HALAMAN SANTAI

Rabu, 25 Disember 2019

Beban kakitangan hospital tak sepadan jumlah petugas, NGO beritahu JPA

JPA digesa menilai semula keputusan memansuhkan BIPK demi 
kepentingan kebajikan kakitangan kesihatan.
 
PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Imam) mempertikaikan tindakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memansuhkan bayaran insentif perkhidmatan kritikal (BIPK) melibatkan kakitangan baru.

Jawatankuasa eksekutifnya mempersoalkan kewajaran JPA menganggap perkhidmatan perubatan sebagai tidak lagi kritikal dan penting, sedangkan beban kakitangan di hospital kerajaan tidak sepadan dengan jumlah petugas.

“Imam menolak sekerasnya pemansuhan elaun kritikal ini. Penolakan ini bukan hanya berlandaskan isu kewangan semata-mata tetapi berasas kepada izzah dan nilai profesion perubatan.

“Adakah wajar menganggap perkhidmatan perubatan kini sebagai tidak lagi kritikal? Walaupun secara zahirnya perjawatan dalam sektor kesihatan dilihat sebagai penuh namun yang lebih nyata adalah beban tugas semakin tinggi dan tidak sepadan dengan bilangan petugas yang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini JPA mengesahkan pemansuhan BIPK melibatkan lantikan kakitangan baru bermula 1 Januari, namun penerima sedia ada tidak terjejas.

JPA dan kerajaan masih mempertimbangkan pemberian elaun jika ada skim perkhidmatan atau disiplin tertentu yang memenuhi kriteria pemberian elaun ditetapkan.

Mengulas lanjut, Imam berkata Malaysia pernah diiktiraf memiliki perkhidmatan kesihatan terbaik namun balasan sedemikian rupa diberikan kepada kakitangan perubatan di negara ini.

“Tidak berapa lama dahulu, kita begitu bermegah dengan berita sistem perkhidmatan kesihatan di Malaysia adalah antara yang terbaik di Asia Pasifik. Malangnya, adakah ini balasan yang diterima?

“Beberapa tindakan JPA kebelakangan ini hanya memberi persepsi kepada rakyat bahawa sektor kesihatan bukan lagi suatu perkhidmatan yang kritikal dan penting,” katanya.

Imam menggesa kerajaan khususnya JPA menilai semula keputusan itu demi kepentingan kebajikan kakitangan kesihatan yang bakal memastikan perkhidmatan kesihatan cemerlang kepada rakyat.

Keputusan pemansuhan itu turut dibantah pemimpin kerajaan termasuk Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad dan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abd Rahman.

Tiada ulasan: