Pada tahun 1974, terdapat seorang siswa Universiti Kebangsaan Malaysia bernama Mohd Yusoff Zainol yang menulis sebuah latihan ilmiah untuk ijazah sarjana muda sastera beliau. Latihan ilmiah itu berjudul “Peralihan Tulisan Jawi ke Tulisan Rumi”.
Seperti tergambar pada tajuknya, kajian Mohd Yusoff ini bertujuan melihat hujah-hujah mereka yang menyokong tulisan Jawi, dan juga kumpulan yang memilih untuk berpindah ke tulisan Rumi.
Selepas sehari semalam membaca tesis yang ditaip kemas sepanjang lebih 200 halaman termasuk lampiran, saya harus mengatakan; “Apa tujuan lagi dibakar Jawi kalau bukan sengaja bodoh?”
Yang paling rugi dari perpindahan tulisan Rumi ke Jawi adalah orang Melayu. Orang-orang Cina dan orang-orang India masih menyimpan tulisan mereka. Sayang, Melayu sudah tidak tahu atau merangkak membaca Jawi. Anda boleh mengatakan kaum Melayu terdahulu telah berkorban dengan membakar tulisan mereka sendiri. Hal ini akan saya huraikan sedikit kemudian.
Sebelum tahun 1904, orang Melayu berurusan dengan orang asing menggunakan tulisan Jawi.
Misalnya, pada kurun ke-16, Raja-raja Maluku menulis kepada Raja Portugis dengan tulisan Jawi. Pada kurun ke-17 pemerintah Aceh menulis kepada pemerintah luar juga dalam tulisan Jawi.
Surat izin dagang Aceh kepada James Lancester 1601, surat izin niaga Sultan Alauddin Shah kepada Harry Middleton tahun 1602, surat Kapitan Laut Buton kepada Gabenor Jeneral Belanda di Betawi dalam tahun 1607; sebagai contoh semuanya adalah dalam tulisan Jawi. Karya Munshi Abdullah dikarang dalam tulisan Jawi, dan hanya dicetak Rumi pada tahun 1914. Akhbar-akhbar Melayu seperti Jawi peranakan (1876) ditulis dan dicetak dalam Jawi.
Tulisan Rumi hanya muncul di Semenanjung ekoran pihak British yang mengetengahkan tulisan Rumi menerusi Jawatankuasa Merumikan Tulisan Melayu 1904. Ia dilakukan mula-mulanya untuk memudahkan British. Akhirnya kerajaan sendiri memilih untuk menukar Jawi ke Rumi pada 14 Disember 1959. Bahkan kebanyakan buku teks pada dekad itu yang diterbitkan oleh Pejabat Karang Mengarang seperti buku-buku “the Malay School Series” dan “Malay Home Library series” adalah dalam tulisan Rumi.
Tindakan kerajaan itu pedih tetapi perlu. Ini memandangkan “Laporan Jawatankuasa Penyiasat Tulisan Jawi dan Tulisan Rumi 1954” mendapati lebih 65 peratus buku di sekolah sudah dalam tulisan Rumi, maka akhirnya terdapat satu persetujuan untuk memindahkan tulisan Jawi ke Rumi.
Cadangan itu dilakukan dalam Kongres Bahasa Melayu Ke II pada 1 dan 2 Januari 1954.
Faedah kepada bangsa-bangsa lain
Penukaran itu dilakukan oleh orang Melayu dengan pahit dan lara sekali. Sejarah budaya beberapa kurun mereka diganti. Itu bukan mudah sekali. Maka mereka di kongres itu memilih untuk “menetapkan huruf Rumi sebagai huruf rasmi dengan tidak meninggalkan Jawi.”
Maka Mohd Yusoff Zainol dalam latihan ilmiah untuk ijazah sarjana muda sastera beliau yang bertajuk “Peralihan Tulisan Jawi ke Tulisan Rumi” itu mencatatkan sejarah pedih tersebut begini:
“Di Persekutuan Tanah Melayu tulisan Jawi dijatuhkan dari kedudukannya dalam lingkungan tahun-tahun lima puluhan. Asas 50 yang didukung oleh kumpulan penulis-penulis Melayu dan disokong oleh Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura telah membuat memoranda, bertarikh 27 Mac 1954, menyokong tulisan Rumi diresmikan untuk bahasa Melayu.
“Kemudian Parlimen Persekutuan Tanah Melayu, pada 14 Disember 1959 memutuskan bahawa tulisan bahasa kebangsaan ialah tulisan Rumi dan diakui juga tulisan Jawi.
“Tulisan rasmi bahasa kebangsaan diambil setelah meminda cadangan asal yang dikemukakan oleh pemimpin Parti Negara Datuk Onn yang berbunyi: Tulisan rasmi bahasa kebangsaan negeri ini hendaklah tulisan Melayu yang lebih terkenal dengan nama tulisan Jawi dan bersamanya diakui juga tulisan Latin yang lebih terkenal dengan nama tulisan Rumi.”
Orang Melayu sanggup menanggalkan Jawi dan menerima laporan “Romanised Malay Spelling Being The Report of a Committee Appointed by the Government of the Federated Malay States to Discuss the Subject of Writing Malay in the Roman Character Together With A List of Malay Words Spelt According to the System Recommended” tahun 1904.
Kenapa? Apa yang membuatkan Melayu sebegitu budiman melupakan sejarah tulisan sendiri?
Tidak syak lagi, salah satu sebabnya ialah kerana; memetik Mohd Yusoff, “ia berfaedah kepada bangsa-bangsa lain daripada Melayu yang memasuki sekolah-sekolah Melayu”.
Ketika peralihan tulisan Jawi ke Rumi itu ramai yang menyerukan supaya orang Melayu jangan berbuat demikian. Antara yang merayu supaya orang Melayu kekal dengan tulisan Jawi adalah Hamka. Akan tetapi betapa banyak seruan daripada kaum ulama, Melayu akhirnya memilih juga untuk meninggalkan Jawi.
Kempen Asraf, Usman Awang
Kenapa? Apa tujuannya? Melayu akhirnya mendengar pandangan Asraf dan Usman Awang dari Asas 50. Apa tulis mereka berdua tentang kempen berpindah dari Jawi ke Rumi? Saya petik dari “Memorandum Mengenai Tulisan Rumi Untuk Bahasa Melayu: Disusun Oleh Asraf dan Usman Awang”:
“Bangsa-bangsa asing dapat mempelajari bahasa Melayu lebih mudah melalui tulisan Rumi, bukan saja kerana tulisan Rumi sudah menjadi tulisan yang universal atau diketahui di seluruh dunia umumnya, tetapi juga kerana buku-buku pelajaran sastera bahasa Melayu serta buku pengetahuan lainnya mengenai bahasa Melayu dapat dengan lebih mudah ditulis untuk orang asing dengan tulisan Rumi daripada dengan tulisan Jawi.”
Benar, orang Melayu memilih agar Jawi digantikan dengan Rumi supaya bahasa Melayu senang dipelajari dan dikuasai. Soalnya adakah setelah bahasa Melayu ditulis dengan Rumi hari ini, ia sudah dikuasai oleh semua bangsa-bangsa di Malaysia ini? Salah satu sebab tulisan Jawi dikorbankan ketika itu semata-mata memetik Mohd Yusoff, “ia berfaedah kepada bangsa-bangsa lain daripada Melayu yang memasuki sekolah-sekolah Melayu”. Nah berapa ramai bukan Melayu di sekolah kebangsaan sekarang?
Realiti hari ini, bahasa Melayu yang tulisannya sudah digantikan itu malah dihinakan. Dan malah bahasa lain yang diperkirakan. Inilah punca golongan konservatif Melayu meluat. Tapi adakah kita memperhitungkan apa yang mereka tempuhi? Itu sebabnya saya menyerukan dialog. Tetapi ada antara kita suka membakar. Ketahuilah, membakar bukan dialog. Membakar bertujuan untuk membahang, mengasap dan membuat panas.
Jelas, isu ini sudah berakhir. Golongan terpelajar Melayu dalam tahun 1950-an telah sanggup melempar Jawi dan mendakap Rumi. Ia pengorbanan besar Melayu memadamkan sejarah budaya bangsa beberapa kurun. Saya berhenti di situ, anda mungkin tidak meminati sejarah.
Tup-tup tiba-tiba ada yang suka-suka mengikut rasa sendiri. Itulah sebabnya belajar sejarah Malaysia sangat penting. Jika tidak belajar sejarah kita tidak berkenal dengan tolak ansur dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh kaum-kaum yang ada di negara kita ini. Bila kita tidak berkenal dengan tolak ansur dan pengorbanan orang, kita akan cenderung besar kepala sendiri.
Jawi hari ini adalah, meminjam Mohd Yusoff, “warisan pesaka kebudayaan Melayu”; justeru boleh dan mesti dipelajari sebagai sebahagian dari sejarah, dan sebahagian dari bahasa Melayu.
“Apa tujuan lagi dibakar Jawi kalau bukan sengaja bodoh?” Kenapa saya mengatakan sedemikian?
Ini sebab-musababnya.
Penukaran pahit dan lara
Pertama, yang membakar Jawi itu memang sengaja melakukan provokasi agar perdebatan lampau sejauh tahun 1950-an itu kembali menyala. Ia ingin dikongreskan supaya mereka yang mencintai Jawi meruok marah. Mereka yang mempertahankan Jawi ini kebanyakannya adalah kaum Melayu berpendidikan Islam, berpendidikan kebangsaan, dan boleh disifatkan konservatif. Membakar tulisan Jawi adalah membakar kemarahan mereka.
Apakah hasil akhir jika kumpulan konservatif Melayu-Islam marah? Kejatuhan kerajaan yang sentris sifatnya, seperti Pakatan Harapan. Maka barang siapa dari kalangan nasionalis Cina dan Liberalis Melayu yang membakar Jawi, tidak syak lagi tujuannya adalah melakukan sabotaj kepada mimpi sendiri. Ia adalah bertujuan bodoh untuk memprovokasi dan menaikkan kembali suhu gian dan geram kumpulan konservatif Melayu-Islam yang terlebih kanan. Membakar Jawi bererti memberi markah percuma kepada golongan kanan, Islamis dan kelompok jumud.
Kedua, ada banyak hal ehwal lain yang lebih mendesak berbanding berkumpul untuk membakar Jawi dan seterusnya membakar jiwa dan rasa golongan konservatif Melayu. Ada banyak hal lain. Nasihat saya begini. Berhenti mendengar orang yang hanya bercakap bahasa Inggeris di keliling kamu.
Berhenti mendengar kata-kata orang yang hanya berseminar di lobi hotel seperti kamu. Berhenti mendengar orang yang serba-serbi mengaitkan apa sahaja yang Melayu itu kononnya mesti Islam. Ia tidak begitu, dan tidak pernah begitu.
Jika anda menerima naratif itu, ia bererti anda kalah dengan wacana mereka. Melayu tidak mesti Islam. Justeru Islam tidak mesti Melayu. Ini kerana Melayu adalah satu-satunya bangsa yang didefinisikan berdasarkan agama dan budaya. Sedangkan bangsa lain tidak ditakrif berasaskan agama dan budaya. Begitu juga tulisan Jawi. Ia hanyalah sebahagian dari sejarah persuratan dalam bahasa Melayu. Ia tidak semestinya mencerminkan Islam sepenuhnya. Mempelajari tiga halaman tulisan Jawi tidak akan membuatkan anda dikhatankan.
Kalian yang membakar Jawi dan kemudian membakar jiwa Melayu konservatif mesti belajar mendengar orang yang hanya bercakap bahasa Melayu di luar lingkungan kamu. Kalian yang membakar Jawi dan kemudian membakar jiwa Melayu konservatif mesti belajar mendengar orang-orang yang tidak bertunggu-tangga berseminar di lobi hotel seperti kamu.
Kalian yang membakar Jawi dan kemudian membakar jiwa Melayu konservatif mesti belajar mendengar orang-orang yang memang serba-serbi mengaitkan apa sahaja yang Melayu itu kononnya mesti Islam. Mereka adalah majoriti. Mereka adalah pengundi. Mereka hanya membaca Whatsapp dan mereka kurang cerdik seperti kamu. Jika kamu menjadi seperti mereka dan tidak mendengar, tidak mahu berdialog, tidak mahu berfikir di luar kerangka kamu; maka kamu juga seperti mereka.
Penukaran Jawi ke Rumi dilakukan oleh orang Melayu dengan pahit dan lara sekali. Sejarah budaya beberapa kurun mereka diganti. Itu bukan mudah sekali. Jangan diingat-ingatkan kembali. Memilih untuk mengungkit kepahitan itu adalah satu tindakan yang semberono. Golongan Konservatif Melayu akan terluka kembali.
Memori sedih itu akan menampar mereka. Jika darjah kemarahan itu meruap yang mendapat bahana bukan sahaja mereka, tetapi juga seluruh bangsa Malaysia.
Ada dari kalangan kita yang suka membakar. Nasihat saya kepada teman-teman Liberal, kaum kanan jangan dibakar, mereka senang sekali dipanaskan. Silap-silap membakar sama-sama rentung. Silap-silap membakar maka jerebu sama-sama kita mudarat.
“Apa tujuan lagi dibakar Jawi kalau bukan sengaja bodoh?”
FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan