HALAMAN SANTAI

Ahad, 22 September 2019

AMANAH tetap stabil walaupun ada AGM parti dibatalkan

DENYUT REFORMASI

 
 
KUALA LUMPUR: Kedudukan Parti Amanah Negara (AMANAH) kekal stabil di seluruh negara walaupun sejumlah Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) parti itu di beberapa kawasan dan sayap dibatalkan.

Mengesahkan laporan sebuah portal mengenai status sebahagian kawasan dan sayap parti yang terjejas, Setiausaha Agung AMANAH, Mohd Anuar Mohd Tahir, berkata parti itu terus menerima keahlian baharu dengan jumlah tinggi setiap bulan.

Katanya, situasi dihadapi parti serpihan PAS itu tidak memberi kesan atau mengganggu proses pemilihan dan penganjuran Konvensyen Nasional 2019 AMANAH pada Disember depan.

“Penganjuran Taklimat Khas Organisasi 2019 pada 21 September (hari ini) hanya bertujuan menjelaskan kedudukan sebenar dan memberi kaedah penyelesaian kepada Ketua dan Setiausaha Kawasan serta Sayap yang terbabit.

“Segala pandangan dan kritikan hadirin diberi perhatian serta diterima baik kepemimpinan AMANAH untuk mengukuhkan parti ini.

“Berdasarkan maklum balas hadirin, AMANAH menjangkakan pemulihan ini tidak akan mengambil masa panjang untuk diselesaikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam satu portal berita dalam talian melaporkan sebanyak 148 AGM termasuk peringkat kawasan, sayap pemuda dan wanita AMANAH dibatalkan di seluruh negara kecuali Sabah.

Menurut portal itu, daripada jumlah tersebut, sebanyak 81 yang terbatal membabitkan AGM peringkat kawasan, manakala 32 AGM bagi Angkatan Wanita Amanah Nasional (AWAN), dan 35 AGM bagi sayap pemuda parti itu. 
 
 

Tiada ulasan: