HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 Disember 2019

Kongres Cina: Tak boleh dibiarkan walau apa jua alasan

siti hafidah

 

Pintu rundingan dengan ultra kiasu tidak bawa erti: Ridhuan Tee

BANGI – Apa jua alasan diberikan bagi menghalalkan kongres bantah tulisan jawi, esok ia tidak boleh dibiarkan kerana mencabar maruah dan kedaulatan serta kedudukan orang Melayu sebagai kaum peribumi.

Bahkan perhimpunan itu juga mencabar bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan agama Islam sebagai agama Persekutuan, tegas Pendakwah bebas, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah.

Beliau berkata, pintu perbincangan dan rundingan dengan ultra kiasu ini sudah tiada ertinya lagi memandangkan sikap mereka yang keras kepala dan semangat Lim Lian Geok (pejuang pendidikan vernakular) yang kuat bersemadi dalam diri mereka.

“Sebab itu, saya ucapkan tahniah kepada NGO Angkatan Gerak Minda Malaysia (Agra), melibatkan Pemuda Bersatu, GPMS dan Perkasa, kerana sanggup turun pada hari tersebut jika perhimpunan tidak dibatalkan, bertempat di sarang komunis di Kolej Universiti New Era, Kajang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kongres Organisasi Cina dijadual diadakan pada 28 Disember ini kononnya untuk membantah garis panduan pengajaran tulisan Jawi terkini oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Kongres anjuran Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) itu bertujuan menggesa kerajaan membatalkan pengajaran tiga muka surat tulisan jawi di sekolah vernakular.

Pada masa sama, Prof Ridhuan Tee hairan apabila pertubuhan pendesak Cina itu tidak mahu identiti Melayu Islam iaitu tulisan jawi diperkenalkan.

“Takkan sedikit pun identiti Melayu Islam tidak boleh diperkenalkan kepada orang bukan Melayu yang hidup dalam sebuah negara asal usul Melayu, Tanah Melayu.

“Sekian lama, orang Melayu boleh menerima sekolah Cina yang di bawa daripada Tanah Besar Cina sehingga menjadi secina-cinanya, kenapa sedikit pun identiti Melayu Islam tidak boleh diperkenalkan di sekolah Cina?

“Kecualilah sekolah Cina mahu keluar daripada sekolah kerajaan menjadi sekolah persendirian, seperti yang berlaku kepada sekolah persendirian Cina yang mengeluarkan sijil UEC,” kata beliau.

Lebih menghairankan lagi kata Prof Ridhuan Tee, apabila sekolah persendirian itu bertindak keluar daripada aliran kebangsaan, tidak lagi di bawah tanggungjawab sekolah seliaan kerajaan, namun saban tahun minta dan terima peruntukan daripada kerajaan.

“Tidak cukup dengan itu, mereka paksa kerajaan iktiraf UEC untuk memasuki perkhidmatan awam.

“Siapa yang rugi? Sudah tentu apabila peruntukan kerajaan turut diagihkan, yang terpalit atau pihak yang rugi adalah sekolah aliran kebangsaan dan aliran agama, kerana terpaksa berkongsi bajet. Akhirnya kera di hutan disusukan, anak di rumah mati tak makan,” katanya.


Tiada ulasan: