HALAMAN SANTAI

Selasa, 31 Disember 2019

Di mana Menteri Perpaduan dalam isu Jawi?

HAJI AHMAD AMZAD HASHIM




SAYA mengucapkan tahniah kepada pihak polis kerana berjaya mendapatkan perintah mahkamah melarang Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) daripada meneruskan himpunan membantah pengenalan tulisan jawi.

Susulan daripada itu, tiga pertubuhan bukan kerajaan iaitu Angkatan Gerak Minda Malaysia (AGRA), Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) turut membatalkan himpunan membantah penganjuran kongres oleh Dong Zong itu.

Isu tulisan jawi yang asalnya remeh ini jelas menjadi semakin tegang dengan pendirian ekstrimis yang enggan bertolak ansur demi perpaduan nasional. Pengenalan jawi yang dianggap menjadi jalan untuk pelajar Cina diislamkan terus dimainkan walaupun ia tidak munasabah untuk dijadikan alasan.

Dalam hal ini, saya menantikan apakah reaksi dan tindakan Menteri Perpaduan yang diberikan gaji dan elaun berpuluh ribu oleh rakyat setiap bulan.

Sebelum ini pun, Menteri Perpaduan bisu dalam isu rusuhan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman sehingga menyebabkan kaum India merusuh dan mengorbankan nyawa anggota bomba yang bertugas. Adakah Menteri Perpaduan tidak kisah jika peristiwa pahit itu berulang lagi?

Sehingga hari ini, kerajaan gagal menyediakan solusi, sebaliknya lebih selesa menyandarkan isu bantahan sebagai satu lagi propaganda daripada pembangkang.

Kenyataan parti-parti politik dalam kerajaan seperti DAP yang menyokong secara bersungguh-sungguh tidak membantu dalam meredakan ketegangan dan kemarahan rakyat terhadap kedegilan Dong Zong.

Walhal, tulisan jawi hanya dimasukkan sebanyak 3 muka surat sahaja ke dalam buku teks di sekolah vernakular melibatkan aktiviti harian sebagai rakyat Malaysia seperti tulisan jawi yang ada dalam matawang ringgit, setem dan jata negara.

Oleh itu, saya menyeru Menteri Perpaduan untuk melakukan sesuatu dan menjadi orang tengah yang boleh menyelesaikan isu bantahan ini.

Dakwaan Dong Zong bahawa 900 sekolah SJKC turut menyatakan sokongan menolak pengenalan tulisan jawi perlu diimbangkan dengan keperluan untuk semua rakyat Malaysia tidak kira kaum dan agama mempelajari perkataan-perkataan jawi yang menjadi tiang asas kepada pembinaan negara bangsa dan jati diri Malaysia.

Kebisuan Menteri Perpaduan hanya membuktikan bahawa beliau langsung tidak layak berada dalam Kabinet dan memegang portfolio perpaduan.

“Islam Memimpin Perpaduan”

*YB HAJI AHMAD AMZAD HASHIM -Ahli Parlimen Kuala Terengganu
  HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: