HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 Disember 2019

Perlu RM2 juta baik pulih Masjid Kristal

Mohd Aizat Shamsuddin
 


KOS sebanyak RM2 juta diperlukan untuk membaik pulih kubah Masjid Kristal di Kuala Terengganu yang bocor hingga menyebabkannya ditutup sejak dua tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Terengganu, Ariffin Deraman berkata, kerajaan negeri sedang berusaha mencari dana daripada syarikat multinasional untuk membiayai kos baik pulih itu.

“Kami sedang berusaha mendapatkan maklum balas daripada syarikat terbabit untuk bertemu dan berbincang serta mendapatkan gambarannya.

“Diharapkan usaha ini berjaya dan kita boleh buat (baik pulih) segera yang mungkin,” katanya pada sidang media Pelancaran Kalendar Aktiviti Pelancongan dan Pelancaran Mega Melawat Malaysia 2020 (VM2020) Terengganu, hari ini.

Ariffin berkata, usaha baik pulih masjid yang dinobatkan antara tercantik di negara ini pernah dilakukan beberapa kali dengan kontraktor bertukar sebanyak tiga kali.

Katanya, sebagai masjid yang menjadi ikon pelancongan negeri, isu keselamatan adalah penting dan kerana itu, ia terpaksa ditutup apabila kerosakan masih belum dapat diatasi.

“Kerja baik pulih yang dimulakan sejak awal tahun sepatutnya siap pada September lalu, namun disebabkan kekangan bajet, usaha baik pulih tidak selesai dan ia juga tidak menyeluruh.

“Kerosakan kubah juga agak teknikal yang mana strukturnya perlu dicabut dan digam semula. Jadi kita perlu mendapatkan kontraktor asal ataupun kontraktor berpengalaman untuk menyelesaikan masalah ini dan kita sudah mengenalpastinya,” katanya.

Masjid Kristal yang dibangunkan terletak di Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man menjadi ikon pelancongan negeri kerana seni bina yang unik menggunakan kaca dan keluli selain kedudukannya yang terletak di tebing Sungai Terengganu.

Malah masjid ini pernah dinobatkan sebagai masjid ketiga tercantik di dunia dan diiktiraf sebagai masjid pintar pertama di Malaysia.

Ia dibina dengan kos RM22 juta dan dirasmikan pada 2008 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Tiada ulasan: