PENGUMUMAN kerajaan untuk menyelaraskan kenaikan gaji minimum kepada RM1200 di 57 buah bandar utama di Malaysia termasuk 7 bandar utama di Sarawak dilihat tidak seiring dengan dasar fiskal yang stabil. Dasar pengupayaan ekonomi tempatan perlu daripada Kerajaan Pusat agar penawaran dan permintaan pasaran tempatan terkawal. Akibat ketidakstabilan ini cenderung untuk menyebabkan perniagaan tidak berdaya saing dan mengakibatkan pendapatan perniagaan menurun dan tidak stabil. Ini akan menjadikan ada had pengambilan pekerja kerana kos bertambah sedangkan pendapatan mengecil. Semua ini bergantung kepada fungsi penstabil yang perlu di kalangan oleh Kerajaan Pusat
Fungsi penstabil yang tidak jelas akan menggagalkan usaha menaikkan gaji minimum secara umum kerana penguncupan ekonomi tempatan. Kita tahu bahawa kini tidak lagi kedengaran agresifnya usaha kerajaan membuat kempen membeli barangan tempatan malah terus suram. Sedangkan dalam masa yang sama kerajaan mahu pengupayaan perniagaan terus berkembang dalam memacu ekonomi negara. Sungguhpun keutamaan kerajaan untuk gaji minimun ditingkatkan di bandar utama kerana ia mensasarkan kuasa beli bandar utama untuk lebih berbelanja, kerajaan perlu melihat bagaimana dasar mereka boleh membantu untuk perniagaan tempatan di bandar utama tersebut stabil. Pilihan barang import berbanding tempatan dilihat lebih cenderung pada masa kini.
Kerajaan juga perlu tahu bahawa terdapat kecenderungan sut yang sangat tinggi terhadap barang import. Ini juga merupakan faktor yang akan menyumbang kepada penguncupan pasaran tempatan dan dasar fiskal menjadi sia-sia dan tidak berkesan. Secara relatif, kecenderungan sut import yang tinggi menjangkakan akan ada suntikan perbelanjaan baru ke dalam sistem ekonomi tempatan akibat berlakunya aliran keluar (bocoran) yang lebih banyak. Akhirnya, pengganda belanjawan dan tingkat pendapatan akan mengecil.
Kebimbangan pendapatan yang mengecil yang mengakibatkan lebih banyak pengangguran ini akan memberi kesan kepada corak kehidupan Malaysia Baru mulai tahun 2020. Sudahlah kita dibawa dalam mimpi Wawasan 2020 yang gagal, kini belenggu ekonomi yang mengancam kehidupan rakyat akan menjadikan rakyat tiada pilihan, jurang perbezaan ekonomi yang ketara di mana Kapitalis tertentu akan menguasai pasaran dan akhirnya golongan tertentu akan terus kaya. Kebimbangan ini juga dapat dilihat kepada nasib golongan yang tinggal di luar bandar. Apa pun yang berlaku, rakyat hanya tahu adanya peluang pekerjaan untuk mereka mencari sumber pendapatan. Maka mampukah dasar fiskal ini tadi memberi tawaran tersebut kepada rakyat tempatan?
*ZHARUDIN NARUDIN - Ketua Penerangan PAS Sarawak – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan