MIC menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof membawa isu pengajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular ke kabinet dan bukan meminta Kongres Jawi ditangguhkan.
Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, M Veeran berkata, gesaan Mujahid agar Kongres Organisasi Cina anjuran Dong Jiao Zong ditangguhkan seolah-olah ia salah di sisi undang-undang.
"Sepatutnya, Mujahid membawa isu pengajaran Jawi ini kembali ke kabinet untuk berbincang dan mengetahui kenapa ia ditolak oleh bukan Melayu," kata M Veeran dalam kenyataan medianya.
Veeran turut mencadangkan Kementerian Pendidikan mengekalkan silibus sedia ada bagi mata pelajaran bahasa Malaysia untuk pelajar tahun 5.
"Tapi, bila (menteri pendidikan) Maszlee (Malik) cuba menukar tiga muka surat kepada tulisan Jawi, baru ia ditentang oleh sekolah vernakular.
"Maka, saya harap Mujahid kembali bincang isu ini di kabinet dan menasihati Maszlee sebelum meminta kongres ini ditangguhkan," tambahnya.
Terdahulu, Mujahid menggesa penganjuran Kongres Organisasi Cina anjuran Dong Jiao Zong, yang antara lain untuk membantah pengajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular, agar ditangguhkan.
Mujahid berkata, ia bagi memberi ruang kepada pendekatan "lebih berhikmah" seperti rundingan dan dialog isu berkenaan.
Pengajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular kembali menjadi hangat selepas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mendakwa kongres sedemikian akan menyebabkan kekacauan serta mengundang tindak balas daripada kaum Melayu.
Kongres Organisasi Cina diadakan pada 28 Disember (Sabtu) di Kolej Universiti New Era di Kajang, manakala Kongres Jawi diadakan pada 29 Disember (Ahad) di sebuah hotel di Petaling Jaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan