HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Disember 2019

Kompaun merokok hingga RM350 mulai Rabu ini: KKM

tyrazalhe

 

Pemilik premis perlu pastikan tempat makan bebas amalan berkenaan

BANGI – Kompaun sebanyak RM250 bakal dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati merokok di kawasan larangan, termasuk semua tempat makan berkuat kuasa mulai 1 Januari depan.

Bagaimanapun, pengurangan kompaun sebanyak RM150 ditawarkan kepada individu yang melakukan kesalahan pertama, jika pembayaran dijelaskan di mana-mana pejabat kesihatan daerah dalam tempoh sebulan dari tarikh izin kompaun diterima.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham berkata, tiada pengurangan kompaun diberikan bagi kesalahan kedua serta kadar lebih tinggi dikenakan iaitu RM350 bagi mereka yang mengulangi kesalahan sama untuk kali ketiga dan seterusnya.

“Di bawah Peraturan 12, PPKHT 2004, semua tuan punya premis hendaklah memastikan tempat makan mereka bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok dengan tidak menyediakan kemudahan merokok seperti bekas abu rokok, perkhidmatan menjual shisha serta lain-lain kemudahan merokok. 

“Tuan punya premis juga hendaklah memastikan tanda larangan merokok yang mencukupi serta jelas dipamerkan di bahagian yang mudah dilihat di tempat makan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewartakan tempat makan di seluruh negara sebagai kawasan larangan merokok berkuatkuasa mulai 1 Januari 2019 sebagai penguatkuasaan pendidikan selama 12 bulan, diikuti penguatkuasaan penuh bermula 1 Januari 2020.

Dr Noor Hisham berkata, mulai 1 Januari depan juga, pemilik premis boleh dikenakan kompaun RM250 bagi kesalahan pertama dan kedua, manakala RM350 bai kesalahan ketiga serta seterusnya.

“Sehubungan dengan itu, kerjasama dan sokongan dari semua pihak terutama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan adalah amat diperlukan bagi memastikan pelaksanaan penguatkuasaan PPKHT 2004 sepenuhnya bermula pada 1 Januari 2020 berjalan lancar demi kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia. 

“Bagi golongan perokok yang berhasrat untuk berhenti merokok, mereka dialu-alukan untuk mendapatkan khidmat nasihat di semua perkhidmatan berhenti merokok mQuit yang telah disediakan di semua klinik kesihatan dan hospital kerajaan di seluruh negara atau di mana-mana fasiliti perkhidmatan berhenti merokok mQuit swasta yang telah diberikan akreditasi,” katanya.


Tiada ulasan: