“DARI malam tadi perasaan saya sangat berdebar sehingga pagi ini namun sebaik saja dimaklumkan keputusan inkues menyebelahi arwah, saya rasa sangat lega,” kata ibu Muhammad Adib, Asma Aziz, 52.
Asma berkata, sebaik saja mengetahui keputusan itu, dia dan suami Mohd Kassim Abdul Hamid, 64, terus mengucapkan rasa syukur dengan deraian air mata.
Katanya, doa mereka sebagai ibu bapa termakbul selepas hampir setahun menanti keadilan buat Allahyarham Adib.
“Perasaan itu tak dapat saya gambarkan dengan kata-kata, walaupun rasa lega tapi Adib sudah tiada. Saya harap selepas ini penjenayah yang memukul arwah dapat ditangkap polis.
“Saya mahu melihat wajah orang yang memukul anak saya, saya mahukan keadilan untuk arwah dan pelaku mesti dijatuhkan hukuman setimpal,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tebengau, Kuala Kedah, hari ini.
Ibu kepada empat anak ini berkata, dia sangat berterima kasih kepada semua pihak yang membantu termasuk kepada rakyat Malaysia yang mendoakan dan memberi semangat.
Katanya, dia dan suami sepatutnya berada di mahkamah hari ini, namun membatalkan niat kerana perasaan tidak menentu selain risau sekiranya keputusan tidak memihak kepada anaknya.
“Tatapi petang ini saya dan suami akan ke Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan anak-anak yang berada di sana,” katanya.
Sementara itu, Mohd Kassim berkata, keputusan inkues adalah berita gembira untuknya sebagai seorang bapa.
Dia turut berterima kasih kepada semua pengamal media yang turut memberi liputan yang baik mengenai kes ini.
“Alhamdulillah saya gembira dengan keputusan ini, segalanya sudah terjawab,” katanya.
Mahkamah Koroner Shah Alam, hari ini, memutuskan punca kematian Muhammad Adib Mohd Kassim berpunca akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu tidak dikenali
Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.
Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan