HALAMAN SANTAI

Ahad, 22 September 2019

K'jaan digesa pertimbang mansuh bayaran visa pelancong

MALAYSIAKINI

   

Kerajaan digesa mempertimbangkan untuk memansuhkan bayaran visa pelancong pada musim-musim tertentu untuk menarik lebih ramai pelancong mengunjungi negara ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, Malaysia harus mengambil petunjuk dari Thailand yang memansuhkan bayaran visa 2,000 Baht (RM273) bagi pelancong yang tiba di negara itu antara November dan April selama dua tahun berturut-turut.

"Dunia telah menyaksikan kejayaan program ini di Thailand dan sekarang juga Rusia sedang mengamalkannya. Malaysia perlu meneliti kos visa untuk menarik lebih banyak pelancong.

"Sekurang-kurangnya kita harus melihat pelaksanaannya untuk bulan-bulan musim sejuk, dan dengan serta-merta mempromosikannya kepada pengunjung berpotensi yang ingin bercuti dan lari dari musim sejuk," kata Lim.

Rusia kini tidak lagi mengenakan bayaran kedutaan untuk 53 negara - termasuk Malaysia - yang melawat St Petersburg dan sekitarnya.

Pengunjung masih perlu membayar yuran kedutaan jika mereka ingin melawat bahagian lain di negara itu.

Lim berkata penerimaan pelancongan untuk separuh pertama 2019 ialah RM41.687 bilion dan kenaikan lima peratus sekali pun akan bererti tambahan RM2 bilion.

"Jumlah besar ini pasti akan membantu dalam ekonomi kita dan kesannya akan dapat menitis kepada komuniti B40 (golongan berpendapatan rendah) kita.

"Marilah kita proaktif dan merebut peluang sekarang," katanya.


Tiada ulasan: