HALAMAN SANTAI

Khamis, 26 Disember 2019

Malaysia perlu undang-undang tangani ancaman komunisme

Manzaidi Mohd Amin
Dr. Ibrahim Ali
Dr. Ibrahim Ali


KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menyokong saranan Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa) agar kerajaan segera mengubal undang-undang dan peraturan yang lebih jelas mengharamkan sebarang gerakan untuk menghidupkan ideologi komunisme.

Presiden penajanya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, sebelum ini komunis berada dalam hutan, tetapi selepas Perjanjian Hat Yai, mereka kini berada melata di bandar.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan ada dalam kalangan mereka ada di Dewan Rakyat, dalam kerajaan, dalam parti politik, dalam pelbagai NGO dan di mana sahaja termasuk dalam pasar dan sekolah persendirian.

“Komunis dalam bandar lebih tertumpu menyebar fahaman ideologi itu dan membesar-besarkan cerita perjuangannya, yang berbeza perjuangan komunis dalam hutan mengangkat senjata,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden Respa, Tan Sri Mohd Ismail Che Rus, yang menyarankan kerajaan segera menggubal undang-undang dan peraturan lebih jelas untuk mengharamkan sebarang gerakan yang membawa ideologi komunisme.

Menurut Mohd Ismail, saranan itu penting berikutan terdapat tindakan pihak tertentu cuba memberi persepktif baharu terhadap matlamat perjuangan komunis dan mereka yang didapati bersalah harus dihukum dengan setimpal.

Ibrahim menjelaskan, kini banyak agenda nasional berteraskan perlembagaan di tentang secara terbuka dan jelas dorongan fahaman komunis menolak ajaran Islam serta institusi raja.

Kata beliau lagi, penyokong komunis dalam bandar kini lebih berani sejak Akta ISA dimansuhkan, yang mana akta itu digubal untuk menangani gerakan berkenaan yang mengancam keselamatan negara.

“Sekarang paling kuat tekanan adalah untuk menghapuskan Akta SOSMA dan gesaan mewujudkan IPMC, yang semua ini pasti akan merancakkan gelombang tentangan terhadap institusi yang sudah sebati dengan rakyat dan negara.

“Pada pandangan Putra, kembalikan semula Akta ISA dan menambahbaik Akta SOSMA serta pengawasan yang teliti serta menyeluruh terutama di sekolah persendirian, universiti dan NGO’s tertentu yang secara tidak langsung menjadi ejen mengembang fahaman komunis,” katanya.

Beliau menegaskan, walaupun penting ekonomi dari sudut pelancongan, namun Malaysia kini terbuka luas tanpa kawalan dan ribuan datang tidak pulang ke negara asal serta ditambah dengan pendatang tanpa izin yang boleh membawa pelbagai kesan termasuk terlibat dengan fahaman komunis.

Malaysia, tegasnya lagi, memerlukan lebih banyak undang-undang kerana negara berdepan dengan pelbagai ancaman. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: