KUALA LUMPUR: Umat Islam di seluruh negara menunaikan solat sunat gerhana atau solat sunat Kusuuf di masjid dan surau berikutan fenomena gerhana matahari Anulus (cincin) yang berlaku di Malaysia hari ini.
Kebanyakan mereka melakukan tuntutan sunat muakkad solat sunat gerhana itu secara berjemaah selepas solat Zohor.
Di ibu negara, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menunaikan solat sunat gerhana bersama-sama warga Istana Negara di Surau Utama selepas menunaikan fardhu Zohor.
Fenomena alam yang unik itu kali terakhir dilihat di Malaysia 21 tahun lepas di Mersing, Johor.
Hari ini, rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan keajaiban alam yang unik dengan jelas, khususnya di dua tempat - di Tanjung Piai, Johor dan Serian, Sarawak - manakala di tempat lain menyaksikan fenomena gerhana matahari separa.
Di SELANGOR, kira-kira 2,000 umat Islam menyempurnakan solat sunat gerhana matahari di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam yang diimamkan Imam Besar Muhammad Farhan Wijaya.
Muhammad Farhan ketika ditemui Bernama berkata: "Tujuan ia dilakukan adalah untuk mengingati kebesaran dan kekuasaan Allah, solat sunat dilakukan sebanyak dua rakaat dengan empat kali rukuk. Selesai solat sunat akan dibacakan dua khutbah."
BACA: Rakyat Malaysia teruja lihat Gerhana Matahari Anulus
Di PUTRAJAYA, kira-kira 500 jemaah menunaikan solat sunat gerhana matahari di Masjid Putra yang diimamkan Ustaz Shamsul Bahari Dahalan.
Sejurus menunaikan solat sunat, Shamsul Bahari turut menyampaikan khutbah bertajuk 'Menggali Rahsia Keagungan Allah' dan antara intipatinya menyentuh mengenai gerhana matahari sebagai bukti kekuasaan Allah.
"Peristiwa gerhana matahari juga menjadi ikhtibar kepada umat manusia bahawa kita ini adalah kecil dan lemah di sisi Allah. Peristiwa gerhana ini juga memantapkan dan meneguhkan keimanan sekiranya dihayati dengan baik," katanya.
Selain itu, beberapa penjawat awam turut mengambil kesempatan waktu rehat tengah hari untuk menyaksikan fenomena gerhana matahari anulus di sekitar pejabat mereka.
Di JOHOR, kira-kira 450 jemaah menunaikan solat sunat gerhana matahari di Masjid Sultan Abu Bakar, di Johor Bahru.
Solat berkenaan dilakukan pada 11.50 pagi dengan diimamkan imam masjid itu, Mohd Zaidi Saman.
"Alhamdulillah, nampaknya solat ini disambut baik oleh hadirin sama ada lelaki dan wanita. Antara intipati khutbah adalah gerhana ini menunjukkan kebesaran Allah SWT dan memastikan setiap umat Islam sentiasa mengingati kebesaran tuhan," katanya.
Di NEGERI SEMBILAN, Imam Eksekutif Masjid Negeri, Ustaz Hazmi Adb Kadir dalam khutbah khas bertajuk 'Fenomena Gerhana Bukti Kekuasaan Ilahi' berkata gerhana adalah suatu perubahan, kejadian, keagungan, kebesaran dan kekuasaan Allah SWT dan bukanlah suatu tanda yang mengaitkan kejadiannya dengan kelahiran dan kematian seseorang.
Beliau berkata Islam menggalakkan umatnya berterusan memuji kebesaran dan kekuasaan Ilahi dan Rasulullah SAW menganjurkan supaya bersegera melakukan kebaikan seperti solat sunat gerhana, berzikir, beristighfar, berdoa dan bersedekah.
"Hindarilah kemaksiatan dan kemungkaran yang membawa kepada perbuatan syirik. Semoga fenomena gerhana yang berlaku ini akan menimbulkan keinsafan dan meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah," katanya kepada 200 jemaah usai solat sunat gerhana matahari, di sini,.
Di PERAK, kira-kira 500 orang menunaikan solat sunat gerhana matahari peringkat negeri anjuran Jabatan Mufti Perak di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak) di Ipoh selepas solat Zohor yang diimamkan Imam Besar Masjid Negeri Perak, Abd Farid Salleh.
Orang ramai turut mengambil peluang menyaksikan bayangan gerhana matahari separa menggunakan 'Frame Solar Eclipse Filter' yang disediakan pelajar Unit Geometik Jabatan Kejuruteraan Awam Politeknik Ungku Omar di Dataran Selera Dataran Dato' Sagor di sini.
Di KANGAR, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin meminta umat Islam agar memperbanyakkan mohon keampunan.
Beliau berkata, fenomena yang jarang berlaku ini menunjukkan bahawa dunia sedang mengalami tanda-tanda akhir zaman.
"Berdasarkan hadis Rasulullah Muhammad S.A.W, antara tanda-tanda kiamat apabila matahari dan bulan bergerak daripada kedudukannya dan umat Islam diingatkan agar mengelakkan berfikiran khurafat dan tahyul selain memperbanyakkan berdoa," katanya ketika ditemui media selepas memberi khutbah khas bersempena gerhana matahari itu di Masjid Alwi, Kangar.
Khutbah khas gerhana itu dihadiri kira-kira 700 jemaah selepas menunaikan solat gerhana yang diimamkan oleh pensyarah Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Sheikh Soleh Abdul Naser.
Di ALOR SETAR, kira-kira 300 umat Islam menyertai solat sunat kusuuf diimamkan Imam Satu Masjid Zahir, Mohd Isa Abd Rahman, selepas menyempurnakan solat fardhu Zohor dan diakhiri dengan khutbah fenomena gerhana, yang diadakan di Masjid Negeri Kedah, Masjid Zahir di sini.
Mohd Isa berkata fenomena gerhana matahari itu seharusnya mendatangkan keinsafan kepada umat Islam mengenai kebesaran dan keesaan Allah SWT.
"Pandanglah kejadian ini dengan mata hati bagaimana Allah SWT mengatur segalanya dengan cukup sempurna di mana bumi, bulan dan matahari bergerak secara cukup sistematik.
"Lihat juga bagaimana satu makhluk yang sebesar matahari juga mampu terjadi gerhana kepadanya, apatah lagi kita ini manusia kerdil. Adalah jelas betapa kita amat bergantung harap kepada Allah SWT untuk segala-galanya," katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai menyampaikan khutbah tersebut. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan