HALAMAN SANTAI

Selasa, 31 Disember 2019

25 peristiwa besar pada 2019





PETALING JAYA: Daripada pelantikan Agung baru hinggalah ke ahli Parlimen Orang Asli pertama, 2019 sarat dengan berita-berita penting. FMT soroti 25 peristiwa besar tahun ini.

Januari

 

1) Larangan merokok

Kementerian Kesihatan mengenakan larangan merokok di tempat-tempat makan pada 1 Jan, memperuntukkan denda RM10,000 dan 3 tahun penjara ke atas pelanggan dan pemilik premis yang gagal mematuhi peraturan itu. Larangan itu akan berkuatkuasa sepenuhnya pada 1 Jan 2020.


 

2) Yang di-Pertuan Agong baru

Sultan Pahang, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 selepas pengunduran Sultan Muhammad V, pertama kali seorang Agong berbuat demikian sebelum tamat pemerintahan 5 tahun.

Mac

 

3) Pencemaran Sungai Kim Kim

Hampir 6,000 termasuk kanak-kanak usia persekolahan di Pasir Gudang, Johor terkesan dengan pencemaran kimia di Sungai Kim Kim, memaksa penutupan sementara 111 sekolah di daerah itu.

 

4) Ahli Parlimen Orang Asli pertama

Ramli Mohd Nor dari Barisan Nasional menjadi ahli Parlimen Orang Asli pertama selepas memenangi pilihan raya kecil Cameron Highlands. Bekas pegawai kanan polis dari suku Semai itu mengangkat sumpah wakil rakyat pada 12 Mac. 

April

 

5) Malaysia menarik diri daripada Statut Rom

Malaysia menarik diri daripada pemeteraian Rom Statut yang menjadi pertikaian, selepas langkah itu mengundang kecaman pelbagai pihak, termasuk Istana Johor. Pengkritik berkata pemeteraian itu mencabuli Perlembagaan Persekutuan kerana ia akan menjejaskan raja-raja, hak Melayu dan kesucian Islam.

Mei

 

6) Ketua polis negara baru

Abdul Hamid Bador dilantik sebagai ketua polis negara menggantikan Mohamad Fuzi Harun dengan kontrak 2 tahun yang tamat 2021. Hamid, seorang bekas timbalan ketua di Cawangan Khas bersara awal pada 2015 selepas mengkritik dakwaan penglibatan pentadbiran dulu dalam skandal tertentu tetapi kembali berkhidmat selepas pilihan raya umum ke-14.

Jun

 

7) Jaguh badminton, squash gantung raket

Jaguh badminton Lee Chong Wei mengumumkan persaraannya selepas 19 bertarung dalam sukan itu dan kanser. Pada bulan yang sama, ratu squash Nicol David mengumumkan beliau juga akan bersara. Nicol masih penyandang nombor 1 paling lama di dunia, dari 2006 hingga 2015.

 

8) Misteri kematian Orang Asli

Suatu penyakit misteri, yang kemudian disahkan campak, mengakibatkan kematian 16 Orang Asli dari Kampung Kuala Koh, Gua Musang. Antara 3-9 Jun, 178 kes campak dilaporkan, termasuk 147 di Kelantan, 23 di Terengganu dan 8 di Pahang.

 

9) Ketua pesuruhjaya SPRM baru

Peguam, Latheefa Koya dilantik ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang baru, menggantikan Mohd Shukri Abdull. Pelantikannya menjadi perbualan kerana beliau juga seorang ahli PKR. Beliau menjelaskan dia meletakkan keahlian partinya selepas dimaklumkan tentang perlantikan itu.

 

10) Video seks gay

Tular klip video yang memaparkan 2 lelaki sedang mengadakan hubungan seks sejenis yang mengejutkan negara apabila salah seorang daripada mereka menyerupai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali. Bekas ahli PKR Muhammad Haziq Abdul Aziz kemudian mengakui dia terbabit dalam video seks sejenis itu dan menamakan Azmin sebagai pasangannya. Azmin bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan siasatan polis menemui jalan buntu.

Julai

 

11) Exco Perak ditahan atas dakwaan rogol

Adun Tronoh, Paul Yong dari DAP ditahan polis dan kemudian dibebaskan atas ikat jamin selepas pembantu rumahnya membuat laporan polis terhadap beliau, menuduh Yong merogolnya. Beliau menafikan tuduhan itu, dan selepas mengambil cuti singkat, kembali berkhidmat sebagai exco kerajaan negeri.

 

12) Khat dan Jawi

Keputusan Kementerian Pendidikan memperkenalkan khat, suatu bentuk kaligrafi Melayi-Arab, dalam silibus Bahasa Melayu di sekolah, mengundang bantahan daripada kumpulan pendidikan, terutama Dong Zong. Kabinet kemudiannya menukar nama topik itu kepada Jawi dan membolehkan guru-guru menentukan pengajarannya tetapi Dong Zong mengekalkan pendirian membantah pengenalannya di sekolah vernakular.

Ogos

 

13) Jasad remaja Ireland

Seorang remaja Ireland, Nora Anne Quoirin hilang di sebuah pusat percutian di Negeri Sembilan semasa bercuti bersama keluarga. Perempuan berusia 15 tahun itu ditemui mati pada hari ke-10 misi mencari dan menyelamat. Bedah siasat mendedahkan dia meninggal dunia kerana pendarahan gastrousus kerana tidak makan untuk tempoh panjang.

September

 

14) Lesen Lynas diperbaharui

Kerajaan bersetuju untuk memperbaharui lesen Lynas Corp untuk mengendalikan kilang nadir bumi di Gebeng, Kuantan selama 6 bulan tertakluk kepada syarat-syarat. Lynas berkata ia akan mematuhi syarat-syarat itu walaupun beberapa ahli Parlimen Pakatan Harapan dan aktivis membantah pembaharuan lesen itu.

 

15) Himpunan Umno-PAS

Ribuan penyokong Umno dan PAS tertumpu di Pusat Dagangan Dunia Putra untuk menyaksikan pemeteraian piagam kerjasama politik 2 parti itu, menandakan kesepakatan 2 parti Melayu-Islam terbesar selepas berdekad-dekad berseteru.


 

16) Tawaran beli tanah Kg Baru

Kerajaan menawarkan pemilik tanah Kampung Baru RM850 kaki persegi untuk memperoleh tanah mereka dalam usaha membangunkan semula penempatan Melayu itu. Ia bagaimanapun disambut dengan bantahan daripada penduduk, yang bertegas harga terlalu rendah. Kerajaan menaikkan tawaran kepada RM1,000 kaki persegi termasuk RM150 dalam bentuk saham.

Oktober

 

17) Utusan tutup, industri media kuncup

Utusan Malaysia dan Kosmo! menghentikan operasinya dan menyebabkan 862 kakitangan hilang pekerjaan. Akhbar itu bermula pada 1939 ketika akhbar Jawi, Utusan Melayu diterbitkan. Ia merupakan akhbar harian berbahasa Melayu tertua di negara ini. Versi Rumi iaitu Utusan Malaysia diperkenalkan pada 1 Sept 1967. Penutupan Utusan disusuli sebulan kemudian dengan berita tentang pemberhentian pekerja di Media Prima Bhd yang memiliki TV3 dan stesen komersial lain, dan New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro.

 

18) Kongres Maruah Melayu

Kongres Maruah Melayu yang dianjurkan secara bersama oleh 4 universiti awam dihadiri ahli-ahli politik pemerintah dan pembangkang, termasuk Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang. Mahathir menepis kritikan mengatakan kongres itu rasis, mengatakan tiada serangan terhadap orang Cina dan India.

November

 

19) Badak sumbu Sumatra pupus, gajah Borneo mati

Badak sumbu Sumatra diisytiharkan pupus di Malaysia, dengan kematian badak sumbu terakhir, Iman, yang mati kerana kanser. Sementara itu, 4 gajah Borneo dilaporkan di Sabah dalam tempoh 5 minggu, termasuk seekor ditemui dengan badan dipenuhi kesan tembakan.

 

20) Kumpulan pedagang India boikot sawit Malaysia

Sebuah pertubuhan perdagangan India yang berpengaruh menyeru ahli-ahlinya memboikot minyak sawit Malaysia selepas New Delhi membantah kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berhubung konflik Kashmir.

 

21) Abu Chin Peng

Bekas ahli Parti Komunis Malaya mendedahkan mereka membawa pulang abu pemimpin komunis, Chin Peng dan ditaburkan di Perak, mencetuskan kemarahan dan siasatan polis. Pentadbiran dulu dan sekarang melarang abu Chin Peng dibawa pulang.

 

22) Tangkapan LTTE

Seorang Adun DAP dari Melaka dan seorang dari Negeri Sembilan antara 12 yang ditangkap polis atas dakwaan terlibat dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE). Mereka dituduh menyokong dan mengutip dana untuk kumpulan militan itu.

 

23) Pharmaniaga

Konsesi jangka panjang Pharmaniaga untuk membekalkan ubat-ubatan dan bekalan perubatan kepada hospital bawah Kementerian Kesihatan, yang beberapa pihak menganggapnya sebagai monopoli, tamat pada 30 Nov. Syarikat itu akan dikontrakkan untuk meneruskan pemerolehan ubat-ubatan dan bekalan perubatan untuk 25 bulan akan datang sehingga kementerian dapat pemegang konsesi baru.

Disember

 
24) Anwar Ibrahim dituduh melakukan serangan seksual

Presiden PKR, Anwar Ibrahim dituduh melakukan serangan seksual oleh bekas pembantu, Muhammed Yusoff Rawther. Ahli Parlimen Port Dickson itu menafikan dakwaan itu, dan kedua-dua pihak dipanggil polis untuk diambil keterangan. Pada 2014, Anwar disabit kesalahan liwat tetapi mendapat pengampuran diraja pada 2018 selepas pilihan raya umum.

 

25) Polio muncul kembali selepas 30 tahun

Seorang bayi berusia 3 bulan dari Tuaran, Sabah didiagnog menghidap polio, kes pertama yang dilaporkan di negara ini selepas hampir 3 dekad. Malaysia diisytiharkan bebas polio pada 2000, selepas melaporkan kes terakhir penyakit itu pada 1992.

Tiada ulasan: