HALAMAN SANTAI

Selasa, 24 September 2019

Kempen BMF: DPMM bincang ikhlas dengan pemborong bukan Melayu


   

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) akan berbincang secara ikhlas bersama semangat persaudaraan dengan pemborong bukan bumiputera untuk mengetengahkan lagi kempen utamakan barangan Muslim (BMF).

Presidennya, Syed Hussein Alhabshee, berkata kerjasama secara holisitik bersama pemborong Cina dan India itu perlu kerana majoriti ekonomi negara kini dipegang oleh kaum terbabit.

“Dalam rantaian ini (proses penjualan produk) yang menguasai peruncitan dan pengedaran adalah orang Cina dan India. Kita (Melayu) lepas merdeka baru hendak membangun.

“Maka DPMM akan bekerjasama dengan mereka (pemborong Cina dan India) supaya produk Melayu dapat dipasarkan di pasar raya besar.

“Benda ini yang DPMM buat ini (kerjasama) dengan cara ikhlas dan bersaudara sesama rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Kempen BMF dikesan sejak akhir tahun lepas dengan tujuan menggalakkan orang Melayu dan Islam memilih produk keluaran Muslim berbanding pengeluar lain.

Kempen itu kurang mendapat perhatian sehinggalah Ogos lalu apabila semakin ramai menyertai kumpulan tersebut yang bergerak di media sosial.

Bagaimanapun, terdapat penyokong kempen itu bersikap lebih ekstrem dengan mengajak orang ramai memboikot produk bukan Muslim.

Sementara itu Presiden DPMM Kedah, Zulhaizar Abd Karim, berkata sejak kempen BMF berlangsung, pemborong bukan bumiputera mula ingin bekerjasama dalam memasarkan produk Muslim.

“Keadaan sudah berubah, dulu pemborong bukan bumiputera tidak pandang sangat (produk Muslim) sebab kurang permintaan.

“Semenjak ada BMF ini, pemborong bukan bumiputera sudah ingin bekerjasama dan memastikan ada produk Muslim di pasar raya kerana pengguna kini semakin teliti dengan pembelian produk Melayu,” katanya.


Tiada ulasan: