angkuh dan hendak membuktikan bahawa pengundi Cina menolak MCA kerana ia bersekongkol dengan UMNO, maka MCA masuk bertanding dalam PRK DUN Balakong pada 8 September 2018 dengan menggunakan simbolnya sendiri. Apa jadi? MCA mendapat 3,975 undi manakala PH yang meletakkan calon DAP mendapat 22,508 undi. Undi yang diperolehi oleh MCA itu tentu sekali termasuk undi orang Melayu, berapa banyak kita tidak tahu.
Biar apa pun MCA tahulah langit tinggi rendah.
Dalan PRK DUN Sungai Kandis, walau pun UMNO bertanding atas nama BN, kelibat MCA tidak kelihatan. UMNO sudah tidak berguna lagi. Lebih baik lari daripadanya.
Presiden MCA yang sering mencerca UMNO dan menuntut BN dibubarkan, kemudiannya memperolehi mandat daripada MCA sebelum menghadiri mesyuarat BN, untuk menuntut supaya BN dibubarkan. Kita tidak tahu apa yang berlaku dalam mesyuarat itu, tetapi BN tidak juga dibubarkan.
Sampai ke PRK Parlimen Cameron Highlands (26 01 2019). MIC yang mungkin merasakan tiada harapan untuk menang memberi laluan kepada UMNO. Sementara itu
UMNO dan PAS yang mula sedar tentang penting bekerjasama demi kepentingan Melayu dan Islam, buat pertama kali dalam berpuluh-puluh tahun, bersama-sama berkempen bagi calon BN, dan calon BN (UMNO) menang. PRK Cameron Highlands akan tercatat dalam sejarah sebagai titik permulaan kerjasama UMNO dan PAS yang membawa kejayaan.
Dua bulan kemudian, tiba pula PRK DUN Semenyih (02 03 2019). Kali ini UMNO dan PAS mengulangi kerjasama seperti di Cameron Highlands. Wajah pemimpin Wanita dan Pemuda MCA mula kelihatan. Calon BN (UMNO) menang lagi.
Ini mungkin menyebabkan MCA membuat perkiraan semula. Maka, semasa berkempen untuk PRK DUN Rantau (13 04 2019) yang ditandingi oleh Naib Presiden UMNO, DSU Mohamad Hassan,
setelah kemenangannya dalam PRU 14 dibatalkan oleh Mahkamah, pemimpin-pemimpin MCA sudah terang-terang berkempen, malah duduk dan berucap sepentas dengan pemimpin-pemimpin UMNO dan PAS. DSU Mohamad Hassan menang.
Selepas itu, nampaknya, mandat yang dahulu dijaja dengan megah itu sudah dilupai.
UMNO juga perlu ingat bahawa ia baharu sahaja menandatangani piagam muafakat dengan PAS.
PAS perlu meyakinkan ahli-ahli dan penyokongnya bahawa ia tidak melanggar dasar perjuangannya,
selama ini. Bagaimana pemimpin-pemimpin PAS akan menjawab jika ahli-ahlinya merungut: kita baru sahaja mewujudkan muafakat dengan UMNO. Sekarang kita diminta mengundi orang bukam Islam di kawasan yang majoriti pengundinya adalah orang Islam. Adakah kita mengadakan muafakat untuk memilih orang bukan Islam menjadi ketua kita? Jika itulah tujuannya, lebih baik tidak ada muafakat.
Jika rungutan yang sama dikemukakan oleh PAS kepada UMNO, apakah jawapan UMNO? Saya ingin dengar.
Dalam isu ini, UMNO perlu pilih antara PAS dan MCA. Di satu pihak ialah MCA yang telah menumpang UMNO semasa UMNO kuat dan berguna selama 60 tahun tanpa berterima kasih. Malah apa yang diberi atas ihsan itu dianggap sebagai hak. Apabila UMNO lemah dan tidak berguna kepadanya, ia menjauhkan diri, menghina dan mencerca dan menuntut supaya BN dibubarkan.
Tetapi, apabila nampak UMNO telah mula kuat semula dan menyedari ia tidak mempunyai kekuatan sendiri, maka MCA pun datang untuk berbaik-baik semula. Apabila nampak sahaja peluang yang menguntungkan, lantas ia menuntutnya, seolah-olah itu haknya, padahal ia adalah ihsan UMNO.
UMNO juga perlu fikir berapa undikah yang yang boleh di beri oleh MCA dan berapa undikah yang boleh diberi oleh PAS, kepadanya.
Di satu pihak lagi adalah PAS. PAS bersusah payah meyakinkan ahli-ahlinya untuk menerima muafakat dengan UMNO. Sebelum piagam ditandatangan pun, kerjasama antara UMNO dan PAS di tiga PRU itu telah memberi kemenangan kepada UMNO. PAS tidak mendapat apa-apa. Tetapi ahli-ahlinya bertongkos lumus bekerja siang dan malam untuk memberi kemenangan kepada calon UMNO. Yang membantu calon UMNO di ketiga-tiga PRU itu menang adalah PAS, bukan MCA.
Di Tanjung Piai pun, jika UMNO meletak calonnya, petugas-petugas PAS dari seluruh negara akan turun dan bekerja siang malam untuk memberi kemenangan kepada calon UMNO. PAS tidak
mendapat apa-apa. Sebaliknya, jika kawasan itu diberi kepada MCA untuk bertanding, saya percaya petugas-petugas PAS tidak akan turun padang, malah saya percaya penyokong-penyokong PAS sama ada tidak keluar menundi, membuat undi rosak atau mengundi calon PH yang semestinya Melayu dan Islam. (Penyokong- penyokong UMNO juga besar kemungkinan akan melakukan perkara yang sama,)
Jika MCA berkeras tidak mahu melepas kawasan itu kepada UMNO, UMNO boleh berkata kepada MCA, baik, MCA boleh meletakkan calonnya dan menggunakan simbolnya seperti di Balakong. UMNO akan meletakkan calonnya. Kita lihat keputusannya.
Jika MCA tidak puas hati dan hendak keluar dari BN pun, keluarlah. UMNO tidak akan rugi apa-apa berbanding dengan akibat kegagalan muafakat dengan PAS.
Penulis-penulis anti-muafakat UMNO-PAS bermain psikologi mengatakan bahawa muafakat itu perlu membuktikan bahawa ia tidak rasis dengan memberikan kawasan itu kepada MCA. Saya bertanya mereka, pernahkah MCA memberi satu kawasan majoriti Cina untuk ditandingi UMNO dan memberi kemenangan kepada UMNO?
Kita menunggu untuk melihat keputusan yang akan dibuat oleh pemimpin-pemimpin UMNO. Orang Melayu dan Islam tidak akan memaafkan mereka jika mereka memberikan kawasan Parlimen Tanjung Piai kepada MCA.
— TULISAN bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad ini dipetik dari tunabdulhamid.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan