HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Disember 2019

Suspek kes ragut maut terperosok bawah kereta mangsa

MALAYSIAKINI
 


Seorang lelaki yang merupakan suspek kes ragut meninggal dunia selepas terperosok di bawah kereta mangsa ragutnya sendiri, dalam satu kemalangan petang semalam.

Kejadian tersebut berlaku di Bandar Puteri Puchong, Selangor.

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Ismadi Borhan, kejadian bermula apabila mangsa ragut berkenaan masuk ke keretanya sebelum didatangi suspek dari arah belakang yang bertindak merentap rantai emas milik mangsa dan melarikan diri.

"Bagaimanapun mangsa yang kemudiannya terserempak dengan suspek di Jalan Puteri 5/5, Bandar Puteri yang melawan arus dan berhenti di tengah jalan secara mengejut menyebabkan mangsa tidak sempat membrek terus terlanggar motosikal menyebabkan suspek terjatuh dan terperosok di bawah kereta dan telah mendapat cedera parah," katanya dalam satu kenyataan media.

Suspek kemudian dibawa ke Hospital Serdang dan disahkan meninggal dunia.

"Barang kes iaitu rantai yang diragut berjaya ditemui semula dengan suspek. Semakan rekod lampau suspek didapati mempunyai 3 kes dadah, 2 kes samun dan 1 LLPK (Langkah-langkah pencegahan khas)," katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu atau berbahaya).

Individu yang disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 41 (1) boleh dikenakan hukuman penjara antara dua hingga 10 tahun.


Tiada ulasan: