Hari ini, 31 Disember merupakan hari terakhir bagi tahun 2019 dan esok, kita akan melangkah ke tahun baru 2020.
Sepanjang tahun lalu, apakah yang mahu kita kenang tentang 2019?
Secara
keseluruhan, meskipun tahun 2018 boleh dianggap tahun manis bagi PH
kerana berjaya melakar sejarah menjadikan gabungan itu sebagai kerajaan
dengan menumbangkan BN, tahun 2019 sebaliknya adalah tahun sedih dan
malang bagi PH.
Ini
kerana sepanjang 2019 tidak banyak berita gembira atau kejayaan yang
berjaya dibentang oleh PH untuk tatapan serta dijadikan hidangan kepada
rakyat jelata.
Yang paling menyedihkan tentunya tentang penerimaan rakyat terhadap menteri-menteri PH yang ada.
Tahap
penerimaan rakyat terhadap menteri-menteri PH sepanjang 2019 nampaknya
begitu rendah, termasuk kepada Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad
sendiri.
Walaupun berpengalaman selama 22 tahun, mungkin kerana
pernah menolak janji manifesto sebagai bukan wajib untuk ditunaikan
serta terlalu banyak berpolitik untuk kepentingan dirinya, sedangkan
keutamaan dan harapan rakyat ialah memberi kesejahteraan kepada mereka,
maka tahap penerimaan rakyat kepada Tun Mahathir hanyalah sebanyak 26
peratus saja.
Lebih buruk, ada menteri yang penerimaan rakyat terhadapnya hanya serendah 10 peratus.
SUARA desakan ramai menjadi kuasa penting hingga
dimaklumkan bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah
mengarahkan penangguhan pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan
Kritikal (BIPK). Ianya satu kejayaan rakyat dan pihak berkepentingan
serta para NGO termasuk anak muda; apabila berani bersuara menuntut hak.
Kesedaran dan gemblengan solidariti untuk memperjuangkan
kepentingan seperti ini perlu sentiasa padu dalam kalangan rakyat agar
hak tidak semudahnya diremeh dan dinafikan pihak yang bertindak atas
kuasa. Malang buat Kerajaan PH, apabila sekali lagi terpaksa membuat
‘Pusingan-U’ (U-Turn) yang sememangnya memalukan diri sendiri.
Telah berulang kali Kerajaan PH bertindak begitu yang menunjukkan
bahawa keputusan sering dibuat tanpa kajian dan kedudukan berdasarkan
realiti sebenar. Kesannya sangat besar di mana menyebabkan keresahan
dalam kalangan rakyat dan pelbagai pihak. Porak peranda ditimbulkan
kerajaan tidak ubah seperti nasib ‘Keluarga 69’.
Lebih malang
jika keputusan dilaksanakan menjadi ‘hukuman’ kepada pihak tidak
bersalah sebagaimana kes ke atas Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian
sebelum ini. Oleh itu, atas bantahan telah ditunjukkan pelbagai pihak,
lebih-lebih lagi mereka yang terlibat dalam pemansuhan, maka kerajaan
sewajarnya memuktamadkan keputusan.
Pemansuhan tersebut mesti
dibatalkan terus! Ini penting demi menjana produktiviti dan perkhidmatan
yang lebih berkesan daripada golongan tenaga pakar terlibat. Mereka itu
bukanlah ‘anak tiri’ kerajaan, tetapi tulang belakang penting yang
menggerak dan menyempurnakan segala agenda pemerintahan serta segala
sasaran negara.
Janganlah mewujudkan jurang atau dilihat
seakan bersengketa antara kedua pihak yakni penjawat awam dan kerajaan.
Kerana kelak yang bakal menjadi mangsa adalah rakyat dan negara.
Kerajaan PH harus sedar betapa persepsi negatif kian membesar atas
perbuatan sendiri. Namun, langkah pembetulan masih harus dilakukan!
“Islam Memimpin Perpaduan” “Demi Islam”
*IR HAJI KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN- Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY
SAYA mengucapkan tahniah kepada pihak polis kerana
berjaya mendapatkan perintah mahkamah melarang Persekutuan
Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong)
daripada meneruskan himpunan membantah pengenalan tulisan jawi.
Susulan daripada itu, tiga pertubuhan bukan kerajaan iaitu Angkatan
Gerak Minda Malaysia (AGRA), Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) dan
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) turut membatalkan himpunan
membantah penganjuran kongres oleh Dong Zong itu.
Isu tulisan jawi yang asalnya remeh ini jelas menjadi semakin tegang
dengan pendirian ekstrimis yang enggan bertolak ansur demi perpaduan
nasional. Pengenalan jawi yang dianggap menjadi jalan untuk pelajar Cina
diislamkan terus dimainkan walaupun ia tidak munasabah untuk dijadikan
alasan.
Dalam hal ini, saya menantikan apakah reaksi dan tindakan Menteri
Perpaduan yang diberikan gaji dan elaun berpuluh ribu oleh rakyat setiap
bulan.
Sebelum ini pun, Menteri Perpaduan bisu dalam isu rusuhan yang
berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman sehingga menyebabkan kaum India
merusuh dan mengorbankan nyawa anggota bomba yang bertugas. Adakah
Menteri Perpaduan tidak kisah jika peristiwa pahit itu berulang lagi?
Sehingga hari ini, kerajaan gagal menyediakan solusi, sebaliknya
lebih selesa menyandarkan isu bantahan sebagai satu lagi propaganda
daripada pembangkang.
Kenyataan parti-parti politik dalam kerajaan seperti DAP yang
menyokong secara bersungguh-sungguh tidak membantu dalam meredakan
ketegangan dan kemarahan rakyat terhadap kedegilan Dong Zong.
Walhal, tulisan jawi hanya dimasukkan sebanyak 3 muka surat sahaja ke
dalam buku teks di sekolah vernakular melibatkan aktiviti harian
sebagai rakyat Malaysia seperti tulisan jawi yang ada dalam matawang
ringgit, setem dan jata negara.
Oleh itu, saya menyeru Menteri Perpaduan untuk melakukan sesuatu dan
menjadi orang tengah yang boleh menyelesaikan isu bantahan ini.
Dakwaan Dong Zong bahawa 900 sekolah SJKC turut menyatakan sokongan
menolak pengenalan tulisan jawi perlu diimbangkan dengan keperluan untuk
semua rakyat Malaysia tidak kira kaum dan agama mempelajari
perkataan-perkataan jawi yang menjadi tiang asas kepada pembinaan negara
bangsa dan jati diri Malaysia.
Kebisuan Menteri Perpaduan hanya membuktikan bahawa beliau langsung
tidak layak berada dalam Kabinet dan memegang portfolio perpaduan.
“Islam Memimpin Perpaduan”
*YB HAJI AHMAD AMZAD HASHIM -Ahli Parlimen Kuala Terengganu HARAKAHDAILY
SELEPAS Timbalan Menteri Undang-undang PAN, Hanipa Maidin, kini pakar Perlembagaan DAP pula bersuara membantai polis.
Kata Dr Abdul Aziz Bari, tindakan polis menghalang Dong Jiao Zong dari
berkongres adalah salah dan Peguam Negara perlu membetulkannya.
Kata beliau lagi, semua undang-undang yang menyekat kebebasan bercakap,
berhimpun dan berpersatuan mestilah dikaji semula dan dimansuhkan.
Ini diikuti pula oleh kenyataan SUHAKAM yang memandang serius tindakan
kerajaan menafikan hak Dong Jiao Zong dengan membatalkan persidangan
mereka kerana ini dibimbangi boleh menyebabkan pencabulan hak asasi
rakyat Malaysia.
Kata SUHAKAM, persidangan Dong Jiao Zong
seharusnya dibenarkan untuk diteruskan bagi memenuhi hak kebebasan
berhimpun dan bersuara yang amat penting bagi merealisasikan sebuah
demokrasi yang bebas dan terbuka.
Saya pelik dengan semua yang
bercakap ini kerana mereka bercakap seolah-olah kebebasan bercakap,
berhimpun dan berpersatuan adalah sesuatu yang mutlak, sedangkan dalam
Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan sendiri ada 12 sekatan ke atas
kebebasan ini, termasuk keselamatan, hubungan baik dengan negara-negara
lain, ketenteraman awam dan prinsip moral.
Malah, mengikut
Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, sekatan ke atas kebebasan
bersuara ini ada pada lima tempat lain dalam Perlembagaan Persekutuan,
iaitu:
Perkara 11(4): Mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam. Perkara 11(5): Ketenteraman awam, kesihatan awam dan prinsip moral. Perkara 149: Perundangan menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam, dsb. Perkara 150: Proklamasi darurat.
Para 1 Senarai II Jadual Kesembilan: Pewujudan dan penghukuman
kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap
perintah agama itu.
Oleh itu, apa yang dilakukan oleh polis,
iaitu menghalang Dong Jiao Zong dari berkongres atas faktor keselamatan
dan ketenteraman awam, adalah jelas masih berada dalam lingkungan
sekatan ke atas kebebasan bersuara yang dibenarkan oleh Perlembagaan
Persekutuan.
Dan, jika mahu dimansuhkan semua undang-undang
yang menyekat kebebasan bersuara seperti yang dimahukan oleh DAP melalui
Dr Aziz Bari ini, bukan sahaja semua undang-undang ini (yang ada
kira-kira 35 mengikut kiraan Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem
Faruqi, termasuk Akta Hasutan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta
Rahsia Rasmi, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Perhimpunan Aman,
Kanun Keseksaan, Akta Penapisan Filem dan Akta Fitnah) yang perlu
dimansuhkan, tetapi semua 17 sekatan ke atas kebebasan bersuara yang ada
dalam Perlembagaan Persekutuan juga perlu dimansuhkan sama.
Tetapi inikah yang kita mahukan, iaitu kebebasan bersuara tanpa batasan?
Dan di manakah suara pemimpin kerajaan yang menyokong tindakan polis? –HARAKAHDAILY
Katanya kalau mahu kenal bagaimana seorang rasis tegar melihat
masyarakat bukan Melayu maka lihatlah pada Tuan Guru Haji Abdul Hadi
Awang.
Katanya lagi Tuan Guru lah seorang rasis yang ekstrem.
Ini berikutan ulasan Tuan Guru terhadap NGO Dong Zong. Tuan Guru dipetik berkata:
“Dong Zong diingatkan agar tidak melampaui batas.
“Ia bukan berkenaan kerajaan berlembut dengan mereka tetapi sikap
mereka sendiri. Mereka faham tapi tindakannya seolah-olah mereka tidak
faham, alam (tanah) mana mereka duduk.
“Alam Melayu atau alam
Cina, atau alam media? Sepatutnya mereka faham mereka kini duduk di alam
mana. Kalau ikan di laut tak akan pergi ke alam sungai. Kalau hanyut,
mereka akan balik.
“Tetapi mereka terlalu jauh hanyut
sedangkan mereka duduk di alam Melayu, bukan alam Cina. Bukan semua
orang Cina begitu, saya tak hukum orang Cina tetapi puak ini sahaja,
iaitu Dong Zong,”
Kenyataan ini tidak rasis dan tertumpu pada Dong Zong dan bukan masyarakat Cina amnya.
Yang rasis dan ekstremis kebelakangan ini adalah Ronnie Liu sendiri.
Beliau hadir sebagai tetamu khas dalam satu himpunan bekas anggota PKM
di Kajang.
Dalam majlis berkenaan beliau mengakui datuk dan
abangnya juga pernah berjuang bersama parti pengganas ini dan mendakwa
ia sebahagian dari perjuangan menuntut kemerdekaan.
Tiba-tiba Ronnie mahu ajar kita siapa rasis dan ekstremis.
Mohon ADUN DAP ini baca kenyataan Pengerusi PH Tun Dr Mahathir berkenaan Dong Zong.
Tun dilaporkan berkata:
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Persatuan Gabungan
Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) sebagai satu pertubuhan yang
rasis.
Tegasnya, sifat rasis tersebut jelas terbukti apabila
persatuan terbabit tidak pernah bersetuju dengan dasar pendidikan negara
termasuk idea penubuhan Sekolah Wawasan sebelum ini.
Menurut
beliau, sikap degil Dong Zong juga dapat dilihat apabila pertubuhan itu
masih membantah pembelajaran tulisan Jawi dan Khat di sekolah-sekolah
Vernakular meskipun keputusan tersebut telah diluluskan kerajaan
terdahulu pada tahun 2012.
Sepatutnya Ronnie serang Tun tetapi
barangkali kerana bimbangkan kedudukannya, cucu pejuang Komunis ini
sekadar berani menghalakannya pada Tuan Guru. –HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu
menyelesaikan segala kemelut yang berlaku sepanjang pemerintahannya
sejak 10 Mei 2018 sehingga hari ini.
Ini kerana, setiap program dan perancangan yang dijanjikan kerajaan
Malaysia Baharu sepanjang tempoh 18 bulan ini semuanya bagai indah
khabar dari rupa.
Presiden penaja Putra, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata,
kerajaan juga perlu jujur dan bersungguh menyelesaikan segala masalah
melanda negara ini, sama ada dari segi politik, sosial mahupun ekonomi.
“Perkara utama harus diberikan perhatian ialah ancaman terhadap
perpaduan kaum yang disifatkan banyak pihak bagaikan gunung berapi yang
menanti masa untuk memuntahkan lavanya.
“Tahun 2019 akan melabuhkan tirainya tengah malam ini, sama-samalah
kita perbaharui semangat serta azam agar tahun 2020 menjadi lebih
bermakna dalam usaha untuk mencapai kecemerlangan duniawi dan ukhrawi,”
katanya dalam Perutusan Tahun 2020 Presiden Putra, hari ini.
Dr. Ibrahim tidak menafikan rakyat menyambut Tahun Baru 2020 dengan
terus dibelenggu bermacam kesengsaraan dan apa yang berlaku sepanjang
tahun 2019 ibarat disangka hujan di tengah hari, tetapi panas sepanjang
hari.
Kata beliau, PRU 14 yang lalu menyaksikan rakyat membuat keputusan umpama mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan.
“Mereka bagaikan berada dalam situasi menang sorak kampung tergadai
dan ini berlaku lanjutan keputusan dibuat mereka akibat termakan janji
manifesto yang indah khabar dari rupa dan diiringi kemarahan rakyat
berikutan isu kleptokrasi 1MDB.
“Dalam keadaan dahagakan perubahan demi kesejahteraan rakyat dan
negara, mereka terpengaruh dengan janji luar biasa yang dibentangkan
atas nama Malaysia Baharu.
“Ternyata kini, selepas 18 bulan usia Malaysia Baharu, tiada siapapun
menyangka keputusan yang dibuat itu tidak ubah seperti lari dari mulut
buaya, tercampak ke dalam mulut naga,” katanya.
Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia
(Perkasa) menjelaskan, Malaysia yang sepatutnya bergelar negara maju
tahun 2020, kini memasuki tahun tersebut dalam keadaan tidak mempunyai
hala tuju dan diseliputi pelbagai penyakit kronik.
“Kestabilan politik semakin tergugat, perpaduan rakyat berantakan,
ekonomi negara kacau bilau, dasar negara yang sepatutnya menjadi
pemangkin kepada negara bangsa menjadi caca marba.
“Keselamatan dalam negara pula bagai telur di hujung tanduk atau
ibarat api dalam sekam yang menanti masa untuk membakar hangus tanah air
tercinta ini.
“Hak asasi dan demokrasi mutlak dimanipulasi dan dijadikan pegangan
tanpa batas sehingga sanggup meminggirkan serta melupakan sama sekali
sosial kontrak yang membawa kemerdekaan negara pada tahun 1957,”
ujarnya.
Beliau menjelaskan, sememangnya ada kelompok merasakan sudah begitu
kuat, justeru bersikaplah mereka bagaikan betis sudah dapat, paha sudah
dapat dan sekarang mahu kepala pula sebagai hidangan cuci mulut.
Katanya, isu bantahan pelaksanaan tulisan Jawi adalah contoh terbaik
yang mendedahkan wajah sebenar Dong Zhong, yang lantang membuat tuntutan
tanpa mempunyai perasaan gerun, apatah lagi mahu menjaga sensitiviti
orang Melayu dan Islam.
Jauh sekali, pihak berkenaan tidak mempunyai perasaan hormat kepada
bangsa yang begitu bertolak ansur dalam banyak perkara termasuk
menerimanya menjadi warganegara sebelum merdeka.
Kata Dr. Ibrahim, dasar kesamarataan yang diperjuangkan juga menyebabkan pihak berkenaan semakin lupa daratan.
“Bagi umat Islam dan Bumiputera, perasaan tidak puas hati dan marah
kepada kerajaan begitu membuak. Mereka melihat kerajaan sekadar retorik
apabila memperkatakan soal agenda membela kaum majoriti.
“Sedangkan apa juga mahu dilakukan perlu mendapat restu dari parti
tertentu dan gerombolan yang lebih sudu dari kuah, termasuk kelompok
anai-anai liberal yang tidak sedarkan diri.
“Keadaan menjadi lebih parah apabila rakyat semakin menderita akibat
kenaikan kos sara hidup, ekonomi negara semakin merudum, nilai ringgit
terus menjunam,” katanya.
Kata beliau, beberapa peruntukan yang sebelum ini diberikan kepada
penjawat awam termasuk elaun kritikal juga mahu ditarik balik, manakala
jumlah kakitangan hendak dikurangkan.
Peniaga pula semakin mengeluh kerana politik dan ekonomi tidak stabil
menggugat pendapatan mereka yang ibarat ibarat kais pagi makan pagi.
Sementara itu, harapan sebahagian besar rakyat untuk memiliki rumah
sendiri terus sekadar menjadi mimpi indah dengan harga rumah terus
melambung tinggi.
Dari segi keselamatan pula, golongan yang menyokong perjuangan
komunis tidak lagi segan silu untuk menyembunyikan wajah sebenar mereka.
Beliau mahu kestabilan politik dikembalikan, keselamatan negara
dipertahankan termasuk mengembalikan semula Akta ISA, melakukan
penambahbaikan Akta SOSMA dan berusaha memperkukuhkan Akta Hasutan 1948.
Perlu diingat, akta itu bukan lagi undang-undang penjajah kerana
sudah ditambah baik oleh Parlimen selepas tragedi 13 Mei 1969 dan
penambahbaikan itu dilakukan kerana pihak berkuasa memerlukan instrumen
berkesan untuk menangani ancaman keselamatan dari pelbagai sudut.
Dr. Ibrahim menegaskan, polis perlu diberi sokongan moral yang kuat,
di samping memastikan tugas serta peranan mereka mengikut Prosedur
Operasi Standard (SOP).
Sebelum nasi menjadi bubur, katanya, negara memerlukan pasukan polis
yang bersih, cekal dan berkesan bagi berhadapan serta menangani kumpulan
atau individu yang mahu melakukan tindakan menggugat keamanan negara.
Pada masa sama, kerajaan juga perlu memastikan kos sara hidup rakyat dipulihkan segera sebelum keadaan bertambah buruk.
Jika gagal menyelesaikan masalah tersebut, Putra mendesak
kepemimpinan negara membubarkan Parlimen dan mengembalikan semula mandat
kepada rakyat.
Pembubaran Parlimen bagi memberikan laluan kepada PRU bukan suatu
yang ganjil, sebaliknya tindakan wajar atas prinsip amalan demokrasi
iaitu kerajaan dibentuk oleh rakyat.
“Bagi pimpinan Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra, saya menyeru umat
Melayu Islam dan Bumiputera menyertai atau menyokong perjuangan parti
ini yang merupakan bahtera politik baru negara.
“Pimpinan Putra terdiri dari pejuang nasionalisme Melayu Islam tulen,
mempunyai iltizam politik cukup kuat untuk menongkah arus bagi
berhadapan ancaman mana-mana pihak terhadap kesucian Islam, kepentingan
hak Melayu dan Bumiputera serta kedaulatan institusi raja-raja,”
katanya.
Beliau turut menjemput semua warga Melayu Bumiputera membaca dan
menghayati Permasyhuran Sumpah Keramat 10 Perkara yang menjadi matlamat
unggul perjuangan parti.
Permasyhuran itu disempurnakan pada 28 September lalu ketika pelancaran Putra di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
“Putra berdoa dan berharap ada cahaya di hujung terowong untuk umat
Melayu Islam, Bumiputera dan rakyat amnya supaya negara ini kembali
bersatu padu, bermartabat, bermaruah dan cemerlang dalam segala aspek
demi kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” katanya. – MalaysiaGazette
KUALA LUMPUR – Haslina Usman kecewa dan amat sedih apabila karya
bapanya Sasterawan Negara, Usman Awang bertajuk ‘Tulang-Tulang
Berserakan’ diterbitkan dengan paparan gambar orang lain.
Beliau berkata, paparan gambar seumpama itu menunjukkan Dewan Bahasa
dan Pustaka serta Kementerian Pendidikan tidak bertanggungjawab dan
telah menganiaya karya seorang sasterawan negara.
“Saya amat kecewa dan amat sedih atas ketidaktanggungjawaban
pihak Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pendidikan Malaysia
menganaiya penghormatan dan karya Sasterawan Negara Usman Awang dengan
memaparkan gambar orang lain pada kulit buku “Tulang-Tulang Berserakan”
terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.
“Waris mohon perkara ini diselesaikan secepat mungkin,” katanya.
Hantaran tersebut menerima pelbagai reaksi termasuk Sasterawan Negara, Datuk Dr Zurinah Hassan.
Haslina ketika menjawab komen Zurinah bertanya, adakah
sasterawan-sasterawan negara akan membantu mengetengahkan perkara
tersebut.
Beliau juga kesal kerana buku itu diterbitkan tanpa memaklumkan kepada waris Allahyarham.
Dalam hantaran sebelum itu, Haslina turut mempersoalkan gambar siapakah di kulit buku tersebut.
Allahyarham Usman dianugerahkan Sasterawan Negara yang ketiga pada tahun 1983.
Tulang-Tulang Berserakan dipilih sebagai Jejak Novel Merdeka sebagai
karya sastera yang disarankan oleh khalayak sasterawan, penulis dan
penerbit, sekali gus wajar dijadikan novel wajib baca.
Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write), Abdul Ghafar
Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Agi menyifatkan buku itu sebagai
novel antipenjajahan yang menanam semangat patriotisme dan
memperjuangkan nilai keamanan yang menjadi inti kepada rukun kemanusiaan
sejagat.
Jelasnya, babak watak utama menyaksikan kematian rakan pasukannya di
tangan pengganas komunis menjadi detik penting dalam novel itu.
MalaysiaGazette sedang mendapatkan ulasan Dewan Bahasa dan Pustaka. – MalaysiaGazette
KUALA LUMPUR – Adalah lebih baik seandainya inisiatif serta
agenda kerajaan dipaparkan di papan-papan iklan gergasi daripada
wajah-wajah menteri, kata Datuk A. Kadir Jasin yang merupakan Penasihat
Komunikasi dan Media kepada Perdana Menteri.
Dalam hantaran terbaharu di laman Facebooknya, tokoh wartawan itu
memuatnaik beberapa papan iklan termasuk kempen membaca yang memaparkan
wajah Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan Menteri Pembangunan Luar
Bandar, datuk Seri Rina Harun.
“Adalah lebih baik untuk menonjolkan mereka yang mengambil
bahagian dalam agenda kerajaan daripada menteri yang bergaya di hadapan
jurugambar,” katanya.
Beliau meneruskan catatan dengan menekankan bahawa kerajaan adalah
mengenai rakyat dan bukannya berkaitan menteri-menteri menteri yang
membina personaliti atau pegawai kerajaan yang mengambil keuntungan
daripada kedua-dua pihak.
“Kerajaan patut mempromosikan egalitarianisme, kemanusiaan dan rendah
diri berbanding birokrasi dan feudalisme,” katanya. – MalaysiaGazette
KUALA LUMPUR - Sempena tahun 2020 kerajaan berjanji untuk
meneruskan perjuangan ke arah pembentukan Malaysia Baharu yang
diidamkan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail, dalam perutusan tahun baru 2020.
Menurutnya,
2019 merupakan tahun yang penuh cabaran bagi kerajaan Pakatan Harapan
(PH) yang melalui fasa baharu pentadbiran, justeru bagi tahun 2020,
beliau menyeru semua pihak bersama-sama dalam menumpukan kepada
usaha-usaha yang positif untuk rakyat.
"Tahun 2020, pasangan yang
tidak memiliki cahaya mata boleh mengeluarkan Kumpulan Simpanan Wang
Pekerja (KWSP) untuk rawatan kesuburan in-vitro (IVF) sehingga RM10,000
dan Tahun 2020 juga seorang suami yang penyayang dapat menunjukkan
penghargaan kepada isteri dengan menyumbang caruman dua peratus KWSP,
daripada akaun suami ke akaun isteri,” katanya hari ini.
Selain
itu Wan Azizah berkata, tahun 2020 juga bakal menyaksikan kerajaan
memperkenal Strategi Keselamatan Siber Kebangsaan untuk pengurusan
keselamatan siber dan jenayah siber, demi perlindungan rakyat serta
memperuntukkan RM10 juta untuk pembangunan atlet wanita.
Manakala
katanya, wanita berusia antara 30 hingga 50 tahun yang telah berhenti
bekerja selama setahun atau lebih dan kembali bekerja akan diberi
insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM500 sebulan, manakala majikan
pula akan diberi insentif pengambilan pekerja sebanyak RM300 sebulan,
dalam tempoh yang sama.
"Ini adalah antara langkah-langkah
kerajaan yang dapat dinikmati pada tahun depan selain itu, kita juga
berjanji untuk terus menentang rasuah pada tahun 2020,” katanya sambil
mengucapkan selamat tahun baru kepada seluruh rakyat Malaysia.
Sementara
itu, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) yang juga Menteri Pertahanan
Mohamad Sabu menyeru rakyat Malaysia agar terus mempertahankan
keharmonian serta kerukunan negara dan tidak membiarkan ia dirosakkan
pihak-pihak tertentu yang berfahaman sempit dengan menggunakan isu
perkauman dan agama demi kepentingan politik mereka.
"Seharusnya
persaingan antara rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama ialah
dalam membuat kebaikan dan saling mengangkat kehidupan masyarakat ke
tahap yang lebih baik,” katanya.
Beliau juga menasihatkan ahli-ahli Amanah agar terus menjadikan
integriti sebagai panduan dalam setiap urusan dan jadikan 2020 sebagai
tahun untuk terus bekerja keras bagi memastikan kehidupan semua rakyat
Malaysia akan menjadi lebih baik.
"Kita mengalu-alukan segala
kritikan membina yang diberikan agar kerajaan dapat memperbaiki segala
kelemahan. Akhir kata, saya ingin mengucapkan selamat tahun baru kepada
semua,” katanya. - Bernama
PUTRAJAYA: Lima warga Malaysia yang terlibat dalam
kemalangan jalan raya di Mesir pada Sabtu lepas dilaporkan berada dalam
keadaan stabil.
Wisma Putra dalam kenyataan hari ini memaklumkan kesemua mereka telah
dipindahkan ke Suez Hospital for Health Insurance dan Sheikh Zayed
Specialised Hospital untuk menerima rawatan lanjut.
“Pegawai-pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah telah
membuat lawatan konsular bagi menemui mangsa yang terlibat untuk
menghulurkan bantuan konsular sewajarnya,” menurut Kementerian Luar
serta mengesahkan tiada mangsa yang terkorban dalam insiden itu.
Menurut laporan sebelum ini, lima warga Malaysia daripada satu
keluarga mengalami kecederaan akibat kemalangan jalan raya di Mesir
semasa dalam perjalanan dari Hurghada ke Kaherah.—Bernama
PETALING
JAYA: Daripada pelantikan Agung baru hinggalah ke ahli Parlimen Orang
Asli pertama, 2019 sarat dengan berita-berita penting. FMT soroti 25
peristiwa besar tahun ini.
Januari
1) Larangan merokok
Kementerian Kesihatan mengenakan larangan merokok di
tempat-tempat makan pada 1 Jan, memperuntukkan denda RM10,000 dan 3
tahun penjara ke atas pelanggan dan pemilik premis yang gagal mematuhi
peraturan itu. Larangan itu akan berkuatkuasa sepenuhnya pada 1 Jan
2020.
2) Yang di-Pertuan Agong baru
Sultan Pahang, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ditabalkan sebagai
Yang di-Pertuan Agong ke-16 selepas pengunduran Sultan Muhammad V,
pertama kali seorang Agong berbuat demikian sebelum tamat pemerintahan 5
tahun.
Mac
3) Pencemaran Sungai Kim Kim
Hampir 6,000 termasuk kanak-kanak usia persekolahan di Pasir Gudang,
Johor terkesan dengan pencemaran kimia di Sungai Kim Kim, memaksa
penutupan sementara 111 sekolah di daerah itu.
4) Ahli Parlimen Orang Asli pertama
Ramli Mohd Nor dari Barisan Nasional menjadi ahli Parlimen Orang Asli
pertama selepas memenangi pilihan raya kecil Cameron Highlands. Bekas
pegawai kanan polis dari suku Semai itu mengangkat sumpah wakil rakyat
pada 12 Mac.
April
5) Malaysia menarik diri daripada Statut Rom
Malaysia menarik diri daripada pemeteraian Rom Statut yang menjadi
pertikaian, selepas langkah itu mengundang kecaman pelbagai pihak,
termasuk Istana Johor. Pengkritik berkata pemeteraian itu mencabuli
Perlembagaan Persekutuan kerana ia akan menjejaskan raja-raja, hak
Melayu dan kesucian Islam.
Mei
6) Ketua polis negara baru
Abdul Hamid Bador dilantik sebagai ketua polis negara menggantikan
Mohamad Fuzi Harun dengan kontrak 2 tahun yang tamat 2021. Hamid,
seorang bekas timbalan ketua di Cawangan Khas bersara awal pada 2015
selepas mengkritik dakwaan penglibatan pentadbiran dulu dalam skandal
tertentu tetapi kembali berkhidmat selepas pilihan raya umum ke-14.
Jun
7) Jaguh badminton, squash gantung raket
Jaguh badminton Lee Chong Wei mengumumkan persaraannya selepas 19
bertarung dalam sukan itu dan kanser. Pada bulan yang sama, ratu squash
Nicol David mengumumkan beliau juga akan bersara. Nicol masih penyandang
nombor 1 paling lama di dunia, dari 2006 hingga 2015.
8) Misteri kematian Orang Asli
Suatu penyakit misteri, yang kemudian disahkan campak, mengakibatkan
kematian 16 Orang Asli dari Kampung Kuala Koh, Gua Musang. Antara 3-9
Jun, 178 kes campak dilaporkan, termasuk 147 di Kelantan, 23 di
Terengganu dan 8 di Pahang.
9) Ketua pesuruhjaya SPRM baru
Peguam, Latheefa Koya dilantik ketua pesuruhjaya Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia yang baru, menggantikan Mohd Shukri Abdull.
Pelantikannya menjadi perbualan kerana beliau juga seorang ahli PKR.
Beliau menjelaskan dia meletakkan keahlian partinya selepas dimaklumkan
tentang perlantikan itu.
10) Video seks gay
Tular klip video yang memaparkan 2 lelaki sedang mengadakan hubungan
seks sejenis yang mengejutkan negara apabila salah seorang daripada
mereka menyerupai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali. Bekas
ahli PKR Muhammad Haziq Abdul Aziz kemudian mengakui dia terbabit dalam
video seks sejenis itu dan menamakan Azmin sebagai pasangannya. Azmin
bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan siasatan polis menemui jalan
buntu.
Julai
11) Exco Perak ditahan atas dakwaan rogol
Adun Tronoh, Paul Yong dari DAP ditahan polis dan kemudian dibebaskan
atas ikat jamin selepas pembantu rumahnya membuat laporan polis
terhadap beliau, menuduh Yong merogolnya. Beliau menafikan tuduhan itu,
dan selepas mengambil cuti singkat, kembali berkhidmat sebagai exco
kerajaan negeri.
12) Khat dan Jawi
Keputusan Kementerian Pendidikan memperkenalkan khat, suatu bentuk
kaligrafi Melayi-Arab, dalam silibus Bahasa Melayu di sekolah,
mengundang bantahan daripada kumpulan pendidikan, terutama Dong Zong.
Kabinet kemudiannya menukar nama topik itu kepada Jawi dan membolehkan
guru-guru menentukan pengajarannya tetapi Dong Zong mengekalkan
pendirian membantah pengenalannya di sekolah vernakular.
Ogos
13) Jasad remaja Ireland
Seorang remaja Ireland, Nora Anne Quoirin hilang di sebuah pusat
percutian di Negeri Sembilan semasa bercuti bersama keluarga. Perempuan
berusia 15 tahun itu ditemui mati pada hari ke-10 misi mencari dan
menyelamat. Bedah siasat mendedahkan dia meninggal dunia kerana
pendarahan gastrousus kerana tidak makan untuk tempoh panjang.
September
14) Lesen Lynas diperbaharui
Kerajaan bersetuju untuk memperbaharui lesen Lynas Corp untuk
mengendalikan kilang nadir bumi di Gebeng, Kuantan selama 6 bulan
tertakluk kepada syarat-syarat. Lynas berkata ia akan mematuhi
syarat-syarat itu walaupun beberapa ahli Parlimen Pakatan Harapan dan
aktivis membantah pembaharuan lesen itu.
15) Himpunan Umno-PAS
Ribuan penyokong Umno dan PAS tertumpu di Pusat Dagangan Dunia Putra
untuk menyaksikan pemeteraian piagam kerjasama politik 2 parti itu,
menandakan kesepakatan 2 parti Melayu-Islam terbesar selepas
berdekad-dekad berseteru.
16) Tawaran beli tanah Kg Baru
Kerajaan menawarkan pemilik tanah Kampung Baru RM850 kaki persegi
untuk memperoleh tanah mereka dalam usaha membangunkan semula penempatan
Melayu itu. Ia bagaimanapun disambut dengan bantahan daripada penduduk,
yang bertegas harga terlalu rendah. Kerajaan menaikkan tawaran kepada
RM1,000 kaki persegi termasuk RM150 dalam bentuk saham.
Oktober
17) Utusan tutup, industri media kuncup
Utusan Malaysia dan Kosmo! menghentikan operasinya dan menyebabkan
862 kakitangan hilang pekerjaan. Akhbar itu bermula pada 1939 ketika
akhbar Jawi, Utusan Melayu diterbitkan. Ia merupakan akhbar harian
berbahasa Melayu tertua di negara ini. Versi Rumi iaitu Utusan Malaysia
diperkenalkan pada 1 Sept 1967. Penutupan Utusan disusuli sebulan
kemudian dengan berita tentang pemberhentian pekerja di Media Prima Bhd
yang memiliki TV3 dan stesen komersial lain, dan New Straits Times,
Berita Harian dan Harian Metro.
18) Kongres Maruah Melayu
Kongres Maruah Melayu yang dianjurkan secara bersama oleh 4
universiti awam dihadiri ahli-ahli politik pemerintah dan pembangkang,
termasuk Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PAS, Abdul
Hadi Awang. Mahathir menepis kritikan mengatakan kongres itu rasis,
mengatakan tiada serangan terhadap orang Cina dan India.
November
19) Badak sumbu Sumatra pupus, gajah Borneo mati
Badak sumbu Sumatra diisytiharkan pupus di Malaysia, dengan kematian
badak sumbu terakhir, Iman, yang mati kerana kanser. Sementara itu, 4
gajah Borneo dilaporkan di Sabah dalam tempoh 5 minggu, termasuk seekor
ditemui dengan badan dipenuhi kesan tembakan.
20) Kumpulan pedagang India boikot sawit Malaysia
Sebuah pertubuhan perdagangan India yang berpengaruh menyeru
ahli-ahlinya memboikot minyak sawit Malaysia selepas New Delhi membantah
kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berhubung konflik
Kashmir.
21) Abu Chin Peng
Bekas ahli Parti Komunis Malaya mendedahkan mereka membawa pulang abu
pemimpin komunis, Chin Peng dan ditaburkan di Perak, mencetuskan
kemarahan dan siasatan polis. Pentadbiran dulu dan sekarang melarang abu
Chin Peng dibawa pulang.
22) Tangkapan LTTE
Seorang Adun DAP dari Melaka dan seorang dari Negeri Sembilan antara
12 yang ditangkap polis atas dakwaan terlibat dengan Harimau Pembebasan
Tamil Eelam (LTTE). Mereka dituduh menyokong dan mengutip dana untuk
kumpulan militan itu.
23) Pharmaniaga
Konsesi jangka panjang Pharmaniaga untuk membekalkan ubat-ubatan dan
bekalan perubatan kepada hospital bawah Kementerian Kesihatan, yang
beberapa pihak menganggapnya sebagai monopoli, tamat pada 30 Nov.
Syarikat itu akan dikontrakkan untuk meneruskan pemerolehan ubat-ubatan
dan bekalan perubatan untuk 25 bulan akan datang sehingga kementerian
dapat pemegang konsesi baru.
Disember
24) Anwar Ibrahim dituduh melakukan serangan seksual
Presiden PKR, Anwar Ibrahim dituduh melakukan serangan seksual oleh
bekas pembantu, Muhammed Yusoff Rawther. Ahli Parlimen Port Dickson itu
menafikan dakwaan itu, dan kedua-dua pihak dipanggil polis untuk diambil
keterangan. Pada 2014, Anwar disabit kesalahan liwat tetapi mendapat
pengampuran diraja pada 2018 selepas pilihan raya umum.
25) Polio muncul kembali selepas 30 tahun
Seorang bayi berusia 3 bulan dari Tuaran, Sabah didiagnog menghidap
polio, kes pertama yang dilaporkan di negara ini selepas hampir 3 dekad.
Malaysia diisytiharkan bebas polio pada 2000, selepas melaporkan kes
terakhir penyakit itu pada 1992.
PETALING JAYA: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menolak pelawaan
kerajaan China terhadap pengkritik dasarnya di Xinjiang supaya melawat
ke wilayah itu.
Jemputan itu dibuat susulan beberapa perhimpunan yang diadakan di
luar kedutaan China di Kuala Lumpur, yang menyaksikan pegawainya enggan
menerima memorandum yang membantah pelanggaran hak asasi manusia yang
mensasarkan umat Islam di Xinjiang seperti yang dilaporkan secara
meluas.
“Abim mengulangi bahawa China sepatutnya berhenti bermain dengan
propaganda politik sejak sebarang usaha untuk menutup penindasan
terhadap kumpulan etnik Uighur adalah sia-sia kerana siri kekejaman yang
dilakukan oleh mereka terdedah secara konsisten dari masa ke semasa,”
kata organisasi itu.
China didakwa memaksa minoriti Islam Uighur di Xinjiang tinggal di
kem tahanan, di mana Beijing merujuknya sebagai “kem latihan” untuk
memulihkan “militan”.
Presiden Abim, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata Beijing mesti
menghapuskan undang-undang zalim di Xinjiang, termasuk larangan memakai
tudung, menyimpan janggut dan memakan makanan halal terhadap umat Islam.
“Peruntukan undang-undang yang menindas ini memberi ruang kepada
pihak berkuasa menyalahgunakan hak-hak asas masyarakat Uighur dengan
menafsirkan sebarang amalan agama sebagai sama dengan definisi atau
simbol ekstremisme dan radikalisme,” tambahnya.
Faisal menggesa China membenarkan akses kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memantau keadaan di Xinjiang.
Beliau berkata Abim terbuka untuk terlibat secara positif dengan kerajaan China berhubung isu itu.
“Malah, panda dan bunga yang dibawa oleh Abim semasa protes tempoh
hari adalah simbol harapan aman kami untuk mencapai komitmen tersebut.”
BARU-BARU ini kita dengar cadangan gila untuk haramkan motosikal
kelas cub. Dua tiga hari ini ada pula cadangan untuk hadkan kelajuan
jentera ini kepada 70kmj sahaja di jalan raya.
Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke, cadangan ini masih dalam
kajian dan belum ada keputusan. Kita belum tahu kaedah atau pihak yang
akan melaksana kajian ini.
Tapi ada satu cara mudah untuk periksa sama ada cadangan hadkan
kelajuan motor cub kepada 70 kmj ini boleh diterima pakai. Biarlah
menteri tunggang dan alami sendiri kesan had kelajuan ini.
Katalah menteri naik sebuah Modenas Kriss MR2 110 cc. Tentulah MR2
bukan direka untuk seorang menteri seperti Loke. Harga motosikal ini
cuma 6% daripada pendapatannya sebulan.
Model MR2 ini adalah edisi kedua untuk menggantikan model “Motosikal
Rakyat” pertama iaitu MR1. Rakyat pengguna motosikal cub seperti inilah
yang paling ramai terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Menurut kajian Pertubuhan Keselamatan Sosial, kebanyakan kemalangan
itu berlaku dalam perjalanan ke tempat kerja dan sekitar 5km dari tempat
kerja.
Jadi menteri boleh uji sama ada beliau boleh sampai dengan selamat
dari rumahnya ke tempat kerja di Kementerian Pengangkutan dengan
menunggang tidak lebih 70 kmj.
Jika kita lihat, kesemua laluan utama untuk ke Putrajaya ini merupakan jalan dengan banyak lorong.
Di satu-satu persimpangan, jalan itu berpecah dua, tiga, empat. Ada
lorong menyusur keluar ke kiri, menyusur naik ke jejantas, turun
bercantum ke jalan lain di bawah dan sebagainya.
Sebagai contoh, katalah menteri ini hendak ke lorong paling kanan dalam rajah untuk terus tegak ke hadapan.
Beliau menunggang jentera yang sepatutnya mampu hasilkan kuasa maksimum maksimum 6.2Kw pada 5,500rpm.
Beliau bagaimanapun mengemudi motosikalnya dari lorong pertama pada kelajuan 70 kmj sahaja untuk beralih ke lorong ketiga.
Di belakang menteri ini, dari satu sudut, katalah ada sebuah kereta
meluru laju dari lorong keempat.
Dalam keadaan ini, menteri tidak sempat
pun mengecam jenis kereta tersebut.
Apa pemandu kereta pada kelajuan dianggar lebih 100kmj ini akan buat
apabila nampak penunggang motosikal menukar lorong dengan
terengsot-engsot pada kelajuan 70 kmj?
Adakah dia peduli atau minat untuk ambil tahu penunggang motosikal
ini hendak pergi ke mana, apa urusan, atau berapa orang anak akan jadi
yatim piatu jika maut dalam kemalangan?
Jika menteri kekal di lorongnya untuk beri laluan kepada sedan yang
menghimpit masuk, beliau tidak akan dapat maju ke laluan dihajatinya.
Dalam senario sebenar, tentulah bukan sebuah sahaja tapi ada banyak
kereta di jalan itu. Destinasi, tahap kecekapan memandu dan kelajuan
masing-masing berbeza.
Dalam ujian ini, menteri perlu pastikan berapa kali beliau perlu
tukar lorong seperti dalam keadaan ini sehingga beliau berjaya sampai ke
pejabat dan pulang semula ke rumahnya.
Jika selamat, berapa kalikah beliau kena hon. Berapa kali kena himpit
dan nyaris maut. Sambil itu, tengoklah berapa ramai pemandu bawa
kenderaan sambil bermain telefon.
Adakah beliau berharap dapat menukar lorong dengan lebih pantas?
Sila jalankan ujian tanpa pengiring yang pasang siren dan sekat jalan sana sini.
Dasar tak tepati Perlembagaan lahirkan generasi tiada identiti nasional
BANGI – Kontroversi membabitkan tulisan jawi timbul disebabkan hegemoni
Melayu tidak dipupuk sebaik-baiknya berasaskan kepada kerangka Perlembagaan
Persekutuan.
Naib
Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Ustaz Mohd Hazizi Ab
Rahman berkata, parti pemerintah sepatutnya memperkukuhkan hegemoni Melayu
berasaskan kepada acuan Perlembagaan.
“Perlembagaan
Persekutuan ini ada rohnya di situ seperti Melayu Islam serta hak asasi.
Formulanya cukup dan cantik.
“Tetapi
dasar kerajaan tidak menepati dan selari dengan apa yang ada dalam Perlembagaan
maka lahirlah generasi yang tidak beridentitikan nasional,” katanya pada temu
bual Cakap Serupa Bikin di TV Pertiwi, malam ini.
Dalam
pada itu, Ustaz Hazizi menegaskan bahawa hegemoni Melayu amat bagus untuk
mengikat masyarakat majmuk dalam sesebuah negara.
“Kita
tidak boleh biarkan terbuka macam itu. Jika terbuka, sampai ke sudah tidak
selesai. Semua mahu (tuntut) kepentingan dan sebagainya.
“Dan
apabila kita menyebut hegemoni Melayu, bukan bermakna kita menafikan kaum-kaum
lain. Itu juga ada disebut dalam Perlembagaan. Tetapi budaya, dasar umum, norma
secara umumnya adalah berasakan kepada budaya Melayu,” kata beliau.
Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) mendakwa modul
Hubungan Etnik di Universiti Malaysia Perlis (Unimap) digunakan untuk
proses indoktrinasi berbanding tujuan asalnya.
Dalam satu
kenyataan hari ini, Gerak berkata modul Hubungan Etnik di universiti
awam Malaysia mempunyai sejarah kontroversi tersendiri apabila ia mula
diperkenalkan oleh kerajaan BN pada 2005.
Setelah dikritik
sebagai berat sebelah - baik dari aspek politik atau etnik - modul itu
kemudian dikeluarkan dan diganti dengan versi yang ditambah baik pada
2012.
Ia dirangka oleh Shamsul Amri Baharuddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pasukannya.
Kata
Gerak, Shamsul Amri menyifatkan modul yang ditambah baik itu sebagai
“dokumen hidup” yang perlu dikemas kini dari masa ke masa, memandangkan
hubungan etnik merupakan satu usaha yang masih dalam berterusan.
“Semuanya
baik-baik sahaja, sehingga ada sesetengah pensyarah mengambil keputusan
untuk menggunakan modul itu sebagai alat indoktrinasi, berbanding satu
kursus untuk memupuk pemahaman dan kebebasan fikiran golongan muda.
“Dalam
konteks ini, Gerak amat bimbang dengan pendedahan terbaru bahawa
mungkin berlakunya ketidakwajaran dalam (pengajaran) modul ini oleh
Unimap,” katanya.
Dalam isu baru-baru ini, satu soalan
peperiksaan modul itu menyifatkan pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik,
sebagai ikon dunia Islam yang menyebarkan Islam sebenar.
Pernah ditambah baik
Soalan itu juga bertanyakan pandangan pelajar tentang kenapa Zakir tidak lagi dibenarkan menyampaikan dakwah di Malaysia.
“Dan,
meskipun bertanya pandangan responden, pemeriksa (pembuat soalan
peperiksaan) menyediakan empat pilihan jawapan yang sempit untuk
dipilih.
“Semua pilihan (jawapan) itu, bersama-sama dengan cara
soalan itu ditulis dan dirangka, secara jelas menunjukkan pandangan
berat sebelah yang ekstrem dan subjektif si pemeriksa,” katanya.
Gerak
berkata modul Hubungan Etnik - yang merupakan subjek wajib untuk semua
pelajar sarjana muda - haruslah ditangani dengan baik dan sensitif,
selari dengan objektif modul itu yang ditambah baik pada 2012, dan juga
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025.
“Sememangnya
kini semakin banyak soalan tidak wajar daripada kertas itu ditemukan dan
tersebar; soalan yang nampaknya bersifat menghina, bertentangan dengan
semangat dan tujuan keseluruhan modul tersebut.
“Kita tahu setiap
universiti awam atau swasta di Malaysia, mesti terlebih dahulu menyemak
kertas peperiksaannya, sekurang-kurangnya di peringkat jabatan dan
fakulti.
“Di mana sistem penyemakan dalam kes ini? Adakah ini kes
terpencil atau universiti awam yang lain juga turut mengendalikan modul
ini dalam cara yang tidak wajar dan tidak produktif sebegini?
“Gerak
percaya di saat hubungan etnik di Malaysia memerlukan ransangan hebat,
tindakan seperti yang berlaku di Unimap - sama ada disegajakan atau
tidak - perlulah dikecam dan diselesaikan dengan segera, (dan
dipastikan) tidak akan berlaku lagi,” katanya.
Unimap memulakan
penyiasatan terhadap perkara itu sementara Kementerian Pendidikan
Malaysia (KPM) menyerahkan perkara itu kepada pihak universiti bagi menghormati autonomi universiti.
Terdahulu Unimap dibidas MIC ekoran soalan 60 dalam kertas peperiksaan dwibahasa itu (bahasa Melayu dan Inggeris) yang menyentuh tentang Zakir.
Etnik berkulit hitam
Soalan itu berbunyi: Zakir
Naik merupakan salah satu ikon dalam dunia Islam, beliau banyak berjasa
dalam menyebarkan Islam yang sebenar dan mengikuti al-Quran dan sunnah
Rasulullah SAW. Beliau mampu berhujah dan mampu menjawab setiap
pertanyaan yang diajukan kepadanya dengan baik. Namun begitu di
Malaysia, beliau tidak lagi dibenarkan untuk menyampaikan dakwah. Pada
pendapat anda sebagai rakyat Malaysia, mengapakah hal ini berlaku?
Soalan itu menyediakan pilihan jawapan yang membolehkan pelajar untuk memilih lebih daripada satu daripadanya.
Pilihan jawapannya ialah:
(1) Rakyat Malaysia yang malas mengambil tahu;
(2) Rakyat Malaysia yang mudah rasa terancam tanpa usul periksa;
(3) Rakyat Malaysia yang bersifat menuruti sahaja tanpa usul periksa;
(4) Rakyat Malaysia yang bodoh tentang agama masing-masing.
Soalan 12 dalam kertas sama pula berbunyi: Etnik ini berkulit hitam dan mereka juga terdapat di kawasan Asia seperti Malaysia dan Indonesia. Kaum apakah ini?
Pilihan jawapannya ialah:
(A) Negroid
(B) Red Indian
(C) Indian
(D) Bushman
Zakir dilarang daripada menyampaikan ceramah selepas membuat komen kontroversi semasa berceramah di Kelantan pada Ogos.
Dalam
ceramah itu, dia mendakwa orang India di Malaysia dilayan dengan lebih
baik berbanding kaum minoriti di India, tetapi mereka memilih untuk
menyokong Perdana Menteri India, Narendra Modi, berbanding Dr Mahathir
Mohamad.
Dia turut meminta pengkritik yang memintanya meninggalkan Malaysia, untuk terlebih dahulu meminta “tetamu lama” dari kaum Cina untuk berbuat demikian.
Adun Bagan Dalam, M Satees menyangkal dakwaan Mufti Perlis Dr Asri Zainul Abidin yang berpandangan bahawa pergeseran dan kebiadaban antara kaum akan berterusan selagi wujudnya “sekolah vernakular yang tidak berbahasa kebangsaan” di negara ini.
Sebaliknya, Satees berkata komen oleh Dr Asri yang sebenarnya menyebabkan pergeseran di antara kaum.
Beliau
berkata Asri sebelum ini pernah membela seorang pendakwah yang membuat
ulasan yang mengguris perasaan berhubung agama Hindu dan mencadangkan
pendekatan "Saddam Hussein" dikenakan ke atas golongan minoriti di
negara ini.
"Adakah Asri menggaji di sekolah vernakular untuk mengeluarkan kenyataan seumpama itu?
“Ketegangan
kaum di Malaysia semakin memuncak, bukan disebabkan sekolah-sekolah
vernakular, tetapi kerana politik berasaskan garis perkauman dan agama.
"Ini
lebih-lebih lagi, selepas pilihan raya umum lalu, politik perkaaman
telah meningkat secara dramatik, dengan mereka yang kalah berlumba-lumba
untuk mendapatkan sokongan semula. Setiap perkara dan segalanya
dijadikan hujah berlandaskan perkauman serta dipolitikkan.
"Asri
tidak membantu meredakan keadaan tetapi sebaliknya menghangatkan lagi
dengan kenyataannya. Dalam keadaan seperti itu, Asri tidak mempunyai
sebarang kedudukan moral untuk mengulas mengenai isu tersebut," kata
wakil rakyat DAP itu dalam satu kenyataan.
Satees juga mengakui bahawa pihak berkuasa terlalu lemah dalam menangani pergeseran kaum di negara ini.
"Sebagai
contoh, ratusan laporan telah dibuat terhadap Dr Zakir Naik, yang
secara terbuka membuat kenyataan menghina penganut Hindu dan masyarakat
Cina di hadapan ribuan hadirin.
"Apa hasil siasatan polis? Adakah
Pejabat Peguam Negara mempertimbangkan sebarang tindakan terhadap
penduduk tetap itu berhubung ucapannya, yang jelas merupakan kesalahan
di bawah undang-undang?
"Tidakkah pihak berkuasa menyedari bahwa
dengan tidak bertindak, dalam kes ini, akan menghantar mesej bahawa
penghinaan seumpama itu adalah perkara biasa, dan tindakan tidak akan
diambil terhadap sesiapa yang membuat kenyataan yang menghina itu? Tidak
hairanlah kebencian kaum, agama terdapat secara meluas di media
sosial," katanya.
Satees berkata hanya mereka yang mengamalkan
politik perkauman akan menyalahkan sekolah vernakular atas hubungan kaum
yang semakin merosot Malaysia.
"Sekolah vernakular tidak kurang
daripada sekolah kebangsaan dalam mempromosikan bahasa kebangsaan,
identiti dan perpaduan negara.
“Malah, ada kalanya sekolah vernakular lebih baik dalam aspek itu, berbanding dengan sekolah kebangsaan," katanya.
Pereka grafik kulit buku untuk novel-novel edisi khas karya
Sasterawan Negara (SN) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), hari ini
menjelaskan kontroversi yang timbul berhubung kulit buku dua daripada
26 koleksi novel berkenaan.
Kontroversi itu timbul setelah ada
pihak mendakwa dua kulit novel berkenaan memaparkan siluet (imej
bebayang) setiausaha akhbar kepada Menteri Pendidikan Maszlee Malik, Zul
Fikri Zamir dan pereka kulit itu sendiri, Mutalib Uthman.
Dua novel berkenaan ialah Tulang-tulang Berserakan karya Usman Awang, dan Pertemuan Abadi karya Abdullah Hussain.
Ketika dihubungi Malaysiakini,
tanpa berdolak-dalih, Mutalib mengakui dia menggunakan gambarnya
sendiri dan gambar Zamir di dua kulit novel berkenaan, bagi menjimatkan
kos dan kerana masa projek yang “amat singkat”.
“Ya.
Kulit itu saya buat. Saya bubuh muka saya sebab mudah dan tak payah
bayar. Sebab bayaran yang diperolehi tak memampukan saya untuk bayar
model berbayar.
“Cetak pun pakai kertas surat khabar (newsprint paper),” katanya yang juga merupakan perunding untuk Projek Merakyatkan Karya SN tersebut.
Oleh
itu, katanya, dia menggunakan gambar “kawan-kawannya” kerana percuma,
cepat, dan mudah, ketika mula menyiapkan reka grafik kulit buku itu pada
sekitar bulan September.
Untuk rekod, sebelum ini, Mutalib dan
Zamir bersama seorang lagi rakan pernah mengusahakan syarikat penerbitan
buku Thukul Chetak bersama-sama. Mutalib juga sebelum ini pernah
menjadi ketua pegawai eksekutif (CEO) di DuBook Press.
Bagaimanapun, jelas Mutalib, Zamir tidak mengetahui bahawa gambarnya digunakan untuk dijadikan siluet pada kulit buku berkenaan.
Biarpun
baru dilancarkan baru-baru ini, menurut Mutalib, buku-buku berkenaan
sebenarnya telah disiapkan sejak Oktober lalu, dan telah dibawa ke
Frankfurt Book Fair bulan sama.
Menurut Mutalib lagi, projek itu
merupakan projek Marakyatkan Karya SN di bawah DBP yang berkonsep
minimalis bagi menarik minat anak muda untuk membeli dan membaca karya
SN.
Pada 24 Disember, DBPNiaga membuat hebahan bahawa kesemua 26
buku karya SN itu diterbitkan semula untuk Edisi Malaysia Membaca, dan
boleh dimiliki di Kompleks DBP Hulu Kelang bersempena Karnival Kembali
ke Sekolah 2019, hanya pada harga RM10 setiap judul.
Hal itu mula menjadi kontroversi apabila anak kepada Allahyarham
Usman Awang, Haslina Usman mempersoalkan tentang sosok manusia di kulit
novel Tulang-tulang Berserakan, karya arwah ayahnya.
Dia
turut membuat hantaran susulan yang melahirkan rasa kecewa dan sedih
atas sikap DBP dan KPM yang menurutnya “menganiayai penghormatan dan
karya” Usman Awang kerana memaparkan gambar orang lain.
Beberapa
pengguna menulis komen mendakwa siluet itu merupakan imej Zamir.
Manakala terdapat juga beberapa pengguna menyindir Zamir dan Mutalib -
yang siluetnya dikatakan terpapar di kulit novel Pertemuan Abadi.
Mengulas mengenai hal berkenaan, Ketua Pengarah DBP, Abang
Sallehuddin Abg Shokeran berkata, DBP sebenarnya telah mendapatkan
keizinan untuk menerbitkan novel berkenaan daripada pemegang hak
ciptanya, iaitu Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).
Katanya,
niat DBP menerbitkan novel-novel berkenaan dalam kulit muka baru
hanyalah bagi menarik minat golongan muda mendekati karya SN,
memandangkan sebelum ini, kulit buku DBP sememangnya sering berdepan
kritikan dan dikatakan sebagai tidak menarik.
“Tiada niat lain,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Dari
satu segi, biarpun isu berkenaan dilihat negatif, bagi Abang
Sallehuddin, dari sudut positifnya, ia berjaya membuatkan orang semakin
berminat dengan buku-buku itu sehingga ia terjual dengan “sangat laris”.
“Dalam mereka bentuk kulit ini, inilah antara percubaan awal DBP
(dalam mentransformasi kulit buku), dan nampaknya diterima baik oleh
anak muda,” katanya lagi.
Pandangan senada turut dikongsi Mutalib.
"Saya gembira perkara ini timbul, sekurang-kurangnya orang ambil tahu hal buku dan SN.
"Belilah buku SN sementara mereka masih ada," katanya.
Mengulas
mengenai kekangan kos seperti dibangkitkan Mutalib, Abang Sallehuddin
mengakui perkara berkenaan selalu menjadi sebab banyak pereka grafik
tidak berminat untuk bekerja bersama DBP kerana kadar bayaran yang
rendah berbanding pihak swasta.
Kadar itu, katanya, mengikut ketetapan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
“Kemungkinan untuk masa-masa akan datang, bagi menggalakkan lebih ramai yang berminat, kita akan kaji baliklah.
“Kita
akan bawa kadar (bayaran) DBP dalam mesyuarat lembaga supaya
dipertimbangkan untuk menawarkan (kadar) lebih menarik,” katanya lagi.
Sementara itu, Zamir, ketika dihubungi Malaysiakini, menjelaskan dia “tidak tahu menahu” mengenai isu berkenaan, dan meminta Malaysiakini mendapatkan penjelasan daripada DBP sendiri.
Penerbitan
edisi khas SN itu merupakan salah satu program dalam menyokong Dekad
Membaca Kebangsaan oleh KPM, dari tahun 2021 hingga 2030, bagi
menjadikan Malaysia ke arah negara membaca menjelang 2030.