Ini kerana, setiap program dan perancangan yang dijanjikan kerajaan Malaysia Baharu sepanjang tempoh 18 bulan ini semuanya bagai indah khabar dari rupa.
“Perkara utama harus diberikan perhatian ialah ancaman terhadap perpaduan kaum yang disifatkan banyak pihak bagaikan gunung berapi yang menanti masa untuk memuntahkan lavanya.
“Tahun 2019 akan melabuhkan tirainya tengah malam ini, sama-samalah kita perbaharui semangat serta azam agar tahun 2020 menjadi lebih bermakna dalam usaha untuk mencapai kecemerlangan duniawi dan ukhrawi,” katanya dalam Perutusan Tahun 2020 Presiden Putra, hari ini.
Dr. Ibrahim tidak menafikan rakyat menyambut Tahun Baru 2020 dengan terus dibelenggu bermacam kesengsaraan dan apa yang berlaku sepanjang tahun 2019 ibarat disangka hujan di tengah hari, tetapi panas sepanjang hari.
Kata beliau, PRU 14 yang lalu menyaksikan rakyat membuat keputusan umpama mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan.
“Mereka bagaikan berada dalam situasi menang sorak kampung tergadai dan ini berlaku lanjutan keputusan dibuat mereka akibat termakan janji manifesto yang indah khabar dari rupa dan diiringi kemarahan rakyat berikutan isu kleptokrasi 1MDB.
“Dalam keadaan dahagakan perubahan demi kesejahteraan rakyat dan negara, mereka terpengaruh dengan janji luar biasa yang dibentangkan atas nama Malaysia Baharu.
“Ternyata kini, selepas 18 bulan usia Malaysia Baharu, tiada siapapun menyangka keputusan yang dibuat itu tidak ubah seperti lari dari mulut buaya, tercampak ke dalam mulut naga,” katanya.
Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menjelaskan, Malaysia yang sepatutnya bergelar negara maju tahun 2020, kini memasuki tahun tersebut dalam keadaan tidak mempunyai hala tuju dan diseliputi pelbagai penyakit kronik.
“Kestabilan politik semakin tergugat, perpaduan rakyat berantakan, ekonomi negara kacau bilau, dasar negara yang sepatutnya menjadi pemangkin kepada negara bangsa menjadi caca marba.
“Keselamatan dalam negara pula bagai telur di hujung tanduk atau ibarat api dalam sekam yang menanti masa untuk membakar hangus tanah air tercinta ini.
“Hak asasi dan demokrasi mutlak dimanipulasi dan dijadikan pegangan tanpa batas sehingga sanggup meminggirkan serta melupakan sama sekali sosial kontrak yang membawa kemerdekaan negara pada tahun 1957,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, sememangnya ada kelompok merasakan sudah begitu kuat, justeru bersikaplah mereka bagaikan betis sudah dapat, paha sudah dapat dan sekarang mahu kepala pula sebagai hidangan cuci mulut.
Katanya, isu bantahan pelaksanaan tulisan Jawi adalah contoh terbaik yang mendedahkan wajah sebenar Dong Zhong, yang lantang membuat tuntutan tanpa mempunyai perasaan gerun, apatah lagi mahu menjaga sensitiviti orang Melayu dan Islam.
Jauh sekali, pihak berkenaan tidak mempunyai perasaan hormat kepada bangsa yang begitu bertolak ansur dalam banyak perkara termasuk menerimanya menjadi warganegara sebelum merdeka.
Kata Dr. Ibrahim, dasar kesamarataan yang diperjuangkan juga menyebabkan pihak berkenaan semakin lupa daratan.
“Bagi umat Islam dan Bumiputera, perasaan tidak puas hati dan marah kepada kerajaan begitu membuak. Mereka melihat kerajaan sekadar retorik apabila memperkatakan soal agenda membela kaum majoriti.
“Sedangkan apa juga mahu dilakukan perlu mendapat restu dari parti tertentu dan gerombolan yang lebih sudu dari kuah, termasuk kelompok anai-anai liberal yang tidak sedarkan diri.
“Keadaan menjadi lebih parah apabila rakyat semakin menderita akibat kenaikan kos sara hidup, ekonomi negara semakin merudum, nilai ringgit terus menjunam,” katanya.
Kata beliau, beberapa peruntukan yang sebelum ini diberikan kepada penjawat awam termasuk elaun kritikal juga mahu ditarik balik, manakala jumlah kakitangan hendak dikurangkan.
Peniaga pula semakin mengeluh kerana politik dan ekonomi tidak stabil menggugat pendapatan mereka yang ibarat ibarat kais pagi makan pagi.
Sementara itu, harapan sebahagian besar rakyat untuk memiliki rumah sendiri terus sekadar menjadi mimpi indah dengan harga rumah terus melambung tinggi.
Dari segi keselamatan pula, golongan yang menyokong perjuangan komunis tidak lagi segan silu untuk menyembunyikan wajah sebenar mereka.
Beliau mahu kestabilan politik dikembalikan, keselamatan negara dipertahankan termasuk mengembalikan semula Akta ISA, melakukan penambahbaikan Akta SOSMA dan berusaha memperkukuhkan Akta Hasutan 1948.
Perlu diingat, akta itu bukan lagi undang-undang penjajah kerana sudah ditambah baik oleh Parlimen selepas tragedi 13 Mei 1969 dan penambahbaikan itu dilakukan kerana pihak berkuasa memerlukan instrumen berkesan untuk menangani ancaman keselamatan dari pelbagai sudut.
Dr. Ibrahim menegaskan, polis perlu diberi sokongan moral yang kuat, di samping memastikan tugas serta peranan mereka mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP).
Sebelum nasi menjadi bubur, katanya, negara memerlukan pasukan polis yang bersih, cekal dan berkesan bagi berhadapan serta menangani kumpulan atau individu yang mahu melakukan tindakan menggugat keamanan negara.
Pada masa sama, kerajaan juga perlu memastikan kos sara hidup rakyat dipulihkan segera sebelum keadaan bertambah buruk.
Jika gagal menyelesaikan masalah tersebut, Putra mendesak kepemimpinan negara membubarkan Parlimen dan mengembalikan semula mandat kepada rakyat.
Pembubaran Parlimen bagi memberikan laluan kepada PRU bukan suatu yang ganjil, sebaliknya tindakan wajar atas prinsip amalan demokrasi iaitu kerajaan dibentuk oleh rakyat.
“Bagi pimpinan Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra, saya menyeru umat Melayu Islam dan Bumiputera menyertai atau menyokong perjuangan parti ini yang merupakan bahtera politik baru negara.
“Pimpinan Putra terdiri dari pejuang nasionalisme Melayu Islam tulen, mempunyai iltizam politik cukup kuat untuk menongkah arus bagi berhadapan ancaman mana-mana pihak terhadap kesucian Islam, kepentingan hak Melayu dan Bumiputera serta kedaulatan institusi raja-raja,” katanya.
Beliau turut menjemput semua warga Melayu Bumiputera membaca dan menghayati Permasyhuran Sumpah Keramat 10 Perkara yang menjadi matlamat unggul perjuangan parti.
Permasyhuran itu disempurnakan pada 28 September lalu ketika pelancaran Putra di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
“Putra berdoa dan berharap ada cahaya di hujung terowong untuk umat Melayu Islam, Bumiputera dan rakyat amnya supaya negara ini kembali bersatu padu, bermartabat, bermaruah dan cemerlang dalam segala aspek demi kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan