Golongan pelajar perlu diberi peluang untuk mendapat lebih
banyak akses kepada bahan sastera dalam usaha membudayakan aspek itu
dalam kalangan anak muda, kata penerima Anugerah Sastera Negara ke-14
Prof Dr Siti Zainon Ismail.
"Kita perlukan penerus (pewaris) generasi supaya generasi kita yang bakal menjadi pemimpin tahu apa maknanya susastera, iaitu sastera yang indah, penuh adab dan penuh akal fikiran.
"Ia untuk bangsa dan negara kita yang hargai. Tradisi seni sastera tidak bererti ia kuno kerana ada sejarah dan ilmu di sebalik setiap sastera dan ia boleh dikaji masyarakat," katanya kepada pemberita apabila ditanya mengenai perancangannya dalam dunia kesusasteraan.
Beliau yang merupakan wanita kedua meraih anugerah itu selepas Dr Zurinah Hassan menjelaskan peranan wanita penting dalam memupuk nilai positif yang terkandung dalam sesebuah karya sastera.
"Sememangnya ramai penulis wanita tetapi karya-karya mereka belum dikaji secara penuh (menyeluruh).
"Peranan kaum ibu umpamanya (dipaparkan) jika membeli karya Zurinah Hassan... boleh menceritakan nilai dan warisan yang terkandung dengan anak-anak.
"Ini ialah warisan... untuk moden, kita teruskan tapi harus diingat, moden tidak akan ada kalau tiada warisan kerana ia hadir di sekitar kita dan kita perlu hargainya," jelasnya yang juga pernah merangkul beberapa anugerah sepanjang penglibatannya dalam seni sastera.
Dilahirkan pada 18 Disember 1949 di Gombak, Kuala Lumpur, Siti Zainon merupakan alumni Sekolah Aminuddin Baki, Kuala Lumpur dan melanjutkan pelajaran di Akademi Seni Rupa Indonesia (Asri) di Yogyakarta, Indonesia pada 1969-1974 sehingga memperoleh sarjana muda seni lukis
Sejak 1985, beliau menghasilkan 20 buku kajian yang menjadi rujukan budayawan, pengkaji budaya mahupun pelajar di dalam dan luar negara.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan