KUALA LUMPUR: Malaysia tidak mahu mengambil pendirian berkonfrontasi terhadap China dalam pertikaian Laut China Selatan dan dakwaan penganiayaan terhadap etnik Uighur, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam satu temubual hari ini.
Malaysia terlalu kecil untuk berdepan gergasi Asia itu, walaupun kapal-kapal China meninjau di perairannya untuk mencari minyak dan gas di Laut China Selatan tanpa izin, katanya kepada satu laman berita dalam talian ketika melawat New York, Amerika Syarikat minggu ini.
“Kami perhati perbuatan mereka, kami lapor perbuatan mereka, tetapi kami tak usir atau cuba jadi agresif,” kata Mahathir kepada BenarNews.
“Negeri-negeri Melayu wujud berdekatan dengan China sejak 2,000 tahun lalu. Kami masih selamat kerana kami tahu bagaimana menjaga tingkah laku. Kami tak cuba menjadi agresif kerana kami tiada upaya, jadi kami guna cara lain.”
Beliau berkata dulu Malaysia menghantar “bunga emas kepada China setiap tahun sebagai simbol kami menurut perintah mereka.”
Bulan ini, China dan Malaysia bersetuju menubuhkan satu mekanisme dialog bersama untuk Laut China Selatan, kerana hubungan antara negara semakin baik. China merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia.
Presiden China Xi Jinping menyelia rancangan mengubahsuai tenteranya ketika negara itu meningkatkan keberadaannya di Laut China Selatan dan Taiwan, menyebabkan rantau ini dan Washington gementar.
Mahathir berkata kekuatan China sebab kenapa Malaysia tidak banyak bercakap mengenai dakwaan Beijing menindas etnik Uighur.
“Anda tak boleh cuba dan buat sesuatu yang akan gagal, jadi lebih baik cari cara yang tidak ganas untuk tidak menyebabkan China jadi marah, kerana China bermanfaat pada kita,” katanya.
“Sudah tentu China rakan dagangan terbesar kami dan anda tidak mahu buat sesuatu yang akan gagal, dan dalam proses itu, kita akan terjejas.”
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berkata sekurang-kurangnya 1 juta etnik Uighur dan etnik beragama Islam lain ditahan dalam apa yang China dakwa “pusat latihan vokasional” bagi membasmi ekstremisme dan memberi kemahiran baru.
Pemimpin berusia 94 tahun itu juga berkata polis sedang memastikan adakah ahli perniagaan yang dikehendaki, Low Taek Jho berada di China.
Penyiasat menamakan Low sebagai watak utama dalam skandal 1MDB, yang menurut pendakwa raya AS dan Malaysia digunakan untuk menyalurkan ratusan juta dolar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan