Penduduk Kampung Segambut Permai akan mengetahui sama ada permintaan mereka untuk diberi penempatan tetap oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pada malam tahun baru ini.
Wakil penduduk Mohd Nazeem Sultan Mohamed memaklumkan perkara itu selepas bertemu pegawai DBKL dan pegawai Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad tengah hari ini.
"Selepas terima memorandum kami, mereka kini faham masalah kami. Mereka kata akan membincangkannya dan periksa jika ada unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk kami semua.
"Mereka berkata hanya datuk bandar (Nor Hisham Ahmad Dahlan) atau menteri (Khalid Samad) yang dapat buat keputusan.
Rumah mereka dijangka akan dirobohkan pada 7 Januari ini, dan mereka mahu DBKL memberi peluang kepada kesemua 30 keluarga untuk menyewa dan akhirnya membeli unit PPR berdekatan tempat tinggal mereka.
Pada 24 Disember lalu, jentolak merobohkan rumah-rumah tak berpenghuni di Kampung Segambut Permai.
Kekecohan tercetus antara penduduk, yang disokong Parti Sosialis Malaysia (PSM), dengan polis dan bailif mahkamah.
Rumah mereka terletak di sebuah tanah milik persendirian dan pemilik tanah mahu ia dirobohkan.
Penduduk bagaimanapun mendakwa kampung itu diteroka oleh bapa dan datuk mereka sejak 10 tahun selepas merdeka dan mempersoalkan bagaimana tanah itu boleh dijual.
Bailif kemudian setuju untuk menangguhkan perobohan selama dua minggu.
Anggota Parlimen Segambut Hannah Yeoh sebelum ini berkata mahkamah telah mengarahkan perobohan pada 26 September tetapi ia ditangguhkan kepada awal Disember.
Khalid kemudian campur tangan dan meminta penangguhan selama dua minggu lagi agar pihaknya dapat mengaturkan "rumah transit" buat penduduk.
Hari ini Nazeem menjelaskan penduduk menolak tawaran itu kerana tidak setuju dengan had enam bulan, dan mahu penyelesaian kekal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan