HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Disember 2019

'Guna muka sendiri, kawan sebab bayaran tak cukup untuk upah model'

M FAKHRULL HALIM




Pereka grafik kulit buku untuk novel-novel edisi khas karya Sasterawan Negara (SN) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), hari ini menjelaskan kontroversi yang timbul berhubung kulit buku dua daripada 26 koleksi novel berkenaan.

Kontroversi itu timbul setelah ada pihak mendakwa dua kulit novel berkenaan memaparkan siluet (imej bebayang) setiausaha akhbar kepada Menteri Pendidikan Maszlee Malik, Zul Fikri Zamir dan pereka kulit itu sendiri, Mutalib Uthman.

Dua novel berkenaan ialah Tulang-tulang Berserakan karya Usman Awang, dan Pertemuan Abadi karya Abdullah Hussain.

Ketika dihubungi Malaysiakini, tanpa berdolak-dalih, Mutalib mengakui dia menggunakan gambarnya sendiri dan gambar Zamir di dua kulit novel berkenaan, bagi menjimatkan kos dan kerana masa projek yang “amat singkat”.

“Ya. Kulit itu saya buat. Saya bubuh muka saya sebab mudah dan tak payah bayar. Sebab bayaran yang diperolehi tak memampukan saya untuk bayar model berbayar.

“Cetak pun pakai kertas surat khabar (newsprint paper),” katanya yang juga merupakan perunding untuk Projek Merakyatkan Karya SN tersebut.

Oleh itu, katanya, dia menggunakan gambar “kawan-kawannya” kerana percuma, cepat, dan mudah, ketika mula menyiapkan reka grafik kulit buku itu pada sekitar bulan September.

Untuk rekod, sebelum ini, Mutalib dan Zamir bersama seorang lagi rakan pernah mengusahakan syarikat penerbitan buku Thukul Chetak bersama-sama. Mutalib juga sebelum ini pernah menjadi ketua pegawai eksekutif (CEO) di DuBook Press.


Bagaimanapun, jelas Mutalib, Zamir tidak mengetahui bahawa gambarnya digunakan untuk dijadikan siluet pada kulit buku berkenaan.

Biarpun baru dilancarkan baru-baru ini, menurut Mutalib, buku-buku berkenaan sebenarnya telah disiapkan sejak Oktober lalu, dan telah dibawa ke Frankfurt Book Fair bulan sama.

Menurut Mutalib lagi, projek itu merupakan projek Marakyatkan Karya SN di bawah DBP yang berkonsep minimalis bagi menarik minat anak muda untuk membeli dan membaca karya SN.

Pada 24 Disember, DBPNiaga membuat hebahan bahawa kesemua 26 buku karya SN itu diterbitkan semula untuk Edisi Malaysia Membaca, dan boleh dimiliki di Kompleks DBP Hulu Kelang bersempena Karnival Kembali ke Sekolah 2019, hanya pada harga RM10 setiap judul.
Hal itu mula menjadi kontroversi apabila anak kepada Allahyarham Usman Awang, Haslina Usman mempersoalkan tentang sosok manusia di kulit novel Tulang-tulang Berserakan, karya arwah ayahnya.

Dia turut membuat hantaran susulan yang melahirkan rasa kecewa dan sedih atas sikap DBP dan KPM yang menurutnya “menganiayai penghormatan dan karya” Usman Awang kerana memaparkan gambar orang lain.

Beberapa pengguna menulis komen mendakwa siluet itu merupakan imej Zamir. Manakala terdapat juga beberapa pengguna menyindir Zamir dan Mutalib - yang siluetnya dikatakan terpapar di kulit novel Pertemuan Abadi.

Mengulas mengenai hal berkenaan, Ketua Pengarah DBP, Abang Sallehuddin Abg Shokeran berkata, DBP sebenarnya telah mendapatkan keizinan untuk menerbitkan novel berkenaan daripada pemegang hak ciptanya, iaitu Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

Katanya, niat DBP menerbitkan novel-novel berkenaan dalam kulit muka baru hanyalah bagi menarik minat golongan muda mendekati karya SN, memandangkan sebelum ini, kulit buku DBP sememangnya sering berdepan kritikan dan dikatakan sebagai tidak menarik.

“Tiada niat lain,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Dari satu segi, biarpun isu berkenaan dilihat negatif, bagi Abang Sallehuddin, dari sudut positifnya, ia berjaya membuatkan orang semakin berminat dengan buku-buku itu sehingga ia terjual dengan “sangat laris”.

“Dalam mereka bentuk kulit ini, inilah antara percubaan awal DBP (dalam mentransformasi kulit buku), dan nampaknya diterima baik oleh anak muda,” katanya lagi.

Pandangan senada turut dikongsi Mutalib.

"Saya gembira perkara ini timbul, sekurang-kurangnya orang ambil tahu hal buku dan SN.

"Belilah buku SN sementara mereka masih ada," katanya.

Mengulas mengenai kekangan kos seperti dibangkitkan Mutalib, Abang Sallehuddin mengakui perkara berkenaan selalu menjadi sebab banyak pereka grafik tidak berminat untuk bekerja bersama DBP kerana kadar bayaran yang rendah berbanding pihak swasta.

Kadar itu, katanya, mengikut ketetapan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Kemungkinan untuk masa-masa akan datang, bagi menggalakkan lebih ramai yang berminat, kita akan kaji baliklah.

“Kita akan bawa kadar (bayaran) DBP dalam mesyuarat lembaga supaya dipertimbangkan untuk menawarkan (kadar) lebih menarik,” katanya lagi.

Sementara itu, Zamir, ketika dihubungi Malaysiakini, menjelaskan dia “tidak tahu menahu” mengenai isu berkenaan, dan meminta Malaysiakini mendapatkan penjelasan daripada DBP sendiri.

Penerbitan edisi khas SN itu merupakan salah satu program dalam menyokong Dekad Membaca Kebangsaan oleh KPM, dari tahun 2021 hingga 2030, bagi menjadikan Malaysia ke arah negara membaca menjelang 2030.


Tiada ulasan: