SUARA desakan ramai menjadi kuasa penting hingga dimaklumkan bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengarahkan penangguhan pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK). Ianya satu kejayaan rakyat dan pihak berkepentingan serta para NGO termasuk anak muda; apabila berani bersuara menuntut hak.
Kesedaran dan gemblengan solidariti untuk memperjuangkan kepentingan seperti ini perlu sentiasa padu dalam kalangan rakyat agar hak tidak semudahnya diremeh dan dinafikan pihak yang bertindak atas kuasa. Malang buat Kerajaan PH, apabila sekali lagi terpaksa membuat ‘Pusingan-U’ (U-Turn) yang sememangnya memalukan diri sendiri.
Telah berulang kali Kerajaan PH bertindak begitu yang menunjukkan bahawa keputusan sering dibuat tanpa kajian dan kedudukan berdasarkan realiti sebenar. Kesannya sangat besar di mana menyebabkan keresahan dalam kalangan rakyat dan pelbagai pihak. Porak peranda ditimbulkan kerajaan tidak ubah seperti nasib ‘Keluarga 69’.
Lebih malang jika keputusan dilaksanakan menjadi ‘hukuman’ kepada pihak tidak bersalah sebagaimana kes ke atas Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian sebelum ini. Oleh itu, atas bantahan telah ditunjukkan pelbagai pihak, lebih-lebih lagi mereka yang terlibat dalam pemansuhan, maka kerajaan sewajarnya memuktamadkan keputusan.
Pemansuhan tersebut mesti dibatalkan terus! Ini penting demi menjana produktiviti dan perkhidmatan yang lebih berkesan daripada golongan tenaga pakar terlibat. Mereka itu bukanlah ‘anak tiri’ kerajaan, tetapi tulang belakang penting yang menggerak dan menyempurnakan segala agenda pemerintahan serta segala sasaran negara.
Janganlah mewujudkan jurang atau dilihat seakan bersengketa antara kedua pihak yakni penjawat awam dan kerajaan. Kerana kelak yang bakal menjadi mangsa adalah rakyat dan negara. Kerajaan PH harus sedar betapa persepsi negatif kian membesar atas perbuatan sendiri. Namun, langkah pembetulan masih harus dilakukan!
“Islam Memimpin Perpaduan”
“Demi Islam”
*IR HAJI KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN- Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan