KUALA LUMPUR – DAP tidak perlu menjadi benteng kepada pertubuhan yang tiada toleransi.
Demikian pendirian Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (GAMIS) berhubung gesaan veteran DAP, Lim Kit Siang agar pihak berkuasa bertindak tegas terhadap kumpulan pelajar yang mendakwa rusuhan 13 Mei mungkin berulang selagi mana kumpulan pendidikan Cina Dong Zong masih wujud.
Menurut Pengerusi Majlis Politik Nasional GAMIS, Arman Usman, Kit Siang secara jelas cuba menekan pihak berkuasa untuk menghalang suara Gamis yang berusaha menjaga perpaduan negara ini.
“Dong Zong seolah-olah seperti mangsa yang tertindas walhal mereka lah punca kepada keresahan kaum yang kami bimbang membawa kepada perbalahan kaum.
“Namun, ironinya kenapa Lim Kit Siang yang melenting bila Dong Zong didesak? Kenapa seorang pemimpin tertinggi parti sanggup mengeluarkan kenyataan sehina ini?
“Apakah Lim Kit Siang dibelakang Dong Zong menentang penulisan Jawi?
“Rasanya semua cukup kenal parti manakah yang mencetuskan provokasi sehingga membawa sejarah hitam Malaysia suatu ketika dulu. Jadi bila GAMIS sendiri sebut berkaitan ancaman sejarah hitam Malaysia, kenapa melenting?” soal Arman
Semalam, Kit Siang berkata kenyataan tidak bertanggungjawab dikeluarkan Presiden Gamis, Saifullah Baiduri tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan.
Ahli Parlimen Gelang Patah itu merujuk kepada kenyataan Saifullah yang menyeru Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis mengharamkan kumpulan pendidikan Cina itu, sambil mendakwa ia menentang dasar-dasar kerajaan ke arah perpaduan. -MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan