HALAMAN SANTAI

Rabu, 25 September 2019

Orang Asli mati demam campak bukan keracunan

Kumara Sabapatty
MGF25092019_MenteriKesihatan03
Reaksi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad selepas mesyuarat pada sidang media berkenaan laporan kematian orang asli di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM
 

PUTRAJAYA- Hasil keputusan forensik Jabatan Kimia membuat kesimpulan kematian seramai 12 Orang Asli suku Batek Kuala Koh, Gua Musang Kelantan baru-baru ini disebabkan demam campak.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad menegaskan, melalui rumusan sekaligus menolak dakwaan awal kematian kontroversi sekumpulan Orang Asli itu berpunca daripada keracunan akibat pencemaran sungai.

Katanya, laporan forensik itu dijalankan oleh makmal kimia dalam negara dan tidak melibatkan penglibatan makmal luar Malaysia.

“Sebelum ini dikatakan sedikit lewat disebabkan kesukaran kerana kekurangan sampel tisu fizikal mayat yang ditanam mengikut tradisi suku masyarakat itu yang telah digali semula untuk ujian forensik menyukarkan dan melewatkan proses bedah siasat dengan memakan sedikit masa.

“Daripada 12 kematian Orang Asli yang dilaporkan kepada polis, lapan kematian disebabkan demam campak manakala empat lagi kematian tidak dapat ditentukan puncanya kerana tahap pereputan teruk.

“Maka berdasarkan keputusan analisa sampel persekitaran dan laporan kimia forensik itu disimpulkan kematian tidak berpunca daripada keracunan logam berat dalam air sungai.

“Beberapa sampel persekitaran seperti sumber air minum, tanah dan makanan (ikan kering) telah diuji kehadiran logam berat, mikro organisma dan racun perosak,” katanya dalam sidang media petang ini.

Tambah Dzulkefly, hasil pemeriksaan ujian itu juga mendapati sumber air minum Orang Asli iaitu air tandak, air sungai dan air telaga mematuhi nilai piawai kualiti air mentah untuk minuman dan bebas racun makhluk perosak.

Namun sumber air minum tersebut tercemar dengan beberapa bakteria patogenik, katanya.

Menurutnya,ujian dijalankan bagi menentukan kehadiran logam berat dalam air tetapi ia tak sampai peringkat yang boleh membawa kepada maut.

Justeru, ujarnya analisa mikrobiologi sampel tanah kubur dan sekitar tempat tinggal satu kematian adalah negatif untuk dua bakteria patogenik yang diuji iaitu miliodisis dan leptospirosis.

“Analisa yang dijalankan terhadap ikan kering juga mendapati tiada logam berat, histamin dan mikroorganisma sebaliknya faktor yang menyumbang kepada berlakunya wabak dan kematian demam campak adalah imunisasi dan tahap nutrisi rendah, cara hidup berpindah randah dalam kalangan kanak kanak Orang Asli dan adat memasuki hutan akibat sakit atau kematian menyumbang kepada kelewatan mendapatkan rawatan sehingga penyebaran terus berlaku.

“Sebagai rumusan wabak penyakit saluran pernafasan dalam kalangan Orang Asli suku Batek Kuala Koh, Gua Musang Kelantan yang berlaku 10 September 2019 adalah berpunca dari wabak demam campak,” ujarnya lagi.

Beliau juga memaklumkan sehingga 10 September lalu, sebanyak 213 kes gejala penyakit saluran pernafasan seperti demam, batuk dan selesema dilaporkan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 123 kes termasuk empat kematian disahkan kes demam campak melalui ujian makmal iaitu sebanyak 75 kes demam campak dengan satu kematian di Terengganu dan empat di Pahang namun tiada kematian direkodkan.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: