HALAMAN SANTAI

Selasa, 31 Disember 2019

Abim tolak pelawaan China lawat Xinjiang

Beberapa NGO mengadakan protes di luar kedutaan China di KL.
 
PETALING JAYA: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menolak pelawaan kerajaan China terhadap pengkritik dasarnya di Xinjiang supaya melawat ke wilayah itu.

Jemputan itu dibuat susulan beberapa perhimpunan yang diadakan di luar kedutaan China di Kuala Lumpur, yang menyaksikan pegawainya enggan menerima memorandum yang membantah pelanggaran hak asasi manusia yang mensasarkan umat Islam di Xinjiang seperti yang dilaporkan secara meluas.

“Abim mengulangi bahawa China sepatutnya berhenti bermain dengan propaganda politik sejak sebarang usaha untuk menutup penindasan terhadap kumpulan etnik Uighur adalah sia-sia kerana siri kekejaman yang dilakukan oleh mereka terdedah secara konsisten dari masa ke semasa,” kata organisasi itu.

China didakwa memaksa minoriti Islam Uighur di Xinjiang tinggal di kem tahanan, di mana Beijing merujuknya sebagai “kem latihan” untuk memulihkan “militan”.

Presiden Abim, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata Beijing mesti menghapuskan undang-undang zalim di Xinjiang, termasuk larangan memakai tudung, menyimpan janggut dan memakan makanan halal terhadap umat Islam.

“Peruntukan undang-undang yang menindas ini memberi ruang kepada pihak berkuasa menyalahgunakan hak-hak asas masyarakat Uighur dengan menafsirkan sebarang amalan agama sebagai sama dengan definisi atau simbol ekstremisme dan radikalisme,” tambahnya.

Faisal menggesa China membenarkan akses kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memantau keadaan di Xinjiang.

Beliau berkata Abim terbuka untuk terlibat secara positif dengan kerajaan China berhubung isu itu.

“Malah, panda dan bunga yang dibawa oleh Abim semasa protes tempoh hari adalah simbol harapan aman kami untuk mencapai komitmen tersebut.”

Tiada ulasan: