HALAMAN SANTAI

Isnin, 23 September 2019

Peruntukan antidiskrimasi di tempat kerja ditarik balik


   

Cadangan peruntukan baru dalam dalam Akta Pekerjaan 1955 untuk membendung diskriminasi dalam prapengambilan pekerja dikatakan ditarik balik selepas menerima bantahan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).

Keputusan itu diambil di sebalik janji Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran untuk meminda undang-undang bagi menangani isu berkaitan diskriminasi di tempat kerja.


"Ia memang benar. Ada perbincangan dan mereka memutuskan untuk tidak meneruskan perkara itu (peruntukan itu). Kami sebenarnya menyatakan pendirian kami jauh lebih awal kepada kementerian," kata pengarah eksekutif MEF Shamsuddin Bardan ketika dihubungi.


Malaysiakini telah menghubungi Kementerian Sumber Manusia bagi mendapatkan ulasan dan masih menunggu maklum balas.

Berdasarkan cadangan pindaan dalam Akta Kerja 1955, yang disiarkan di laman web kementerian itu pada Sept 2018, ada lebih daripada 50 pindaan yang dicadangkan.

Antaranya peruntukan baru untuk "prapekerjaan", yang menyatakan "majikan tidak boleh mendiskriminasi pencari kerja berdasarkan jantina, agama, kaum, kecacatan, bahasa, status perkahwinan dan kehamilan".
Shamsuddin Bardan
Majikan boleh disiasat pihak berkuasa jika terdapat sebarang aduan berkenaan dakwaan diskriminasi dan pelanggaran arahan akan dianggap sebagai satu kesalahan.

Pada Ogos lalu, Kulasegaran berkata cadangan pindaan akan dibentang ketika sidang parlimen akan datang selepas selesai sesi libat urus awam dan diluluskan kabinet.

Akta Pekerjaan tak boleh kawal "prapekerjaan"

Menurut Shamsuddin, Akta Pekerjaan hanya boleh menyentuh perkara antara majikan dan pekerja, maka peruntukan "sebelum pekerjaan" tidak boleh dimasukkan.


"Pekerja perlu terlebih dulu diambil kerja, baru akta itu terpakai. Ia tidak meliputi isu tentang pra-pekerjaan," katanya.

Katanya lagi, Akta Pekerjaan akan bertentangan dengan prinsipnya dan menjadi tidak terpakai jika ia meliputi soal sebelum pekerjaan.

Ditanya berkenaan cadangan alternatif untuk menangani masalah diskriminasi, beliau berkata kerajaan boleh memperkenalkan garis panduan untuk mendidik majikan.

"Kementerian boleh keluarkan garis panduan agar majikan menjadi lebih bertanggungjawab," katanya, sambil menambah isu diskriminasi tidak semestinya ditangani dengan undang-undang.
Ragunath Kesavan
Sementara itu, bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia Ragunath Kesavan menafikan hujah itu dan menegaskan kepentingan peruntukan antidiskriminasi.


"Kemasukan perlindungan kepada pencari kerja daripada diskriminasi dalam akta itu bukan saja munasabah tetapi ia perlu digubal. Di negara dengan demokrasi matang pun, ada undang-undang memadai untuk memastikan kesamaan dan tiada diskriminasi," katanya menerusi emel kepada Malaysiakini.

Beliau turut menjelaskan akta pekerjaan di negara ini menetapkan standard mininum berkenaan pekerjaan, kewajiban dan tugas statutori yang dikuatkuasakan Jabatan Buruh.

"Walaupun proses pengambilan kerja ialah 'pra-pekerjaan', tiada halangan untuk mengenakan kewajiban dan tugas statutori kepada majikan berkaitan antidiskriminasi dan kesamaan.

"Tugas statutori ini boleh dikenakan ke atas majikan, dan mungkin peruntukan boleh dimasukkan dalam cadangan pindaan berkenaan tindakan terhadap majikan yang melanggarnya," katanya lagi.

Undang-undang baru sebagai alternatif
 
Pada masa ini, Akta Pekerjaan hanya terpakai kepada segmen pekerja tertentu, seperti pekerja dengan gaji bulanan kurang dariada RM2,000, dan pekerja bidang buruh seperti operator pengangutan dan penyelia.

Menurut Ragunath lagi, peruntukan antidiskriminasi juga perlu dimasukkan dalam Akta Perhubungan Perusahaan untuk melindungi hak buruh dengan lebih luas.

"Jika ia dianggap terlalu sukar, kita mungkin boleh melihat pilihan Akta Kesaksamaan (Equality Act) seperti di United Kindom," katanya lagi.


Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph, yang merupakan kalangan yang menyertai rundingan awam dengan kementerian, mengesahkan bahawa seorang pegawai kementerian memberitahu pemegang taruh bahawa peruntukan untuk melindungi pencari kerja tidak akan dimasukkan ke dalam rang undang-undang (RUU) akhir.


"Kami diberitahu yang kerajaan telah memutuskan untuk menarik balik peruntukan daripada RUU Akta Pekerjaan. (Bagaimanapun) pegawai kementerian memberitahu kami yang mereka tidak akan tarik balik perlindungan untuk pencari kerja. Ia masih menjadi perkara penting untuk diusahakan mereka.

"Mereka menimbang untuk memperkenalkan peruntukan baru dalam akta atau RUU lain. Tetapi ketika kami tanya bila dan berapa lama masa akan diambil, mereka masih belum ada jawapan," katanya lagi.

Beliau menegaskan Suhakam menyokong peruntukan antidiskriminasi dan setuju ia dimasukkan dalam Akta Pekerjaan.


Beliau turut mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan dasar yang memberikan insentif untuk menggalakkan majikan mengambil pekerja kelainan upaya atau golongan minoriti lain, selain menghukum amalan diskriminasi.

"Ada kerja yang sukar untuk orang kelainan upaya, tetapi ada juga kerja yang boleh mereka lakukan dengan sedikit pengubahsuaian daripada majikan," katanya lagi.


Tiada ulasan: