HALAMAN SANTAI

Sabtu, 21 September 2019

PAS Kedah: Rampas kerajaan sebelum PRU bukan fokus kerjasama

Piagam Muafakat Nasional antara Umno-PAS dimeterai minggu lalu.
 
PETALING JAYA: Walaupun penyatuan pembangkang merapatkan perbezaan kerusi di Dewan Undangan Negeri, PAS Kedah berkata merampas kerajaan negeri daripada Pakatan Harapan (PH) sebelum pilihan raya umum ke-15 tidak menjadi tumpuan kerjasama dengan Umno.

Pesuruhjaya Ahmad Yahya berkata tumpuan ditekankan pada rancangan yang lebih besar, termasuk persiapan pilihan raya.

“Fokus kita perkukuh hubungan kerjasama di peringkat kawasan dan cawangan…tidak fokus nak rampas kerajaan separuh jalan,” katanya kepada FMT.

Beliau juga menepis kemungkinan membentuk kerajaan perpaduan bersama PH di negeri jelapang padi itu sekiranya kedudukan kerusi sama.

“Mereka mendahului sebab Adun Guar Chempedak dari Umno (Ku Abdul Rahman Ku Ismail) sudah beralih kepada PH, ditambah dengan speaker yang dilantik.

“Pembentukan kerajaan baru tidak akan berlaku dalam tempoh terdekat, kecuali kalau ada benda di luar jangka.”

Pada kedudukan sekarang, PAS ada 15 kerusi, Umno dua kerusi, dan PH 19 kerusi.

Menurut Ahmad, kerjasama PAS-Umno diterima baik di peringkat akar umbi, walaupun mereka pernah sengit berseteru di negeri itu.

Ditanya penerimaan ahli PAS terutama di Memali, Baling, Ahmad berkata sehingga kini tiada suara bantahan, kecuali daripada mereka yang sudah menyertai PH.

“Kerjasama ini hasil daripada pelbagai perkara antaranya kerana tindak balas terhadap kecelaruan dalam PH, kerajaan PH gagal menjaga Islam dan kepentingan sedia ada mengikut apa yang termaktub dalam perlembagaan,” katanya.

Memali pada 1985 menyaksikan 4 anggota polis dan 13 penyokong seorang guru agama yang rapat dengan PAS, Ibrahim Mahmud, terkorban dalam operasi untuk menahannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, selepas beliau dituduh menyebarkan ajaran sesat.

“Masyarakat Memali sendiri menerima baik kerjasama ini tapi dalam masa sama bukan bermaksud kita mendiamkan apa yang berlaku di Memali,” kata Ahmad.

Beliau berkata mereka akan terus memperingati hari tragedi itu yang akan dijalankan seperti biasa.
“Tragedi Memali merupakan isu besar yang tidak akan PAS lupakan,” katanya.

Status quo

Sementara itu, seorang penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Sivamurugan Pandian tidak nampak akan berlaku pembentukan kerajaan baru di Kedah, mengatakan intipati Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai minggu lalu tidak bertujuan menjatuhkan kerajaan sedia ada.

“Status quo melainkan keadaan luar jangka berlaku di mana kerajaan sedia ada berhadapan kemelut dalaman yang berpanjangan dan wujud isu dari dalam sehingga Umno-PAS menjadi ‘kingmaker’,” katanya.

Sivamurugan berkata piagam itu lebih kepada mempertahan isu agama, raja dan bangsa yang sudah jelas termaktub dalam perlembagaan.

“Hubungan dengan kaum lain tidak akan terjejas jika tuntutan perlembagaan mendasari piagam ini,” katanya.

“Malahan dalam piagam ini, intisari nasional diberikan tema untuk menunjukkan kerencaman demografi tidak terpinggir dalam dokumen ini.”

Piagam Muafakat Nasional antara Umno-PAS menggariskan 5 teras, termasuk janji mahu mengusahakan secara kolektif satu “citra dan tawaran baru untuk negara dalam meningkatkan tadbir urus yang baik.”

Tiada ulasan: