Hari Malaysia pada 16 September lalu amat bermakna bagi penduduk Kampung Barambang di pedalaman Ranau, Sabah kerana julung-julung kalinya kampung itu diterangi cahaya lampu elektrik.
Jika sebelum ini penduduk kampung hanya bergantung kepada lampu damar yang malap bagi menjalankan aktiviti pada waktu malam, keadaan kini mulai berubah apabila lampu mikro hidro dipasang di rumah mereka.
Projek itu merupakan hasil NGO Light Up Borneo yang merupakan pertubuhan yang membantu penduduk di kawasan pedalaman mendapatkan bekalan elektrik tanpa mengharapkan bantuan daripada kerajaan.
"Kesukaran
membaca buku, menghantar anak ke sekolah di awal pagi dan aktiviti di
waktu malam kini dapat diatasi setelah lampu mikro hidro ini dipasang,"
kata salah seorang penduduk kampung, Alex Kigiwit ketika dihubungi Malaysiakini.
Menurut penyelaras projek, BK Ong, pemasangan lampu tersebut
mengambil masa selama lima hari dan bekalan elektrik disalurkan secara
tetap ke rumah 12 keluarga.
Projek itu merupakan hasil kerjasama 30 sukarelawan dari Sabah dan Semenanjung Malaysia serta bantuan penduduk kampung sendiri.
Katanya, selain membantu penduduk menerima bekalan elektrik,
projek itu juga bertujuan merapatkan jurang antara penduduk bandar dan
kawasan pedalaman.
“Sambutan Hari Malaysia (di Kampung
Barambang) ini diadakan bertujuan untuk menghimpunkan rakyat Malaysia
dari semenanjung Malaysia dan Sabah Sarawak agar perpaduan yang tulen
dapat dipupuk,” katanya.
Terdahulu, sukarelawan terlibat mengharungi jarak perjalanan selama lima jam dari Kota Kinabalu ke bandar Kg Barambang dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
Kira-kira satu jam masa perjalanan diambil untuk memasuki kampung berkenaan memandangkan keadaan jalan tidak berturap.
Malah semasa perjalanan pulang, salah sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka turut mengalami kerosakan.
Bagaimanapun
cabaran itu tidak mematahkan semangat sukarelawan Light Up Borneo untuk
meneruskan misi membantu penduduk kampung di pedalaman Sabah dan
Sarawak menenerima bekalan elektrik.
Mereka juga
merancang untuk menerangi penempatan Orang Asli di Pahang yang masih
belum menerima kemudahan berkenaan pada masa akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan