HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 Disember 2019

Pemansuhan BIPK: Mutu perkhidmatan awam terjejas - Cuepacs

Isabelle Leong, Astro Awani
Pemansuhan BIPK: Mutu perkhidmatan awam terjejas - Cuepacs
Pemansuhan BIPK hanya membabitkan pelantikan baharu yang dilantik mulai 1 Januari 2020.
 
 
KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memberi amaran mutu perkhidmatan awam boleh terjejas jika pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) dilaksanakan.

Presidennya, Adnan Mat menyifatkannya sebagai langkah yang terbelakang kerana wujudnya dua bayaran upah yang berbeza untuk jawatan yang sama di bawah majikan dan kerajaan yang sama.
 
Keputusan ini boleh mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kalangan rakan sekerja sekali gus memaksa ramai tenaga kerja pakar kerajaan untuk terus keluar daripada perkhidmatan.

“Kami tidak mendapat maklumat awal dan tidak dipanggi oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk berbincang.
 
“Pada kebiasannya, apabila JPA atau kerajaan ingin menggubal pekeliling baharu akan berjumpa dengan CUEPACS bagi membincang dan melaksanankan segala pekeliling supaya dalam dilaksanakan oleh kedua pihak dengan memuaskan.

BACA: Pemansuhan BIPK beri impak pada golongan muda - Cuepacs Sarawak

“Dengan pemansuhan BIPK, pakar yang terdapat dalam bidang perubatan, khususnya, akan beralih arah dan keluar daripada perkhidmatan kerajaan kerana di terdapat skim perkhidmatan lebih baik di luar sana,” kata Adnan apabila dihubungi Astro AWANI.

Kata Adnan lagi, Cuepacs akan mengemukakan nota bantahan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam masa terdekat bagi menjelaskan sebab BIPK masih diperlukan dalam perkhidmatan kerajaan dan tidak boleh dihapuskan sepenuhnya.

BACA: MBM bantah pemansuhan elaun kritikal doktor, petugas kesihatan 

“BIPK boleh dimansuhkan secara berperingkat seperti kepada skim tertentu yang tidak terlibat dengan perkhidmatan kepada rakyat.

“Sebaliknya lebih kepada perkhidmatan pentadbiran.

“Ini bermaksud, pelaksanaan BIPK boleh dilakukan secara beberapa jenis, mengikut pengkhususan jawatan berkenaan,” katanya lagi.

ANULAE sokong kenyataan Syed Saddiq

Sementara itu, Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE), Datuk Azih Muda menyokong kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk memotong elaun ahli politik dan menteri berbanding elaun kritikal.

Azih berkata dengan berbuat demikian, ia dapat mewujudkan keadilan dalam semua lapisan penjawat awam.

Selain itu, katanya, kerajaan tidak patut melihat pemberian elaun tersebut sebagai beban kerana ia merupakan penghargaan kepada penjawat awam sebagai galakan dalam menjalankan amanah kerajaan.

“Bagaimana kerajaan minta orang lain untuk mengiktiraf penjawat awam, sedangkan kerajaan tidak mengiktiraf mereka?

“Insentif mereka ditarik balik dan ini tidak patut  berlaku dalam negara yang jauh berada di hadapan dan menuju ke arah negara maju.

“Apa yang kami katakan tentang Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 ia tidak wujud. Kami inginkan kemakmuran bersama tetapi pada masa yang sama, kami lakukan perkara sebegini,” ujar Azih.

Pada Rabu, Syed Saddiq mengeluarkan kenyataan untuk memotong elaun ahli politik dan menteri, bukannya elaun kritikal doktor, ahli farmasi serta jururawat muda.

Kenyataannya adalah susulan pekeliling baharu JPA baru-baru ini mengenai pemansuhan BIPK mulai 1 Januari 2020 bagi penjawat awak 33 Skim Perkhidmatan Kritikal yang baharu dilantik. 
 
 

Tiada ulasan: