KUALA LUMPUR: Majlis Belia Malaysia (MBM) tidak bersetuju dengan keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memansuhkan pembayaran elaun kritikal kepada doktor dan petugas kesihatan kerajaan untuk lantikan baharu.
Presidennya Jufitri Joha berkata, seandainya elaun kritikal tersebut terus dimansuhkan, prestasi kerja para doktor dan petugas kesihatan dikhuatiri akan terganggu.
"Motivasi kerja akan berkurangan, juga tidak mustahil para profesional kesihatan akan beralih arah ke sektor swasta atau menceburi pekerjaan lain yang lebih memberi pulangan (sindrom overworked and underpaid)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jufitri berkata demikian mengulas langkah kerajaan menamatkan pemberian 'bayaran insentif perkhidmatan kritikal' kepada doktor, jururawat, jurutera dan profesional lain yang menyertai perkhidmatan awam bermula tahun depan.
Langkah tersebut diumumkan melalui pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertarikh 20 Disember.
BACA: Syed Saddiq pulangkan elaun, protes pekeliling JPA
BACA: Pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal hanya libatkan lantikan baharu
Jufitri berkata, elaun kritikal sangat wajar diperuntukkan kepada petugas kesihatan memandangkan 'nature of job' mereka tidak putus dari berhadapan dengan kes-kes kritikal yang mengancam nyawa.
"Begitu juga, insiden kemalangan tempat kerja seperti tercucuk jarum dan berjangkit sakit dari pesakit yang dirawat adalah tinggi," katanya.
MBM berharap KKM segera mempertimbangkan semula perkara itu demi kebajikan doktor dan petugas kesihatan baharu yang rata-ratanya di kalangan anak muda.
"Sebagaimana kita sedia maklum, tugas doktor, jururawat dan paramedik lainnya adalah tidak tertakluk kepada waktu, di mana hospital dan klinik berfungsi 24 jam.
"Sehubungan itu, para doktor dan petugas kesihatan harus bekerja secara sistem syif atau 'on call'.
"Jumlah jam kerja mereka per minggu juga lazimnya lebih tinggi berbanding profesyen lain. Ini memberi impak yang tinggi pada 'quality of life', juga 'work life balance' seseorang doktor dan petugas kesihatan," kata Jufitri.
Tambahnya, dewasa ini, rakyat sudah pun berhadapan dengan masalah kos sara hidup yang tinggi, kenaikan harga barang mentah dan ketidakstabilan harga minyak.
LIHAT TWITTER DI SINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan