Selepas dibebaskan daripada hukuman penjara 30 bulan atas kesalahan mendedahkan data bank berkaitan National Feedlot Corporation (NFC), Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menyatakan bahawa beliau tidak berniat untuk kembali aktif dalam politik pada masa terdekat ini.
Bercakap kepada wartawan luar Mahkamah Tinggi Shah Alam pagi ini, bekas ahli parlimen Pandan itu berkata beliau mahu terus menjadi "orang biasa" dan menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga dan rakan-rakannya.
“Ramai yang kurang faham yang masa di dalam medan depan politik ambil masa cukup panjang dan tenaga serta masa daripada keluarga.

“Masalah utama orang politik baik BN dan sekarang Pakatan Harapan (PH), bila menang jadi kerjaaan, dia tak hidup seperti orang biasa, dia jadi lupa daratan,terpisah dengan realiti.
“Jadi saya rasa masa PH berkuasa adalah zaman saya kembali jadi orang biasa, cari makan macam orang biasa,” katanya.

Susulan itu, Rafizi tidak bertanding pada pilihan raya umum tahun lalu.
Selepas PRU14, Rafizi mengundang bidasan daripada pelbagai pihak keranta mempersoalkan anggota kabinet yang dilantik oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Rafizi, yang adalah sekutu Presiden PKR, Anwar Ibrahim, juga gagal menyingkirkan timbalan presiden Azmin Ali dalam pemilihan parti tahun lalu. Walau bagaimanapun, beliau kemudian dilantik sebagai naib presiden.
Beliau kemudiannya mengekalkan profil yang rendah sejak itu.
Ditanya sama ada beliau bersedia untuk kembali membantu Anwar dalam kancah politik negara, Rafizi berkata, ia terpulang kepada ketuanya.
“Itu hak beliau (Anwar). Saya rasa kawan-kawan dalam PKR dan Anwar sendiri serba tahu, bahawa apabila saya meninggalkan dunia korporat kira-kira 10 atau 11 tahun lepas, saya tidak pernah ada tujuan untuk menjawat jawatan lain dan sebagainya.
“Kami ada misi pada masa itu iaitu kita boleh tukar kerajaan. Dahulu orang kata jika tukar kerajaan akan kiamat, sekarang terbukti tidak kiamat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan