HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 Disember 2019

Qunut Nazilah untuk Islam Uighur dalam setiap solat fardu - Mufti Perak

Abd Razak Mohd Ali, Astro Awani
Qunut Nazilah untuk Islam Uighur dalam setiap solat fardu - Mufti Perak
HARUSSANI: Sebagai umat Islam, kita mesti mengambil perhatian serius tentang perkara ini.
 
 
IPOH: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menggesa umat Islam di negara ini membaca Qunut Nazilah dalam setiap solat fadu untuk mendoakan umat Islam Uighur di China yang ditindas.

Menurut beliau, umat Islam digesa berdoa memohon agar umat Islam di Uighur diberikan kekuatan dalam menghadapi kezaliman.

"Marilah bersama-sama kita membaca Qunut Nazilah dalam setiap solat fardu memohon agar saudara kita di sana diberikan kekuatan dalam menghadapi kezaliman.

"Semoga Allah memberikan kemenangan kepada umat Islam dan membalas kekejaman pihak musuh," katanya dalam kenyataan di laman Facebook Jabatan Mufti Negeri Perak pada Jumaat.

Menurut Harussani, dunia telah mengetahui kekejaman kerajaan China terhadap etnik Uighur dan penduduk Islam lain di rantau Xinjing yang tular dalam media.

Malah, kata beliau, banyak negara secara rasmi telah mengecam tindakan zalim tersebut seperti Turki dan Britain namun terdapat juga negara-negara yang menyokong dasar China itu.

"Sebagai umat Islam, kita mesti mengambil perhatian serius tentang perkara ini dan turut merasai kesengsaraan saudara Muslim di sana dan mengecam keras tindakan kekejaman terhadap mereka, bukannya berpihak kepada musuh," ujarnya. 
 
 

Tiada ulasan: