HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Disember 2019

Isu kaum, agama bebankan polis, kata KPN

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador melepaskan 5,500 
peserta acara Kayuhan & Larian Ria di George Town malam tadi.
 
GEORGE TOWN: Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador menyifatkan isu perkauman dan agama yang dibangkitkan oleh sesetengah pihak sejak kebelakangan ini sebagai membebankan polis.

Beliau berkata, dalam usaha polis mahu memberi fokus kepada meningkatkan penyampaian perkhidmatan yang lebih baik, adil dan telus kepada rakyat, pasukan keselamatan itu dibebani dengan isu di luar jangka.

“Isu ini membebankan PDRM, ia tidak sepatutnya timbul. Selepas 62 tahun kita Merdeka, kita sepatutnya bijak dalam berfikir, tetapi menyedihkan. Nampak gayanya semakin matang negara ini, semakin kurang matang pula pemikiran sesetengah pihak…mendukacitakan.

“Saya minta pihak-pihak yang suka menyentuh isu perkauman dan agama cuba berfikiran matang sedikit. Akhirnya nanti kalau berlaku kekacauan kita semua yang rugi, tiada siapa yang untung,” katanya kepada pemberita selepas melepaskan 5,500 peserta “Kayuhan & Larian Ria”, di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai suara sesetengah pihak yang tidak berpuas hati dengan perintah mahkamah bagi melarang penganjuran persidangan membantah tulisan Jawi di sekolah vernakular, yang dijadual berlangsung di Kajang, hari ini.

Hamid berkata, beliau percaya tindakan polis memohon perintah mahkamah adalah atas faktor keselamatan.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu mengulas lanjut mengenai isu pembatalan persidangan itu dan menyerahkannya kepada Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaluddin dan Ketua Polis Daerah Kajang, Ahmad Dzaffir Mohd Yussof.

“Adalah lebih baik persidangan itu dibatalkan ataupun dibuat semula dalam bentuk yang tidak menyentuh emosi dan sentimen orang lain. Saya kuat berpegang teguh kepada prinsip demokrasi.

Rakyat bebas untuk bersuara, tapi dalam parameter yang selamat.

Sekiranya ada unsur provokasi, polis adalah pihak yang paling layak untuk buat penilaian. Saya sebagai ketua polis negara tidak ada agenda tersirat atau sempit untuk menggagalkan persidangan itu. Saya tidak bermain politik,” tegasnya.

Ahmad Dzaffir dalam kenyataannya berkata, polis telah menyerahkan perintah mahkamah itu kira-kira pukul 5.00 petang semalam.

Susulan itu, pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong dan Jiao Zong (Dong Jiao Zong) dalam kenyataan bersama memaklumkan bahawa persidangan itu dibatalkan selepas menerima perintah mahkamah itu, petang semalam.

Tiada ulasan: