Saya membuat ulasan tentang 100 tahun kebelakangan ini tanpa menoleh jauh lebih ke belakang.
Negara-negara Eropah berperang sesama sendiri menjelang Perang Dunia I dan Perang Dunia II.
Selepas Perang Dunia II, negara-negara Eropah berjaya menyatukan kedudukan mereka dan akhirnya menubuhkan Kesatuan Eropah (EU).
Antaranya EU ini bertujuan untuk memajukan negara-negara Eropah yang kurang maju atau “shared prosperity” (kemakmuran bersama). Kebanyakannya mengamalkan liberal-kapitalis dalam sistem ekonomi dan kebebasan untuk manusia.
Maka kesatuan negara-negara Eropah ini berjaya terutamanya dalam ekonomi dan sosial. Negara-negara besar dan penduduknya ramai seperti United Kingdom (UK), Jerman dan Perancis memainkan peranan utama.
Akhirnya EU yang berpusat di Brussels melebarkan pengaruh dan juga memberi kekuatan ekonomi kepada negara-negara Eropah. Mereka berjaya menguasai sebahagian besar dunia dan melebarkan pengaruh terutamanya dalam sistem politik dan ekonomi.
EU bersama Amerika Syarikat (AS) menguasai sebahagian besar negara-negara di dunia. Pengaruh EU dan AS melebar begitu meluas dan kuasa tentera mereka amat hebat, terutama sekali Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato). Perjanjian ketenteraan dalam kalangan negara Eropah dan AS termasuk Turki menjadikan EU maju dan begitu hebat.
Terdapat satu lagi blok negara-negara yang mengamalkan ideologi yang disebut sebagai sosialis atau komunis. Walaupun kita tidak dapat menerima ideologi mereka, tidak menerima cara pemikiran mereka, negara-negara ini begitu hebat menguasai rakyatnya melalui “doktrin” perjuangan mereka.
Ini menyebabkan Rusia menguasai Kesatuan Soviet yang menguasai negara-negara yang begitu luas, walaupun kemudiannya berpecah. Kesatuan Soviet berpecah melahirkan 8 negara merdeka tetapi Rusia tetap teguh dan kukuh serta menguasai pemikiran sebahagian besar rakyat di dunia. Rusia juga menjadi negara yang begitu kuat terutamanya dalam bidang ketenteraan dan ekonomi.
Sementara China pula negara yang tidak aman pada satu ketika dahulu, huru hara akibat pertentangan antara ketua-ketua di negeri atau jajahan dan berterusan dengan begitu lama. Kucar-kacir itu menyebabkan Jepun dapat menguasai sebahagian besar negara itu.
Sebelum itu British pernah menguasai China. Kita boleh melihat peninggalan sejarah penguasaan British di Shanghai sampai ke hari ini. Kekacauan dalaman menyebabkan China dapat dikuasai British dan kemudiannya Jepun.
Akan tetapi bawah Mao Tze Tung dengan “Long March” dan rakan-rakan berjaya menyatukan seluruh China. Walaupun menggunakan ideologi komunis yang keras, walaupun kita tidak bersetuju dengan ideologi itu, Mao dan rakan-rakan berjaya menyatukan rakyat China bawah satu republik kecuali Taiwan.
Ini disebabkan Chiang Kai-shek melarikan diri dan mewujudkan negara liberal-demokrasi di Taiwan. Kedua-dua negara itu berlumba mengejar kuasa dan kemajuan akhirnya kita lihat pada abad ini, China muncul sebagai kuasa besar ekonomi dan juga kuasa ketenteraan. Mao berjaya menyatukan rakyat China walaupun dengan kekerasan.
Selepas Mao, Deng Xiaoping pula melancarkan pembaharuan ekonomi. Sehingga hari ini bawah kekuasaan Parti Komunis China (CPI), China dimodenkan menjadi kuasa ekonomi dan ketenteraan serta sedang bersaing dengan AS untuk merebut tempat pertama. Taiwan pula terus maju bawah naungan dan pengaruh AS serta negara-negara Barat. Taiwan mencapai kemajuan yang begitu hebat sekali.
Kemajuan China dan kekuasaannya menyebabkan negara hebat seperti Jepun dan Korea Selatan mendekati mereka walaupun AS memberikan amaran. Jepun dan Korea Selatan sedang menukar arah dan cuba berbaik-baik dengan China walaupun kekal sebagai sahabat karib AS dan negara-negara Eropah.
Begitu juga Korea Utara. Jepun dan Korea Selatan cuba mendekati mereka dengan jalan dialog kerana Korea Utara mempunyai kemampuan ketenteraan yang begitu hebat dan boleh mengancam keselamatan mereka.
Ummah yang lemah
Soalnya di mana umat Islam dan masyarakat Islam, selepas ditinggalkan oleh penjajah British, Belanda, Portugis, Perancis, Itali dan negara Eropah lain yang meninggalkan tanah jajahan baik di Asia atau di Afrika? Negara-negara orang Islam muncul sebagai negara merdeka selepas penjajah diusir atau terpaksa meninggalkan mereka.
Mutakhir ini kita lihat negara-negara orang Islam ataupun “Ummah” melahirkan pemimpin-pemimpin yang kaya-raya. Tersiar dalam berita-berita bagaimana pemimpin-pemimpin membeli lukisan yang harganya ratusan juta dolar. Mereka memiliki kapal-kapal mewah, pangsapuri dan hotel-hotel mewah di Switzerland, London, Paris dan sebagainya. Mereka juga terkenal dengan berita menghabiskan wang di tempat-tempat perjudian.
Pemimpin-pemimpin negara Islam, sama ada bergelar presiden mahupun raja, terkenal di seluruh dunia dengan kekayaan dan kemewahan. Sebaliknya untuk menjaga keselamatan negara, kadangkala dipanggilnya kuasa-kuasa besar seperti AS, British dan Perancis untuk menjaga takhta dan kedudukan daripada ditumbangkan rakyat.
Negara-negara yang dipimpin orang Islam masih menjadi proksi kuasa-kuasa besar. Akibat tidak merdeka sepenuhnya terutama daripada sudut pemikiran, maka orang-orang Islam menjadi lemah. Perang sesama sendiri begitu ketara. Kita lihat bagaimana harta dan nyawa orang Islam begitu murah ditumpahkan di dunia Islam.
Lihatlah apa yang berlaku di Iraq, Syria, Libya, Yaman, Somalia, Sudan dan beberapa negara lain. Di Afghanistan, peperangan yang tidak sudah-sudah melebihi 40 tahun dan semuanya yang berlaku itu peperangan antara orang Islam.
Maruah ummah begitu lemah, tidak dilihat langsung sebagai lambang kekuatan kepada manusia.
Kalau negara-negara sosialis-komunis berbangga dengan kekuatan China dan Russia, negara-negara kapitalis-liberal berbangga dengan Amerika Syarikat, Perancis, Jerman, dan juga United Kingdom. Apa nak dibanggakan tentang kekuatan negara-negara orang Islam?
Sedangkan orang Islam mengaku merekalah yang terbaik, Islam itu lebih tinggi daripada yang lain. Ini dikumandangkan dalam kuliah agama dan khutbah di seluruh dunia Islam, tetapi orang Islam berada di tahap paling bawah dalam bidang ekonomi, keadilan sosial, dan jauh sekali keupayaan dalam bidang ketenteraan. Pertelagahan sering berlaku dan orang Islam terus mundur.
Sidang Kemuncak KL
Di sinilah muncul seorang manusia yang mendekati umur 1 abad, iaitu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. Beliau melihat gejala dunia ini, khasnya dunia Islam, sejak dari selepas Perang Dunia I sampai ke Perang Dunia II sampailah sekarang. Beliau selalu bercakap dalam mesyuarat tertutup atau terbuka tentang kelemahan yang ada pada orang-orang Islam.
Orang Islam perlu bersatu. Mereka dulunya memimpin dunia dalam bidang ekonomi, pendidikan, dan ketenteraan. Perkara itu, atas semangat yang ada pada beliau sebelum menghembuskan nafas yang terakhir, sering disebut Mahathir.
Mahathir paling layak bercakap soal penyatuan ummah kerana beliau pemimpin paling senior di dunia Islam sekarang. Oleh itu beliau bersama pemimpin lain dari Turki, Pakistan, Iran dan Qatar berbincang bagaimana orang-orang Islam boleh bersatu dengan tujuan untuk memerdekakan mereka.
Sekurangnya idea-idea yang dilontarkan untuk masa akan datang, kekuatan orang Islam dapat digerakkan, dapatlah bangsa lain atau orang lain menghormati dunia Islam.
Maka cetusan idea itu dijelmakan melalui Sidang Kemuncak Kuala Lumpur. Sejauh mana kejayaan Sidang Kemuncak KL kita boleh lihat. Bukan untuk dilihat pada hari ini tetapi idea penyatuan ummah itu perlu diteruskan supaya umat Islam bebas daripada berbincang hal sektarian, kaum, suku yang sering membelenggu dunia Islam.
Sidang Kemuncak KL menjadi medan untuk berbincang secara serius bagaimana umat Islam perlu dihormati, kekuatan umat Islam harus ditonjolkan, kekayaan negara orang Islam dapat dinikmati bersama oleh umat. Seperti yang dilakukan kuasa besar lain seperti di blok Timur atau Barat yang melakukan satu perkara untuk memberi kekuatan kepada suku sakat atau kesatuan mereka.
Dalam Islam yang lebih jelas soal tolong-menolong antara satu sama lain tetapi ia tidak dilakukan oleh umat Islam. Ia dilakukan oleh orang lain yang menterjemahkan ajaran Al-Quran. Sebaliknya dunia Islam penuh dengan perpecahan, peperangan, dan kemunduran dalam bidang ekonomi dan pendidikan, jauh sekali kekuatan ketenteraan.
Oleh itu Sidang Kemuncak KL perlu disokong dan Mahathir dapat mencetuskan satu perkara baru untuk memunculkan semula ketamadunan Islam di muka bumi yang dipinjamkan Allah untuk hidup, supaya kita kembali kepada Allah dengan melaksanakan apa yang dituntut ajaran Islam.
Di dunia Islam pada masa ini, muncul sekurang-kurangnya 2 negara yang hebat dalam ketenteraan iaitu Turki dan Iran. Oleh itu kita mengharapkan kedua-dua negara ini bersama-sama dengan Indonesia, Pakistan, Malaysia dan Qatar memainkan peranan awal ke arah penyatuan ummah dan memberi satu suluhan pencerahan Islam dan umatnya masa sekarang dan pada waktu akan datang.
*Mohamad Sabu adalah menteri pertahanan dan presiden Amanah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan