HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Disember 2019

Sekat bincang isu Jawi dengan kementerian pendidikan

FAISAL ASYRAF




NGO Gabungan Seni Khat Action Team (Sekat) bertemu Pemangku Ketua Pengarah Pendidikan Habibah Abdul Rahim di Putrajaya hari ini untuk membincangkan mengenai pelaksanaan pengenalan Jawi di sekolah-sekolah vernakular.

Sekat, yang diwakili oleh setiausahanya Arun Doraisamy disertai oleh penyelaras Jawatankuasa Khas Pembelajaran Jawi Kuala Lumpur dan Selangor, Eddie Heng Hong Chai.

Kedua-dua mereka, disertai beberapa anggota kumpulan menghabiskan kira-kira 40 minit di pejabat Kementerian Pendidikan dan selesai mengadakan perbincangan pada jam 1 tengah hari.

Ketika ditemui selepas perbincangan itu, Arun berkata beliau gembira dengan pertemuan dengan Habibah yang disifatkan berjalan lancar.

"Saya melangkah keluar dengan gembira setelah mengetahui ada orang yang mengakui kebimbangan kami. Kami telah mengemukakan satu resolusi yang kami luluskan pada kongres (Kebangsaan Jawi) semalam.

"Kami telah mengadakan perbincangan mengenai isu-isu berkaitan Jawi yang kami tekankan semasa kongres. Kami berkongsi tentang bagaimana kami boleh menjernihkan keadaan sekarang.

"Kita beritahunya bahawa pendekatan terbaik adalah sama seperti apa yang pemimpin-pemimpin kita telah ambil pada masa lalu, iaitu untuk mengadakan dialog. Kami mencadangkan dialog diadakan dengan pelbagai pihak termasuk rakan-rakan Melayu kita.

"Dia menyambut baik cadangan itu," kata Arun.

Arun berkata kedua-dua pihak bersetuju bahawa perpaduan mengatasi segala-galanya.

"Kita tidak boleh mengorbankan perpaduan kita terhadap apa sahaja agenda. Dr Habibah juga bersetuju bahawa perpaduan akan diutamakan.

"Saya beritahu dia kita terselamat dari 1969 (Peristiwa Mei 13), kita keluar bersama dan mencapai kemerdekaan, jadi sekarang tidak ada alasan. Saya seru kepada semua pemimpin terutama pemimpin politik, datang bersama-sama dan berbincang," kata beliau.

Resolusi

Terdahulu, sebelum pertemuan dengan Habibah, Arun berkata beliau akan mengemukakan resolusi dan surat yang meminta Kementerian Pendidikan mengadakan pertemuan dengan NGO pelbagai kaum untuk membincangkan mengenai isu Jawi secepat mungkin.

Resolusi itu termasuk menentang pelaksanaan jawi secara paksaan tanpa sebarang rundingan, tidak bersetuju Jawi dijadikan mata pelajaran wajib lulus dan menggesa pembelajaran Jawi dilaksanakan sebagai mata pelajaran elektif.

"Kami mahu menyelesaikan perkara ini secara baik. Tidak ada keperluan untuk memanggil siapa pun sebagai rasis kerana kita juga mempertahankan hak kami. Mesti ada rasa Bangsa Malaysia.

"Kami mengambil berat tentang perpaduan. Tanpa perpaduan Malaysia tidak akan wujud. Kita tidak mahu memberi peluang kepada mereka yang membakar sentimen perkauman dan agama.

"Dan ini (Jawi) bahkaa bukan isu sensitif. Ia adalah mengenai sukatan mata pelajaran. Tetapi ada juga pihak yang sentiasa membakar sentimen kaum dan agama dengan isu ini," katanya.

Sementara itu, Eddie berkata, keutamaan sekarang adalah untuk mendekati kumpulan Melayu.

"Kami datang ke forum semalam dalam semangat 1 Malaysia. Pada asasnya, kami menyampaikan suara kami secara bersama. Siri-siri perbincangan forum perlu diteruskan.

"Saya rasa keutamaan kami pada masa ini adalah untuk melibatkan kumpulan-kumpuan Melayu.
Saya tidak fikir kami memikul tugas yang mudah tetapi kami akan menggabungkan tenaga," katanya.

Dalam perancangan, Arun berkata mereka juga merancang untuk mengadakan satu forum bersama dengan NGO Melayu bagi membincangkan isu Jawi.

"Kita akan menganjurkan forum bersama dengan saudara Melayu kita. Pada masa yang sama, saluran komunikasi kita terbuka bila-bila masa dengan sesiapa sahaja," katanya.


Tiada ulasan: