MEDAN BERITA POLITIK : KE ARAH BERFIKIR, MENGINSAFI DAN BERTINDAK
HALAMAN SANTAI
Isnin, 23 September 2019
Kes rasuah Ahmad Zahid akan difail untuk didengar di mahkamah tinggi
MALAYSIAKINI
Mahkamah Sesyen di Shah Alam, hari ini diberitahu, 40 pertuduhan
menerima rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) yang dihadapi
bekas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi akan difailkan untuk
didengar di Mahkamah Tinggi oleh pihak pembelaan.
Peguam Ahmad
Zaidi Zainal yang mewakili Ahmad Zahid memaklumkan demikian ketika
prosiding pengurusan kes itu di hadapan Hakim Rozilah Salleh.
“Pihak
pembelaan dan pihak pendakwaan telah berbincang dan bersetuju supaya
semua dokumen berkaitan kes diserahkan oleh pendakwaan kepada kami dalam
masa sebulan lagi.
“Selepas itu, kami akan failkan kes ini dan membuat permohonan supaya kes didengar di Mahkamah Tinggi di sini,” katanya.
Timbalan
Pendakwa Raya Gan Peng Kun pula memaklumkan kepada mahkamah bahawa
pihaknya memerlukan masa kerana terdapat lebih 500 dokumen sedang
disediakan untuk diserahkan kepada pihak pembelaan.
Rozilah kemudian menetapkan 25 Okt ini untuk pengurusan kes di mahkamah sama.
Terdahulu,
Gan memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan menarik balik
permohonan bagi memindahkan 33 pertuduhan rasuah yang dihadapi Ahmad
Zahid untuk didengar di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
“Pendakwaan
menarik balik permohonan (memindahkan 33 pertuduhan ke Mahkamah Sesyen
Kuala Lumpur) memandangkan semakan semula kes di Mahkamah Tinggi Kuala
Lumpur (bagi memindahkan tujuh lagi pertuduhan rasuah ke Mahkamah Sesyen
Kuala Lumpur) telah ditolak dan hakim memerintahkan supaya kesemua kes
ini kekal untuk didengar di mahkamah ini,” katanya.
Pada 31 Julai
lepas, pihak pendakwaan memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang membenarkan
permohonan Ahmad Zahid untuk memindahkan tujuh pertuduhan bagi
dibicarakan bersama 33 lagi pertuduhan rasuah berhubung VLN yang
dihadapinya di mahkamah sesyen di Shah Alam.
Bagaimanapun,
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan semula itu pada
28 Ogos lepas kerana tidak menemui kekhilafan dalam perintah pemindahan
kes ke Mahkamah Sesyen Shah Alam yang dibuat oleh Mahkamah Sesyen Kuala
Lumpur mengikut Seksyen 104 Akta Mahkamah Rendah 1948.
Pada 26
Jun lepas, Ahmad Zahid didakwa atas tujuh pertuduhan menerima suapan
daripada sebuah syarikat berjumlah S$4.24 juta membabitkan Sistem VLN,
dua tahun lepas.
Bagi kesemua pertuduhan itu, Ahmad Zahid didakwa
telah menerima rasuah berjumlah S$4.24 juta daripada Syarikat Ultra
Kirana Sdn Bhd, sebagai dorongan untuk dirinya sebagai seorang pegawai
badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri (KDN)
Malaysia,
melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali
Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di negara China dan Sistem VLN.
Ahmad Zahid dituduh melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya antara 28 Mac 2017 dan 2 Mac 2018.
Kesemua
pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) dan boleh dihukum di bawah
Seksyen 24 (1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun
dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau
RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Manakala
pada 27 Jun lepas, Ahmad Zahid didakwa dengan 33 lagi pertuduhan
menerima rasuah berjumlah RM42.76 juta daripada sebuah syarikat
berhubung sistem sama.
Bagi 26 pertuduhan, presiden Umno itu
didakwa menerima suapan dari Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd berjumlah
S$9,320,000 sebagai dorongan untuk dirinya sebagai seorang pegawai badan
awam iaitu Menteri Dalam Negeri di KDN, telah melanjutkan kontrak
syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di negara China dan
Sistem VLN serta didakwa mengekalkan kontrak perjanjian untuk
membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.
Beliau
dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di No 389, Jalan Bayu Nyaman,
Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Julai 2017.
Bagi
tujuh pertuduhan lagi, Ahmad Zahid didakwa sebagai seorang pegawai badan
awam iaitu Menteri Dalam Negeri di KDN Malaysia telah mendapat untuk
dirinya satu benda berharga iaitu wang tunai S$150,000, RM325,000,
EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan dari syarikat sama yang mempunyai
hubungan dengan kerja rasmi tertuduh.
Ahmad Zahid didakwa
melakukan kesalahan itu di tempat sama antara Jun 2015 dan April 2017
mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara
maksimum dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit
kesalahan.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan