HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Disember 2019

MP Padang Besar masuk hospital, keadaan stabil

YASMIN RAMLAN




Anggota Parlimen Padang Besar, Zahidi Zainol Abidin dimasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar pagi tadi akibat sesak nafas.

Bagaimanapun, menurut setiausaha perhubungan Umno negeri Perlis, Azizan Sulaiman, beliau dimaklumkan Zahidi kini berada dalam keadaan stabil.

“Insyaallah ok. Cuma admitted. Doktor kata dia dalam keadaan stabil sekarang,” kata timbalan ketua Umno bahagian Padang Besar itu ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Menurut Harian Metro, Zahidi, 58, dikejarkan ke hospital setelah mengalami sesak nafas ketika bangun dari tidur pagi tadi.

Memetik exco Hal Ehwal Agama Islam Perlis, Ruzaini Rais sebagai berkata, Zahidi mengadu mengalami sakit dada kepada isterinya dan sukar bernafas secara tiba-tiba.

“Dia kini diletakkan di bawah pengawasan pakar di Unit Penjagaan Jantung (CCU) HTF dan diberikan ubat tidur.

“Terbaru saya dimaklumkan dia kini sudah stabil cuma tidak pasti punca sebenar sakit dada dan sakit yang dialaminya,” katanya.

Untuk rekod, Zahidi menyandang kerusi di parlimen Padang Besar sejak 2013.

Pada pilihan raya umum lalu beliau memenangi kerusi itu dengan memperolehi 15,032 undi berbanding lawannya Izizam Ibrahim dari Bersatu (13,594 undi) dan Mokhtar Senik dari PAS (7,874 undi).


Tiada ulasan: