Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri bercakap pada sidang media selepas
mengadakan pertemuan dengan persatuan pengilang beras di Menara Dato
Onn, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL
KUALA LUMPUR – Kegagalan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor
menyelesaikan isu perobohan rumah di Kampung Sungai Kedondong, Paya
Jaras Hilir sudah dijangka meskipun penduduk terbabit dijanjikan dengan
pelbagai insentif termasuk Rumah Selangorku.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan,
walaupun penduduk sudah dijanjikan wang perpindahan sehingga RM7,000
seorang dan sebuah rumah, namun sehingga kini tiada usaha ke arah itu.
“Saya difahamkan macam-macam janji telah diberikan oleh kerajaan
negeri kepada mereka, tetapi janji Kerajaan PH ini sudah terbukti
semuanya tidak ditunaikan.
“Jadi tak menunaikan janji itu adalah manifesto mereka, manifesto
mereka adalah tidak menunaikan janji,” katanya ketika ditemui pemberita
di pejabatnya di Menara Dato’ Onn, di sini, hari ini. Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri (tengah) bersama Pengerusi
Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia, Mohamad Termizi Yop (dua
kanan), Pengerusi Persatuan Sino Malay Kedah, Tan Yen Seong (dua kiri)
serta ahli persatuan yang lain bercakap pada sidang media selepas
mengadakan pertemuan dengan persatuan pengilang beras di Menara Dato
Onn, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL
Rabu lalu, lebih 30 buah rumah berhampiran Sungai Kedondong, Paya
Jaras Hilir yang dibina di atas tanah rizab milik kerajaan Selangor
dirobohkan bagi meneruskan projek meluaskan sungai di tepi kawasan
perumahan.
Projek meluaskan sungai tersebut sudah lama dijalankan namun terpaksa ditangguh beberapa kali susulan rayuan penduduk kampung.
Notis penangguhan perobohan terakhir diberikan pada 4 September lalu
oleh Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah bersama ADUN, serta
pejabat tanah wakil daripada Menteri Besar Selangor.
Ismail Sabri juga berkata, walaupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Paya Jaras, Khairuddin Othman tidak boleh menyelesaikan kemelut itu
secepat mungkin, sekurang-kurangnya beliau perlu bertemu dengan
pengundinya.
“Sekurang-kurangnya jumpa dengan penduduk kampung untuk berbincang
walaupun tak boleh selesai secepat mungkin tapi sebagai wakil rakyat
jumpa lah.
“Awak tak boleh marah kepada rakyat kerana aduan kepada media dan
sebagainya, marah kepada rakyat dan terus tak nak jumpa rakyat, tak
boleh.
“Kita sebagai pemimpin dikritik oleh pengundi adalah perkara biasa.
Jadi jumpa dan cuba selesaikan, mesti bertanggungjawab dengan isu yang
berlaku,” katanya.
Katanya lagi, walaupun Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan
(KPKT), Zuraida Kamaruddin sudah membuat pengumuman semalam untuk
membantu, namun penduduk terbabit masih lagi terabai bahkan dihalau pula
dari penempatan sementara.
“Kerajaan Negeri Selangor masih belum ambil tindakan, walaupun malam
tadi saya dengar Menteri KPKT sendiri membuat kenyataan mengatakan
mereka akan menawarkan rumah dan sebagainya.
“Setakat ini belum ada apa-apa lagi dan hari ini sebahagiannya sudah
pun berpindah ke rumah-rumah sewa, ada yang berpindah ke rumah jiran
tetangga yang bersetuju untuk membenarkan mereka tinggal sementara.
“Kerajaan Negeri Selangor mesti menyediakan rumah untuk mereka
berpindah sama ada rumah PPR yang perlu dibeli atau sebagainya, itu
salah satu cara,” katanya.
Beliau turut berkata, sebelum perobohan Kerajaan Negeri Selangor
sepatutnya menyediakan rumah gantian atau sekurang-kurangnya rumah
transit sebelum penduduk dipindahkan ke rumah sebenar.
“Macam biasa dulu sebelum kita pindahkan, kita buat rumah transit dan
sebagainya, buat rumah transit pun cukup untuk mereka tinggal sementara
mereka pindah ke rumah lain.
“Takkan dibiarkan mereka selamanya duduk tinggal di rumah jiran.
Selepas itu apa langkah seterusnya, tindakan seterusnya penting untuk
jangka panjang selesaikan isu itu.
“Untuk menyelesaikan tentu saja sediakan rumah sementara ataupun rumah PPR yang saya rasa lebih baik untuk mereka,” katanya.
Ditanya tentang Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengatakan
pembangkang cuba mengambil kelebihan politik daripada isu perobohan
rumah itu, beliau menegaskan isu terbabit timbul daripada perbuatan
Kerajaan PH sendiri.
“Kalau dia tak robohkan rumah mereka, tak diletakkan dalam khemah
yang tiada kemudahan asas dan sebagainya, kita takkan turun berjumpa
dengan mereka, saya pun tak turun.
“Isu ini bukan diada-adakan oleh pembangkang, isu ini adalah isu sebenar.
“Walaupun pembangkang bangkitkan isu ini, tapi apa yang berlaku itu
perlu diselesaikan, jangan kerana pembangkang yang bangkit, jadi mereka
tak nak menyelesaikan isu itu.
“Tak boleh macam itu, mereka kerajaan, kalau kita kerajaan, kita
selesaikan. Kalau dia kerajaan, dia kena selesaikan,” katanya lagi. –
MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan