HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 Disember 2019

Guna lidi disapu gam, dua remaja 'pancing' duit tabung masjid diberkas

Abd Razak Mohd Ali, Astro Awani
Guna lidi disapu gam, dua remaja 'pancing' duit tabung masjid diberkas
Soal siasat mendapati kedua-dua suspek mengaku menggunakan lidi yang disapu gam untuk memancing duit di dalam tabung masjid. - Foto PDRM
 

PARIT BUNTAR: Perbuatan dua remaja lelaki yang ‘memancing’ duit tabung Masjid Al Redzuan di pusat bandar di sini mengundang padah apabila mereka diberkas Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid dan polis, pada Sabtu.

Suspek pertama berusia 17 tahun diberkas AJK masjid di Taman Linear, Jalan Temenggong, di sini pada 1.20 pagi manakala rakannya berusia 20 tahun, ditahan pihak polis di hadapan sebuah restoran makanan segera pada 1.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, beberapa AJK masjid membuat pemantauan tengah malam berkenaan selepas banyak laporan kes kecurian duit tabung masjid di Parit Buntar.

Menurutnya, kira-kira 1.10 pagi, mereka mengesan dua suspek mencurigakan menggunakan laluan kawasan tanah perkuburan berhampiran sebelum memasuki pekarangan masjid.
“Kedua-dua suspek dilihat menuju ke arah tabung yang berada di hadapan pintu masuk masjid sambil menjolok lidi ke dalam lubang tabung itu.

“AJK masjid bertindak mengepung kedua-dua suspek sebelum melarikan diri ke arah pintu pagar masjid di kawasan tanah perkuburan tetapi berjaya diberkas oleh AJK masjid terbabit dan pihak polis tidak lama kemudian,” katanya hari ini.

Mereka mengesan dua suspek mencurigakan menggunakan laluan kawasan tanah perkuburan berhampiran sebelum memasuki pekarangan masjid. - Foto PDRM
 
Mereka mengesan dua suspek mencurigakan menggunakan laluan kawasan tanah perkuburan berhampiran sebelum memasuki pekarangan masjid. - Foto PDRM

Omar Bakhtiar berkata, soal siasat mendapati kedua-dua suspek mengaku menggunakan lidi yang disapu gam untuk `memancing’ duit di dalam tabung masjid.

Menurutnya, polis merampas sebilah lidi, sehelai kertas pelekat lalat, sehelai seluar denim dan wang kertas pelbagai nilai berjumlah RM80.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut dan tidak menolak kemungkinan kedua-dua suspek yang berasal dari Nibong Tebal, Pulau Pinang itu, turut melakukan kegiatan sama di beberapa buah masjid lain di daerah Kerian,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Tiada ulasan: